SHAH ALAM - Semua negeri di negara ini wajar menguatkuasakan arahan untuk tidak membenarkan golongan politik daripada sewenang-wenangnya menjadikan masjid dan surau sebagai medan menyebarkan propaganda politik.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, arahan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan agama Islam tidak dipengaruhi oleh fahaman politik kepartian yang boleh mengakibatkan perpecahan umat.
Menurutnya, jika penguatkuasaan tidak dibuat, maka banyak parti akan bertandang dan mengambil kesempatan menegakkan kepentingan politik masing-masing hingga di luar kawalan.
"Tauliah mengajar merupakan amalan yang sudah lama diperkenalkan bertujuan untuk memastikan pengisian agama adalah berlandaskan kepada kefahaman Islam yang sebenar berasaskan prinsip lokaliti setempat.
"Dalam masa sama ia dapat mengelakkan berlaku perpecahan umat Islam di masjid khususnya apabila wujud manipulasi politik dalam ceramah agama di tempat suci itu.
"Jadi, setiap negeri wajar kuat kuasakan arahan tersebut dan membuat tapisan agar Islam yang murni tidak dipengaruhi mana-mana fahaman politik kepartian,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Titah baginda, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarah memastikan masjid dan surau bebas daripada unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.
Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Shahrul Aman pula berkata, masjid dan surau bukanlah platform untuk penceramah mengambil kesempatan memfitnah golongan tertentu yang berbeza fahaman politik.
Justeru tegasnya, tauliah untuk mengajar seharusnya diberikan kepada golongan yang berpengetahuan luas dalam Islam bagi meningkatkan kualiti pengisian kuliah.
"Pada masa sama ia dapat menghindari ajaran yang tersasar daripada landasan agama serta mengelakkan wujud perbalahan atau perpecahan sesama umat Islam disebabkan pendirian politik yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa majlis agama Islam di setiap negeri agar mengurangkan kerenah birokrasi dan sebaliknya mempermudah proses untuk memberi tauliah kepada individu yang layak.
"Pihak berkaitan disarankan untuk memudahkan urusan pemohon tauliah dan mengurangkan birokrasi kepada penceramah yang benar-benar layak,” ujar beliau.
Sementara itu, tindakan beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Terengganu dan Johor menguatkuasakan larangan kepada mana-mana ahli politik untuk mengadakan ceramah atau kuliah di masjid dan surau dilihat mampu membantu meredakan suhu politik negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu juga adalah peringatan kepada semua bahawa premis agama bukanlah satu platform yang boleh digunakan untuk kepentingan politik individu mahupun parti.
"Arahan larangan yang dikenakan kepada ahli politik khususnya di kawasan masjid itu adalah satu usaha yang saya lihat dapat bantu redakan (suhu politik) dan KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) juga akan mainkan peranan untuk tingkatkan kesedaran peri pentingnya menghormati undang-undang ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog awam bersama pengurusan dan agensi-agensi di bawah KKD di RTM Johor di Johor Bahru pada Ahad.
Penceramah popular lebih mudah dapat tauliah
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, permohonan tauliah bagi penceramah atau pendakwah khususnya yang sudah popular adalah mudah dan tidak sesukar yang difikirkan.
Beliau berkata, pentauliahan adalah bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara.
"Jadi kalau nak beri ceramah atau kuliah secara berterusan memang kena ada temu duga tetapi individu atau penceramah popular ini susah sikit untuk memohon tauliah kerana menganggapnya susah atau tidak penting.
"Ia bukan prosedur yang rumit, kita bantu mereka. Proses mohon tauliah ini ada syarat-syaratnya tetapi pendakwah yang dikenali tidak akan menghadapi proses yang sukar seperti individu yang kita tak kenal.
"Orang ramai dah kenal maka mudah untuk permohonan itu, cuma pendakwah yang tak dikenali, kita mungkin akan periksa atau ikut prosedur lain.
"Bagaimanapun, tauliah itu penting dan sesiapa yang mahu berceramah perlu memohonnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menasihati penceramah atau pendakwah dari mana-mana negeri sama ada popular atau tidak, agar mendapatkan kebenaran untuk berceramah daripada Jabatan Agama Islam di negeri terbabit.
Ujar beliau, proses tersebut kini lebih mudah apabila individu berkenaan boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi eTauliah.
Ahad lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus adalah antara yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid serta surau di negeri berkenaan.
Difahamkan, beliau sudah tiga kali dipanggil oleh pihak berkuasa untuk menjalani proses temu duga pemegang tauliah.
Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengesahkan penceramah Ustaz Wadi Annuar tiada tauliah mengajar di Selangor.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata susulan itu, JAIS menasihatkan pihak penganjur agar sesi ceramah Wadi Annuar yang dijadualkan pada 10 dan 11 Mac lalu tidak diteruskan.
Klik di sini untuk terus membaca