SHAH ALAM - Kejayaan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan prestasi kewangan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM101.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, bukanlah lesen untuk kerajaan meneruskan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejayaan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan prestasi kewangan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM101.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, bukanlah lesen untuk kerajaan meneruskan kebergantungan pendapatan tahunan daripada dividen hasil keuntungan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berkata, kebergantungan terhadap keuntungan Petronas memberi risiko besar kepada usaha kerajaan melaksanakan reformasi pengukuhan fiskal bagi menambah baik hasil kutipan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan.

"Pada tahun 2021, Petronas menyumbang hampir 22 peratus kepada hasil kerajaan iaitu sekitar RM48 bilion, manakala keseluruhan jumlah hasil kerajaan adalah sekitar RM221 bilion.

"Keadaan ini menunjukkan bahawa kerajaan terlalu bergantung terhadap pendapatan syarikat itu. Hasil kerajaan yang terlalu bergantung kepada ketidaktentuan harga komoditi petroleum dan gas asli akan menyebabkan rancangan peningkatan hasil jangka masa panjang kerajaan tidak praktikal,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain itu, kebergantungan yang terlalu ekstrem terhadap Petronas sehingga syarikat itu dianggap ‘lubuk duit’ kerajaan juga boleh melambatkan proses pembaharuan fiskal dan mendorong kerajaan mengutamakan langkah-langkah populis berbanding inisiatif praktikal.

"Kebergantungan yang keterlaluan boleh melambatkan tanggungjawab fiskal seperti peningkatan penguatkuasaan dan mengurangkan perbelanjaan.

"Dengan ini, daya saing Petronas boleh terjejas. Bagi saya, perniagaan seharusnya responsif dan fokus kepada pasaran sahaja,” ujarnya.

Jelas Carmelo, orang ramai perlu membezakan kemampuan Petronas berlandaskan undang-undang dan apa yang sebaliknya perlu dilakukan oleh syarikat itu kepada kerajaan, daripada perspektif pertimbangan lebih umum.

"Mengikut data terkini, Petronas mengumumkan pembayaran dividen kepada kerajaan akan diputuskan berdasarkan kemampuannya.

"Petronas diminta membayar antara RM35 bilion hingga RM40 bilion dalam bentuk dividen tahunan tetapi jumlah itu akan dimuktamadkan selepas usaha wajar kumpulan itu yang mengambil kira obligasi hutang dan pelaburannya.

"Petronas membayar sejumlah RM50 bilion dividen kepada kerajaan tahun lepas. Kebergantungan ini akan menyebabkan pendapatan kerajaan tidak dapat bertahan lama dari pelbagai perspektif jika mereka mereka bergantung kepada satu sumber sahaja,” katanya.

Penyumbang terbesar

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi daripada Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Profesor Madya Abu Sofian Yaacob berpandangan, tiada masalah sekiranya kerajaan bergantung kepada pendapatan Petronas untuk jangka masa 30 hingga 40 tahun lagi.

"Petronas merupakan salah satu penyumbang terbesar kerajaan selain daripada cukai langsung dan tidak langsung.

"Setiap tahun, Petronas membayar dua sumber pendapatan kepada kerajaan iaitu dividen dan cukai petroleum. Ini yang kerajaan dapat untuk digunakan bagi merangka belanjawan pembangunan dan operasi.

"Mengikut sumber minyak yang ada di negara ini, masih selamat untuk kerajaan ‘bersandar’ kepada pendapatan syarikat tersebut dalam tempoh 30 ke 40 tahun akan datang,” katanya.

Namun begitu, kerajaan tidak boleh terlalu selesa dengan pendapatan tersebut kerana harga minyak bergantung kepada harga pasaran.

"Tidak dinafikan, minyak di Malaysia merupakan antara yang paling berkualiti di dunia. Oleh kerana itu, kita boleh menjual dengan harga yang tinggi. Mana-mana negara yang mempunyai pengeluaran minyak, hasilnya memang lumayan.

"Namun, minyak mentah juga bergantung kepada harga pasaran dan kerajaan tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap Petronas semata-mata,” katanya.

Abu Sofian juga berpandangan agar kerajaan mempelbagaikan lagi pengeluaran industri-industri bernilai tinggi yang terdapat di negara ini.

"Kepelbagaian itu penting sama ada kita membawanya sendiri melalui inovasi atau menggalakkan kehadiran pelabur luar,” kata beliau.

SENARAI JUMLAH KEUNTUNGAN BERSIH PETRONAS

TAHUN JUMLAH

2022 RM101.6 bilion

2021 RM48.6 bilion

2020 RM21.0 bilion

2019 RM40.5 bilion

2018 RM55.3 bilion

2017 RM45.5 bilion

2016 RM23.8 bilion

2015 RM11.1 bilion

2014 RM47.6 bilion

2013 RM65.6 bilion

Klik di sini untuk terus membaca