SELASA lalu, 8 Mac adalah hari kelahiran mendiang Tun Dr S Samy Vellu. Lantas kenangan terhadap negawaran ini kembali terlintas di ingatan saya.
Komunikasi Samy Vellu dengan pihak media adalah suatu yang penuh mesra dan unggul.
Saya sebagai wartawan pernah beberapa kali menemu bual secara bersemuka tokoh ini, malah telah mengikuti ratusan program beliau yang lain.
Pandangan beliau sentiasa menjadi tajuk berita pada keesokan harinya. Segala butiran adalah di hujung jari - memang teliti dan tepat. Samy has all the answers to all the questions.
Di bawah kepimpinan Samy Vellu, MIC berjaya menjadi suara rakyat dari segenap lapisan. Parti itu mencetuskan detik sejarah apabila mencapai 100 peratus kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2004.
MIC di bawah Samy Vellu menyapu bersih kesemua sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan oleh kepimpinan Barisan Nasional, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Parti politik adalah penting untuk demokrasi. Tiada rakyat maksudnya tiada kerajaan. Kata-kata mutiara bekas Presiden MIC ini memang mencetuskan kesedaran politik menggambarkan rakyat sentiasa dekat di hatinya.
Saya sendiri pernah membawa masalah orang fakir miskin untuk perhatian Presiden MIC itu. Rumah seorang wanita hampir hancur dalam kebakaran di Puchong. Atas permintaan wanita itu kami terus pergi ke kediaman Samy Vellu.
Tetapi senario di kediaman Samy Vellu pagi itu agak suram kerana beliau telah tewas di Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum 2008.
"Walaupun saya menghadapi beberapa kesulitan dan kerumitan tetapi usaha untuk membantu bangsa dan nusa akan tetap saya teruskan.” Demikian kata-kata Samy Vellu sambil menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai dan mengaturkan bantuan lanjutan melalui ibu pejabat MIC
Ada pula seorang pesakit kanser hati yang memerlukan bantuan segera untuk pembiayaan rawatan. Si pesakit ini tidak mampu bergerak dan tidak dapat menemui Presiden MIC.
Saya rasa adalah wajar saya sendiri menyampaikan mesej pada pemimpin ini. Pesakit ini dalam keadaan mendesak. Samy Vellu ketika itu sedang berucap dalam majlis pelancaran buku berbahasa Tamil oleh penulis terkenal Jayakanthan.
Saya pula terus menaiki pentas berpura-pura nak membeli buku itu. Semasa menerima buku daripada Samy Vellu, saya menggunakan peluang itu untuk menceritakan masalah pesakit kanser hati berkenaan.
Samy Vellu memang mengenali pesakit itu dan sumbangan beliau untuk parti dan masyarakat.
Setelah mendengar kisah benar yang sungguh tragik itu, Samy Vellu menitiskan air mata di atas pentas.
Selepas habis program ini saya terus pulang ke rumah. Setelah sampai ke rumah, malam itu telefon rumah saya berdering-dering.
Rupanya panggilan daripada pesakit berkenaan yang memaklumkan Samy Vellu telah menghubungi dan membantu menguruskan hal perubatan beliau.
Samy Vellu memang mempunyai gaya dan seni tersendiri untuk melonjakkan serangan terhadap pembangkang. Beliau adalah jaguh membela kerajaan di Dewan Rakyat.
Kedatangan tokoh ini ke Parlimen memang mendapat perhatian dalam kalangan ahli Parlimen.
‘Karam berenang bersama UMNO’ itulah jajaran kerjasama MIC di bawah pimpinan Samy Vellu.
Pemergiannya pada 15 September tahun lalu diibaratkan hilangnya sebutir bintang. Mendiang amat disegani oleh kawan mahupun lawan dengan sikapnya yang gemar berseloroh tapi tegas dalam membuat keputusan.
Prestasi bekas Menteri Kerja Raya itu cukup membanggakan dan menjadi motivasi kepada banyak pihak.
Apabila beliau menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan pemimpin ini sentiasa berfikiran positif dengan ungkapan ‘cahaya di hujung terowong tentu ada’.
Kesetiaan Samy Vellu pada bangsa dan nusa tidak diragui, sebagai contoh semasa konfrontasi Indonesia beliau sanggup memanjat tiang menurunkan bendera Sang Merah untuk menonjolkan bantahan terhadap Indonesia.
Beliau banyak memainkan peranan dalam pembinaan Lebuhraya Utara Selatan yang siap secara berperingkat bermula dari 1994 serta pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang dibuka pada 1985.
Beliau menerajui Kementerian Tenaga dan Telekomunikasi dari 1989 hingga 1995 yang menyaksikan kejayaan mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia yang kesemuanya pada 1990.
Beliau juga merupakan antara nama penting menyumbang kepada idea Malaysia perlu memiliki satelit sendiri yang menyaksikan pelancaran Satelit Asia Timur Malaysia (Measat) pada 1996.
* Peruji Perumal ialah bekas kakitangan kerajaan dan Penolong Pengarang Berita Malaysia Nanban
Klik di sini untuk terus membaca