JOHOR BAHRU - Perkhidmatan klinik kesihatan pada waktu malam terutama di bandar raya dan kawasan padat penduduk perlu diperluas bagi memberi peluang kepada mereka yang mendiami kawasan berkenaan mendapatkan rawatan di luar waktu kerja.... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Perkhidmatan klinik kesihatan pada waktu malam terutama di bandar raya dan kawasan padat penduduk perlu diperluas bagi memberi peluang kepada mereka yang mendiami kawasan berkenaan mendapatkan rawatan di luar waktu kerja.

Tinjauan di Klinik Kesihatan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada Isnin malam mendapati, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan terutama daripada penduduk sekitar.

Salah seorang pesakit yang mendapatkan rawatan, Mohd Nor Haidi Abd Wahab, 39, berkata, perkhidmatan klinik kesihatan pada waktu malam amat membantu golongan yang bekerja sepertinya pada waktu siang atau waktu pejabat.

Pemandu lori yang menetap di Kempas itu mengakui perkhidmatan tersebut amat diperlukan dan membantu orang ramai yang tidak mempunyai masa ke klinik kerana bekerja atau mempunyai pelbagai urusan lain pada sebelah siang.

"Saya datang ke Klinik Kesihatan HSI kerana ini adalah klinik kerajaan paling dekat dengan rumah saya berbanding Klinik Kesihatan Mahmooduah di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Dia juga tidak perlu mengambil cuti sekiranya kesihatannya tidak terlalu teruk selain berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Aiman Othman, 23, dari Taman Johor Jaya berkata, perkhidmatan pada sebelah malam itu disaran diperluaskan terutama di kawasan penduduk berpendapatan rendah atau B40 kerana dapat menjimatkan kos perubatan apabila tidak perlu lagi mendapatkan rawatan di klinik swasta pada sebelah malam seperti sebelum ini.

Dia yang masih belum berkahwin berkata, apatah lagi dalam keadaan harga barang naik, perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan itu amat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Di PUTRAJAYA, penjawat awam, Nurshafinaz Hamidon, 39, berkata, tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan selepas waktu bekerja adalah singkat.

"Dekat sini, prosesnya cepat. Tak sampai satu jam sudah selesai,” katanya.

Tambahnya, inisiatif tersebut patut diperluaskan ke klinik kesihatan yang lain.

"Benda yang baik eloklah dibuat di tempat lain juga,” katanya.

Petugas perlu mencukupi elak kerja berlebihan

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, jumlah petugas di fasiliti penjagaan kesihatan atau klinik kerajaan perlu mencukupi bagi mengelakkan bebanan kerja yang ditanggung oleh mereka terlalu berlebihan.

Bilangan doktor, jururawat dan kakitangan sokongan yang mencukupi amat penting bagi memastikan kejayaan prestasi sesebuah fasiliti penjagaan kesihatan kerajaan, katanya.

"Waktu operasi lanjutan di klinik-klinik ini dapat memberi peluang kepada para doktor yang tidak lagi bekerja dalam sistem penjagaan kesihatan awam, untuk kembali berkhidmat dan meraih pendapatan.

"Sebahagian daripada mereka adalah bekas doktor kontrak yang tidak mendapat jawatan tetap atau yang telah meninggalkan sistem atas pelbagai sebab lain.

"Bagi sebilangan pengamal perubatan am swasta (GP) yang klinik mereka ditutup lebih awal, ia juga boleh menjadi peluang untuk doktor itu berkhidmat dan memperoleh pendapatan tambahan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Muruga
Dr Muruga
Dr Muruga
Dr Muruga

Dr Muruga Raj berkata, walaupun lanjutan waktu operasi itu mungkin merupakan penyelesaian pantas kepada masalah kesesakan di hospital kerajaan, KKM juga mesti melihat kepada penyelesaian mampan jangka pertengahan dan panjang.

"Antara penyelesaiannya ialah penyumberan luar kes zon hijaunya kepada klinik GP swasta yang telah dirancang kerajaan,” ujarnya.

SENARAI KLINIK KESIHATAN BEROPERASI SELEPAS WAKTU PEJABAT

PERLIS

KK Kuala Perlis, KK Kangar

KEDAH

KK Alor Setar, KK Kulim, KK Sungai Petani, KK Kuah, KK Padang Matsirat

PULAU PINANG

KK Bayan Baru, KK Seberang Jaya

PERAK

KK Tapah, KK Teluk Intan, KK Greentown, KK Kamunting, KK Taiping, KK Sitiawan, KK Tanjung Malim

WILAYAH PERSEKUTUAN

KK Kuala Lumpur, KK Presint 9 Putrajaya

NEGERI SEMBILAN

KK Port Dickson, KK Bahau, KK Seremban

MELAKA

KK Masjid Tanah, KK Alor Gajah, KK Jasin,KK Merlimau, KK Ayer Keroh, KK Peringgit

JOHOR

KK Mahmoodiah, KK Sultan Ismail, KK Bandar Maharani, KK Mengkibol, KK Batu Pahat, KK Kulai Besar

SELANGOR

KK Ampang, KK Kajang, KK Taman Medan, KK Seksyen 19 Shah Alam, KK Bandar Botanik, KK Taman Ehsan

PAHANG

KK Bandar Kuantan

KELANTAN

KK Bandar Kota Bharu

SABAH

KK Inanam, KK Luyang, KK Menggatal, KK Lahad Datu, KK Penampang, KK Putatan, KK Sandakan, KK Tawau

SARAWAK (Sabtu sahaja)

KK Jalan Masjid, KK Bintulu, KK Jalan Lanang

Klik di sini untuk terus membaca