SHAH ALAM - Sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sukar untuk berterusan susulan beberapa kes mahkamah yang dihadapi beliau. Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sukar untuk berterusan susulan beberapa kes mahkamah yang dihadapi beliau.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berpandangan, situasi itu juga akan menjejaskan prestasi gabungan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Menurutnya, antara faktor PN mendapat sambutan pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah disebabkan rekod bersih yang ditunjukkan kepimpinan parti.

"Namun apabila Muhyiddin sudah didakwa dengan isu rasuah dan akan datang kita dengar ramai lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal didakwa. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada persediaan PN dalam menghadapi PRN.

"Mungkin juga fenomena sokongan terhadap Abah (panggilan mesra Muhyiddin) akan sedikit terganggu sekali gus merencatkan momentum parti tersebut.

"Kenapa BN kalah teruk masa PRU15? Sebab isu rasuah yang menyebabkan UMNO hilang sokongan rakyat. Jadi, sekarang giliran Bersatu pula ada kluster mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mazlan

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kes mahkamah dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu akan memberi kelebihan buat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan pengundi ada PRN akan datang.

Ujarnya, Anwar yang menerajui Kerajaan Perpaduan dilihat semakin mendapat kepercayaan dan mandat rakyat disebabkan kepimpinan beliau cenderung menggunakan simbolik Islam melalui konsep Malaysia Madani.

"Kemelut politik dan kes mahkamah melibatkan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN dan elemen utama Bersatu hanya akan menyebabkan hilang sedikit keyakinan rakyat terhadap mereka, jadi ini satu kelebihan buat Anwar.

"Anwar juga dikatakan mula mendapat sokongan disebabkan beliau cenderung membawa isu berkepentingan masyarakat dan kepimpinan untuk menyaksikan Malaysia maju serta bebas rasuah,” katanya.

Tegas beliau, kes rasuah yang dihadapi Muhyiddin juga sedikit sebanyak membawa kesan kepada Bersatu, namun Pas dilihat berpeluang untuk mengimbangi kekalutan dalam parti itu.

"Kita dapat lihat, apakah bentuk kecenderungan pengundi masa kini terutama dalam kalangan pengundi PN khususnya penyokong Pas yang sentiasa bersolidariti dengan parti mereka dalam fasa kecenderungan pengundian.

"PN dilihat berada dalam keadaan yang agak kuat pada PRU lalu dengan kewujudan parti Pas sebagai gabungannya.

"Bersatu tidak mampu bergerak secara sendiri, tetapi akan bergantung dengan kekuatan jentera Pas untuk mencipta kemenangan dalam PRN,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca