SHAH ALAM - Kerajaan mesti mengimbangi sebarang usaha campur tangan dalam menuntut pulangan kewangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan keperluan memastikan syarikat minyak dan gas negara itu terus berkemampuan melabur dalam operasi dan meneruskan strategi pertumbuhan jangka panjang.
Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, kerajaan boleh melaksanakan haknya sebagai pemegang saham untuk menerima dividen dan pulangan kewangan Petronas, namun tahap campur tangan adalah berpandukan pelbagai perundangan termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Menurutnya, akta itu jelas meletakkan garis panduan bidang kuasa kerajaan dalam mengawal hak milik sumber petroleum di Malaysia dengan negeri, di samping memberi kuasa kepadanya dalam mengawal selia cari gali, pengeluaran dan penjualan petroleum.
"Akta Syarikat 2016 pula menyatakan Petronas beroperasi sebagai sebuah syarikat dan mematuhi undang-undang syarikat. Ini bermakna ia tertakluk kepada pengawasan lembaga pengarahnya dan dikehendaki melaporkan prestasi kewangannya kepada para pemegang saham.
"Dari segi campur tangan kerajaan dengan keuntungan Petronas, kerajaan boleh ‘menuntut’ pembayaran cukai keuntungan petroleum dan levi lain oleh Petronas kepada kerajaan.
"Namun, sangat penting untuk kerajaan mengambil perhatian bahawa Petronas adalah sebuah entiti komersial dan keuntungannya dijana daripada operasi perniagaannya,” katanya kepada Sinar Premium.
Menurutnya, keuntungan yang dijana oleh Petronas memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada keupayaan kerajaan untuk menyediakan keperluan rakyatnya.
"Bagaimanapun, adalah penting untuk mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan keperluan memastikan penggunaan sumber asli dan perlindungan alam sekitar secara mampan,” katanya.
Ekonomi semasa
Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpandangan sebaik-baiknya sumber kewangan Petronas digunakan dalam keadaan yang mengikut kedudukan ekonomi semasa.
"Ini kerana Petronas juga perlu memikirkan aset-aset yang ditadbir di dalam dan luar negeri akan terus memberikan hasil konsisten.
"Selain itu, pelaburan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui juga perlu diberi perhatian kerana dunia hari ini amat mementingkan aspek pemampanan alam sekitar seperti penggunaan konsep Environmental, Social and Governance (ESG) di dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan,” katanya.
Jelasnya, keuntungan Petronas juga akan menguntungkan rakyat kerana ia adalah syarikat milik penuh kerajaan.
Klik di sini untuk terus membaca