JIKA Pakatan Harapan (PH) tidak memerintah selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Mac 2020, mungkinkah Perdana Menteri Malaysia keenam (PM6), Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dipenjarakan?
Mungkinkah isteri PM6 itu terpaksa turun naik mahkamah dengan kes yang belum selesai?
Bayangkan jika Kerajaan Perpaduan pimpinan PM10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerintah kini.
Mungkinkah beberapa pemimpin teratas pembangkang dihadapkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah?
Bayangkan jika Tan Sri Muhyiddin Yasin – sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) – bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong agar dibentuk Kerajaan Perpaduan antara PN dengan PH.
Mungkinkah usaha Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) mendapat suluhan rapi pegawai SPRM hingga menyerlahkan rasuah?
Kini, salahkah sebahagian rakyat Malaysia mengandaikan bahawa rasuah pemimpin siasah di Malaysia menjadi ‘kes SPRM’ menurut siapa yang memerintah?
Di Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi atau KPK (sebutan: Ka-Pay-Ka) bertanggungjawab terus kepada Presiden, Dewan Perwakilan Rakyat dan Badan Pemeriksa Keuangan.
Cuma laporan Transparency International yang terkini tentang Indonesia memaparkan Corruption Perceptions Index atau CPI (Indeks Persepsi Korupsi) yang merungsingkan.
Pada tahun 2022, CPI Indonesia jatuh merudum dengan ranking 110 (daripada 180 negara) dan skor 34, berbanding dengan tahun 2021 (ranking 96, skor 38) dan tahun 2020 (ranking 102, skor 37).
Prestasi CPI Malaysia pada tahun 2022 (ranking 61, skor 47) terus memalukan. Prestasi sebelumnya ialah seperti berikut: tahun 2021 (ranking 62, skor 48), tahun 2020 (ranking 57, skor 51) dan tahun 2019 (ranking 62, skor 48).CPI Singapura untuk tahun 2022 menunjukkan ranking 5, skor 87, jika dibandingkan dengan tahun 2021 – ranking 4, skor 85.
Sudah tentu tidak ada negara Asia yang mempunyai prestasi sebaik Singapura yang menjadi lima negara teratas dalam dunia yang least corruptible (paling sukar dirasuah) untuk banyak tahun sejak 1995!
PM1 Singapura, Lee Kuan Yew mengajar rakyatnya untuk menjadi bersih dari sudut alam sekitar dan juga transaksi kewangan dengan cara yang amat tegas.
Menteri Pembangunan Singapura, Teh Cheang Wan telah memilih jalan membunuh diri pada 14 Disember 1986 daripada terus disiasat kerana rasuah. Sikap toleransi sifar terhadap rasuah terkenal sebagai antara sikap Kuan Yew yang dipuji dan dimaki itu.
Selagi SPRM makan gaji dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM), amat sukar hendak ditukar persepsi bahawa sedikit sebanyak pengaruh mana-mana PM dalam beberapa tindakan SPRM.
Tidak mustahil PM Malaysia mengetahui mana kes jerung dan mana kes bilis yang disiasat oleh SPRM.
Jika mana-mana PM bersumpah berulang kali bahawa ia tidak terlibat dengan penyiasatan serta pendakwaan SPRM, ini masih tidak mudah untuk meyakinkan ramai rakyat.
Untuk mengenyahkan persepsi bahawa PM Malaysia dan kerajaan yang memerintah terlibat dalam pendakwaan kes korupsi yang diusahakan oleh pegawai SPRM yang bekerja keras siang dan malam, SPRM tidak boleh makan gaji dengan JPM. SPRM mestilah diletak di bawah Agong dan Parlimen – luar daripada capaian PM dan kerajaan yang memerintah.
Ini supaya (i) tuduhan pendakwaan terpilih tidak lagi menjadi modal pembangkang dan (ii) penyiasatan SPRM kelihatan jauh lebih telus.
Mungkin kini perlu dibereskan dulu kes-kes jerung dan ikan paus, lepas itu barulah SPRM boleh bertukar bos. Itu pun jika PM10 yang sedang bertungkus-lumus memerangi rasuah, kerajaannya dan Parlimen mendorong usaha yang sukar ini ke arah cara yang baru.
Adakah usaha ini boleh menjadi satu daripada faktor pengekalan pemerintahan PM10 hingga ke hujung penggal lima tahunnya? Hanya ALLAH Maha Mengetahui.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah profesor psikiatri dan penulis
Klik di sini untuk terus membaca