PADA 8 Mac lalu, satu hansard iaitu istilah khas Parlimen bagi laporan rasmi yang merekodkan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam sidang Parlimen telah merungkai isu panas berkaitan Kementerian Pertahanan yang sekian lama menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 8 Mac lalu, satu hansard iaitu istilah khas Parlimen bagi laporan rasmi yang merekodkan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam sidang Parlimen telah merungkai isu panas berkaitan Kementerian Pertahanan yang sekian lama menjadi persoalan kepada rakyat.

Kementerian Pertahanan dalam Bajet 2023 diperuntukkan sebanyak RM17.7 bilion iaitu penambahan RM1.4 bilion berbanding bajet terdahulu yang tidak sempat dibahaskan di Parlimen akibat pilihan raya pada hujung tahun 2022.

Menteri Pertahanan dalam menjawab persoalan berkali-kali mengumumkan bahawa bajet kali ini berbeza dengan bajet terdahulu dan penambahan yang diumumkan bukan semata-mata untuk menampung kerugian akibat program kapal tempur pesisir LCS tetapi juga memenuhi permintaan lain pihak ATM.

Apa yang dipinta Kementerian Pertahanan kini menjurus kepada wish list atau permintaan daripada ketiga-tiga cabang ATM sendiri dan bukan seperti bajet yang diluluskan kerajaan terdahulu yang dilihat banyak pihak dicemari pelbagai tangan ghaib berkepentingan.

Tentunya skandal LCS tahun lalu telah meninggalkan tompok hitam yang sukar dibersih dan dirumuskan rakyat marhaen sebagai sinonim dengan penjarahan dana rakyat dalam pelbagai kontrak perolehan aset pertahanan negara.

Kini Menteri Pertahanan memberi pengakuan bahawa sekiranya diluluskan, beliau dan kepimpinan kementerian akan memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah, teliti dan efisien, tiada sebarang bentuk ketirisan dan ketidakcekapan membelanjakannya.

Berkaitan isu LCS, beliau menegaskan, tiada sebarang pengurangan keupayaan kombatan terhadap kapal LCS (walaupun jumlahnya mungkin berkurangan dari enam ke lima buah) sebagaimana objektif asalnya akibat pelbagai tekanan dan rintangan dalam isu kewangan negara serta indemniti dengan firma orang tengah dan antarabangsa.

Arah hala tuju bajet pertahanan negara yang kini mesra dan lebih mengikut kemahuan pengguna atau user centric juga mula ditekankan apabila Menteri Pertahanan menyatakan kementerian bakal meneliti perolehan dengan keutamaan kini kepada kehendak pengguna dalam memperkasakan asetnya.

Beliau menyentuh isu kapal ronda litoral (LMS) Batch 1 yang diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kapal LMS kumpulan pertama TLDM tidak mempunyai keupayaan tempur moden dan bersesuaian bagi tujuan rondaan, peninjauan dan pengawasan sahaja. Ini berbeza dengan LMS Batch 2 yang dipinta TLDM.

Ia bakal dilengkapkan sebagai sebuah platform tempur atau combatant, dilengkapi peluru berpandu permukaan ke permukaan dan permukaan ke udara menjadikannya lebih berkeupayaan, bersaiz lebih besar dan mempunyai kelajuan lebih tinggi berbanding LMS Batch 1.

Untuk tahun 2023, sebanyak tiga buah kapal LMS baharu ini telah dipohon TLDM. Apa yang menarik ialah berbeza dengan program LCS, Kementerian Pertahanan kali ini tidak akan menggunakan orang tengah atau third party, sebaliknya ia adalah perolehan kerajaan dengan kerajaan secara terus dan telus.

Tentunya apabila lulus dan diumumkan kelak, bakal ada ahli politik oportunis serta industri pertahanan yang melaungkan pelbagai slogan negatif.

Antaranya kerajaan menganaktirikan dan tidak mempedulikan nasib industri pertahanan tempatan. Bagi mereka yang mahu membangkitkan isu ini, Menteri Pertahanan telah memberikan jawapan awal.

Kementerian, menurut beliau, tidak akan mengetepikan aspek pembangunan industri pertahanan tempatan namun keutamaan adalah kepada kehendak pengguna iaitu TLDM dalam memperkasakan asetnya.

Apa yang penting menurut beliau lagi ialah TLDM akan mendapat aset ini dalam keadaan yang baik dan tepat pada masa ditetapkan sementara menunggu kapal-kapal LCS dibina sepenuhnya.

Sememangnya tiada gunanya Menteri Pertahanan menabur janji manis dengan kenyataan-kenyataan yang bersifat oportunis kepada industri tempatan bermaksud mendapat sedekah kewangan parti politik atau meraih simpati di peti undi, namun akhirnya nanti ibarat melepaskan anjing tersepit.

Analogi yang diberi ini mungkin amat kasar bunyinya tetapi bukanlah kepada semua industri tempatan, terdapat pemain industri tempatan yang amanah dan berkaliber, namun hari ini ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa jika ditemui.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca