SAYA sebenarnya berhasrat untuk mementaskan sebuah teater yang berkonsepkan realiti. Pada pendapat saya, jalur ceritanya menarik dan persembahannya juga unik.
Tidak susah untuk saya mendapat sokongan dalam bentuk publisiti bagi karya seperti itu. Wartawan dan orang media tentu berebut-rebut mencari saya. Dalam sekelip mata sahaja saya akan popular tanpa perlu mendedahkan hal ehwal rumah tangga saya!
Tetapi awal-awal lagi saya telah berdepan halangan. Kawan-kawan rapat tidak bersetuju dan minta saya membatalkan hasrat itu. Kata mereka, tidak ada siapa yang sanggup menaja persembahan tersebut. Kata mereka lagi, tidak ada YB menteri atau mana-mana VIP akan sudi merasmikannya.
"Mereka tidak akan sanggup menahan baunya,” kata seorang rakan.
"Dan tidak ada kompleks atau mall yang sanggup dijadikan venue,” kata seorang yang lain.
Ahh, memang susah. Mereka juga macam kebanyakan orang lain. Tidak faham kerja seni. Tidak mahu memahami hati seniman. Apa yang saya hendak persembahkan bukannya ada adegan mencolok mata. Tidak ada juga dialog menyindir pembesar negara.
Ia sekadar kisah tentang pengunjung di sebuah pusat beli-belah yang membaling belacan sesama sendiri. Dan pengunjung-pengunjung itulah pelakonnya, manakala pentasnya pula adalah seluruh mall tersebut.
Setiap pelakon yakni pengunjung akan dibekalkan sehingga tiga kilogram (kg) belacan mengikut darjat masing-masing. T20 dibekalkan 1kg seorang, M40 seorang 2kg dan B40 seorang 3kg. Kemudian mereka dikehendaki membalingnya sesama sendiri.
Saya terjaga daripada tidur setelah lebih sejam melepasi waktu masuk Asar. Dan mimpi tentang teater baling belacan itu benar-benar menyebabkan saya tersenyum sendirian. Ini mesti penangan Tan Sri Michelle Yeoh menang Oscar, bisik hati saya.
Dua tiga jam sebelum dihanyutkan ke alam mimpi itu saya berdialog panjang dengan dua tiga orang kawan. Bermula dengan kisah manusia sekarang yang menjadikan media sosial sebagai tempat berkongsi aib, melarat kepada kos sara hidup yang pandai naik tidak pandai turun dan seterusnya kepada subjek seniman serta kebebasan berkarya.
Suatu masa dahulu, saya antara orang yang percaya bahawa seniman manusia istimewa. Mereka bebas mengekspresikan apa pun juga dengan apa juga cara. Saya percaya kebebasan mereka tidak patut disekat kerana ia akan merencatkan seni yang mereka angkat.
Tetapi ketika itu saya masih seorang budak yang mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca. Saya tidak ingat dalam majalah apa tetapi di dalamnya ada gambar seorang seniman berambut gondrong dari negara jiran yang memakai kemeja T bertulis ‘Born To Be Free’. Untuk suatu tempoh, saya terpengaruh dengan maksud frasa itu.
Minat membaca kemudiannya mempertemukan saya dengan sepotong ayat diwariskan oleh ahli falsafah politik terkenal, Jean-Jacques Rousseau yang berbunyi: "Manusia dilahirkan bebas tetapi mereka dirantai di mana-mana.”
Kemudian saya terjumpa satu lagi kenyataan oleh seseorang yang saya tidak ingat siapa. Katanya: "Seniman, biar sehebat mana pun dia, tidak memiliki carte blanche, yakni kebebasan sepenuhnya untuk melakukan apa yang dia mahu.”
Saya bersetuju dengan kedua-duanya. Seniman juga manusia biasa, kerana itu mereka terikat dengan rukun hidup sebagai manusia. Setiap sesuatu ada batas sempadannya.
Tamadun telah menggariskan dengan teliti batas sempadan itu mengikut kesesuaiannya. Di padang bola, anda bebas menyepak, menggelecek dan seumpamanya tetapi bukannya memegang bola sesuka hati, membentes betis lawan atau menerajang pengadil.
Di kedai makan, anda bebas memesan apa yang anda mahu tetapi tiada siapa akan membenarkan anda duduk di atas meja atau mencelup tangan ke gelas minuman pelanggan lain.
Di kedai kopi, anda boleh bercakap tentang apa sahaja selagi ia tidak menyebabkan orang lain mengayun penumbuk ke muka. Hatta di Parlimen sekalipun, di sebalik kebebasan anda bersuara, jangan lupa bahawa Speaker ada hak menunjukkan pintu keluar!
Jadi, kesimpulan mudahnya, jika anda suka makan mentega, jangan pula cuba menyumbatnya ke mulut orang lain. Kena ingat satu, bebas dan bebal itu perbezaannya cuma satu huruf...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca