SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sekiranya membocorkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sekiranya membocorkan maklumat rahsia kerajaan.

Ini susulan pendedahan bekas Menteri Dalam Negeri itu yang mengatakan mempunyai akses kepada banyak dokumen mengenai pemimpin kerajaan semasa menjadi menteri.

Ketua Jabatan Pengajian Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi mendakwa, individu yang membocorkan maklumat rahsia kerajaan menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan platform media sosial lain telah melanggar integriti penjawat awam dan sumpah simpan rahsia.

"Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan kepada pesalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atau Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Di bawah Seksyen 8 (1) akta terbabit, adalah menjadi kesalahan bagi mereka yang tidak diberi kuasa memiliki atau mengawal mana-mana rahsia rasmi, menyimpannya, menggunakannya, menyampaikan atau gagal menjaga rahsia tersebut dengan munasabah.

Hussain

"Mana-mana bekas menteri perlu amalkan prinsip integriti dan bersikap amanah dengan tidak berkongsi sebarang maklumat atau dokumen sulit kerajaan dalam media sosial,” katanya.

Tegasnya, tindakan itu sekali gus merosakkan imej negara dengan tindakan pemimpin tidak berprinsip dan berpaksi kepada falsafah perundangan.

"Membocorkan maklumat negara secara jelas melanggar perlembagaan negara yang dijunjung selama ini.

"Di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi 1972, mana-mana individu yang didapati membocorkan sesuatu rahsia rasmi, kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia, boleh dikenakan hukuman.

"Jika terdapat sebarang isu berkaitan salah laku bekas menteri, ia perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat dan biar mahkamah tentukan sama ada bersalah atau sebaliknya,” katanya.

Pakar perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek pula berpandangan, tidak wajar untuk seorang bekas menteri membuat kenyataan seperti itu kerana akan menimbulkan spekulasi sekali gus dikaitkan dengan kesalahan undang-undang.

"Di bawah OSA, penjawat awam mahupun sesiapa sahaja yang diberi amanah menjaga dokumen dilabelkan rahsia, tidak boleh menguar-uarkan kepada umum atau membocorkan rahsia rasmi walaupun sudah tidak memegang sebarang jawatan.

"Hamzah tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana akan menimbulkan spekulasi terhadap motif di sebalik dakwaan yang dikeluarkan, sama ada ia dijadikan ugutan terhadap musuh politiknya,” katanya.

Tegasnya, hanya pengurusan tertinggi dan mahkamah yang berhak melihat dokumen rahsia kerajaan di bawah OSA.

"Sekiranya terdapat kes di mahkamah, hanya pihak tertentu yang diberikan kebenaran untuk melihat fail itu mengikut perintah mahkamah untuk membela diri.

"Jika tiada kes mahkamah dan Hamzah membuat kenyataan secara terbuka yang menyentuh sebarang maklumat sensitif kerajaan, beliau boleh menimbulkan kecurigaan terutama jika maklumat itu tular di internet,” katanya.

Abdul Halim yang juga merupakan Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, mereka yang bertanggungjawab tidak boleh membawa keluar apa sahaja dokumen dan harta kerajaan selepas menamatkan perkhidmatan.

"Semua hadiah yang diperoleh termasuk kapasiti rasmi seperti plak penghargaan harus ditinggalkan di pejabat. Sesiapa yang bersalah boleh dikenakan tindakan OSA kerana telah melanggar sumpah menyimpan rahsia.

"Itulah pentingnya kewujudan OSA. Tanpanya, negara boleh menjadi hancur dan huru-hara apabila sesiapa sahaja boleh menjual dokumen rasmi dan rahsia kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Hamzah mungkin melakukan kesalahan undang-undang jika dia menyimpan sebarang dokumen sensitif sejak menjadi Menteri Dalam Negeri.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, fail pejabat menteri adalah harta kerajaan, dan tidak boleh dibawa keluar dari bangunan kerajaan atau disalin dalam apa cara sekalipun.

"Selain itu, menteri juga terikat dengan sumpah jawatan untuk menjaga rahsia, semasa melafazkan taat setia mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca