GARA-gara hanya kerana seekor anjing jiran yang kononnya memberikan isyarat untuk membunuh, David Berkowitz pada tahun 1975-1976 telah membunuh enam orang wanita muda di sebuah kawasan kejiranan di New York.
Sasarannya ialah wanita berambut panjang dan berwarna coklat. Kononnya wanita-wanita ini ‘syaitan’ yang perlu dihapuskan. Kerana takutkan David, banyak wanita terpaksa memotong pendek rambut mereka.
Pada tahun 2015, di Hong Kong, Chu Lai Kam telah mencincang kepala anak perempuannya yang berusia 18 bulan. Dia bukan berbuat begitu tanpa alasan.
Kononnya ada suara memberitahu, ia untuk menyelamatkan anak lelakinya. Jadi, anak perempuan itu perlu dikorbankan.
Begitulah tragisnya bila penyakit mental tak dirawat. Ia sebenarnya lebih memudaratkan berbanding kencing manis atau penyakit darah tinggi.
Sekurang- kurangnya, dalam banyak kes penyakit fizikal, hanya pesakit yang menanggung derita. Tetapi bagi penyakit mental, mereka ini boleh jadi akan mencederakan orang di sekeliling, khususnya ahli keluarga.
Di Malaysia saban tahun kita mendengar kejadian seperti ini. Walaupun belum ada lagi kisah pembunuhan bersiri, tapi tak kurang kisah anak membunuh ibu, atau ada ayah membunuh anaknya sendiri.
Manusia normal biasanya tak berkelakuan aneh seperti itu.
Dan kajian-kajian menunjukkan dalam banyak tragedi, hanya satu dalam 14 juta kes serangan akan dilakukan kepada orang luar. Dalam majoriti kes, ahli keluarga yang bakal menjadi mangsanya.
Terbaharu, di Perlis seorang suami yang juga anggota polis telah membunuh isterinya sendiri. Walaupun kita tidak jelas puncanya, tetapi ada laporan yang menyatakan dia mengalami kemurungan.
Sebenarnya terlalu banyak penyakit kesihatan mental yang perlu difahami oleh masyarakat. Kemurungan hanyalah petanda awal yang kita lihat daripada perlakuan luarannya sahaja, seperti suka menyendiri atau tidak berminat bergaul dengan orang lain.
Tetapi apa yang berlegar di minda mereka, termasuk halusinasi atau bisikan yang mereka dengar, atau lihat tak kita ketahui. Biasanya ketika penghidap penyakit telah sampai ke peringkat schizophrenia, banyak kemungkinan buruk yang boleh terjadi.
Tetapi dalam masyarakat kita, umumnya kita tak mahu ahli keluarga dianggap sebagai pesakit mental, kerana ia juga membawa maksud ‘gila’.
Lalu kerana bimbang dengan label itu, kita lebih cenderung mencari sebab mudah, sama ada dirasuk jin atau terkena saka. Dalam kata lain, mereka tak sakit, tetapi diganggu makhluk yang lain.
Sebagai alternatifnya, mereka dibawa bertemu dukun yang ada kalanya memberi firasat bukan-bukan dan bukan dihantar ke hospital.
Sebenarnya, dalam hidup ini, kita perlu menerima hakikat bahawa kesakitan, baik yang bersifat fizikal atau kejiwaan adalah kebarangkalian yang boleh berlaku kepada semua orang.
Laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya, menunjukkan ada kira-kira satu bilion pesakit mental di seluruh dunia.
Minggu lalu, Sinar Harian telah membuat satu liputan khusus berkait penyakit kemurungan. Ia sepertinya memberitahu kita semua, sesuatu perlu kita lakukan.
Bukan berita itu yang diutamakan, tetapi sejauh mana polisi kesihatan mental di negara kita proaktif menangani isu kesihatan mental.
Memandangkan ia penyakit yang sama menggerunkan seperti sakit fizikal, pernahkah pemerintah berfikir untuk mewajibkan pemeriksaan berkala untuk kumpulan yang risiko terdedah dengan penyakit mental, khususnya mereka yang tinggal di luar bandar, atau kumpulan pekerjaan yang berisiko tinggi.
Juga mungkin ia dijadikan sebahagian syarat dalam kursus perkahwinan.
Kita tak lagi boleh mengharapkan pesakit pergi mendapat rawatan. Kerana kebiasaannya mereka yang mengalami gangguan akan cuba menghindar kerana takut mendapat stigma dan label negatif.
Atau ada yang memilih untuk menyalahkan bunian yang tinggal di perdu buluh.
Tetapi dunia telah berubah. Kita perlu memberi kesedaran bahawa sakit psikologi itu boleh dirawat dan ditangani.
Kita juga janganlah terlalu banyak mendengar bisikan yang didendangkan sekian lama bahawa penyakit mental adalah petanda menjadi gila. Ia penyakit normal milik semua manusia.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca