MELEPASI 100 hari penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, polemik politik negara nampaknya berlarutan dengan pelbagai bentuk sentimen ‘panas’ dihamburkan pihak lawan bagi mencabar kestabilannya.... Klik di sini untuk terus membaca

MELEPASI 100 hari penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, polemik politik negara nampaknya berlarutan dengan pelbagai bentuk sentimen ‘panas’ dihamburkan pihak lawan bagi mencabar kestabilannya.

Mutakhir, ‘serangan’ sentimen berunsur Melayu-Islam dilihat bertalu-talu ditujukan terhadap kerajaan yang terdiri daripada rangkuman pelbagai parti politik seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Malaysia (GRS).

Bermula dengan dakwaan himpunan Hari Wanita Antarabangsa pada Ahad lalu, secara tidak langsung dikatakan mengangkat agenda kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Kerajaan Perpaduan turut ditempelak kerana memberi lampu hijau kepada penganjuran konsert artis luar negara, namun tidak membenarkan ceramah agama oleh beberapa personaliti dakwah terkenal dengan alasan tiada tauliah pihak berkuasa agama negeri.

Tidak ketinggalan dijadikan modal serangan sentimen Melayu-Islam terhadap kerajaan adalah dakwaan sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan program dikatakan membawa pengaruh ‘Kristian Evangelis’.

‘Projek Artikel 11’ anjuran agensi Impact Integrade menerusi program Jom Ziarah, membolehkan para belia mengunjungi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri bagi tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

Persoalannya, sejauh manakah strategi permainan sentimen ini boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan sebagaimana implikasi buruk diterima kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pasca Pilihan Raya Umum ke-14?

Penolong Profesor Sains Politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar tidak menafikan sentimen melibatkan isu perkauman dan agama merupakan satu strategi mudah untuk menyerang sesebuah kerajaan.

"Sentimen perkauman dan agama mudah meresapi fikiran mereka yang tidak punya maklumat dan pendirian. Inilah yang parti pembangkang lakukan ketika ini,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Namun tegas Tunku Mohar, situasi permainan sentimen berunsur Melayu-Islam itu agak berbeza jika dibandingkan dengan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir yang bertahan selama 22 bulan sebelum ini.

"Ketika PH di bawah Dr Mahathir, terdapat elemen dalaman melibatkan golongan yang merasakan keistimewaan orang Melayu terancam serta berasa survival kedudukan mereka bergantung kepada sokongan kaum tertentu.

"Elemen ‘parasit’ itu akhirnya mencipta kekurangan yang boleh digunakan pembangkang untuk menangguk di air yang keruh.

"Namun kini elemen tersebut tiada lagi dalam Kerajaan Perpaduan ditambah pimpinan ketika ini dilihat lebih responsif dalam mematahkan hujah pembangkang,” katanya lagi.

Tegas Tunku Mohar, sentimen kaum dan agama yang sedang hebat diuar-uarkan itu tidak dinafikan boleh menggugat kestabilan kerajaan jika tidak segera dibendung.

"Keutuhan kerajaan bergantung kepada sejauh mana semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mahu memastikan survival berkekalan, selain persetujuan dan komitmen untuk menangani permainan sentimen ini dengan dasar saksama.

Keuntungan politik

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim mengakui faktor utama Kerajaan Perpaduan diserang pihak tertentu dengan serangan sentimen Melayu-Islam adalah untuk meraih keuntungan politik.

"Sama ada isu filem kontroversi, konsert artis luar negara atau tauliah mengajar di masjid, mereka akan cuba mengaitkannya dengan polisi kerajaan bagi memberi gambaran Kerajaan Perpaduan mempromosi agenda pemikiran liberal dan tidak mesra Islam.

"Ambil contoh kelulusan filem kontroversi yang heboh diperkatakan ketika ini dan kelulusan penganjuran konsert artis luar negara, semuanya itu diluluskan sebelum Kerajaan Perpaduan lagi.

"Begitu juga tauliah mengajar di masjid, kelulusan tertakluk di bawah bidang kuasa institusi raja negeri masing-masing yang memayungi hal ehwal pentadbiran agama,” kata Mohd Yusri.

Ulasnya lagi, walaupun serangan sentimen Melayu-Islam terhadap kerajaan PH dipimpin Dr Mahathir lebih kuat berbanding Kerajaan Perpaduan, kesannya tidak boleh dipandang ringan.

"Ini kerana Kerajaan Perpaduan sekarang turut dianggotai wakil UMNO, parti utama kaum Melayu yang turut memperjuangkan sentimen sama.

"Sentimen seumpama itu tidak boleh dibiarkan membarah kerana berpotensi mengancam institusi sosial yang merupakan tonggak penting negara,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital perlu mempergiatkan usaha penerangan untuk memberi kefahaman kepada rakyat berhubung isu agama dan perkauman yang cuba dihangatkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Sebarang usaha mensabotaj kestabilan politik dan sosial perlu diatasi segera menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca