SPEKULASI kini bertiup kencang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan kemungkinan besar bakal diharamkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Ura-ura itu semakin kuat diperkatakan di saat Presiden Bersatu,... Klik di sini untuk terus membaca

SPEKULASI kini bertiup kencang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan kemungkinan besar bakal diharamkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Ura-ura itu semakin kuat diperkatakan di saat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin parti berkenaan dihadapkan ke mahkamah atas beberapa pertuduhan menggunakan akaun parti bagi melaksanakan aktiviti penggubahan wang haram.

Perkara sama juga hampir berlaku terhadap UMNO yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dipimpin Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Namun, proses pengharaman Bersatu - sekiranya RoS mempunyai asas kukuh - tidak mungkin bakal berlaku dalam masa terdekat atau sekurang-kurangnya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Hal ini kerana kes pendakwaan mahkamah terhadap Muhyiddin dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan masih di peringkat awal dan belum memasuki fasa penentuan keputusan di Mahkamah Persekutuan.

Malah, sabitan kes Najib di Mahkamah Persekutuan juga dilihat tidak menggugat kedudukan UMNO yang teguh dan tidak diharamkan RoS, walaupun sebilangan besar peruntukan dana 1MDB dikatakan telah disalurkan kepada pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan negeri untuk aktiviti parti.

Hakikatnya, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak meramalkan sama ada Bersatu bakal diharamkan RoS berdasarkan kes pendakwaan Muhyiddin, mahu pun kebenaran desas-desus Pas sedang mempertimbangkan keputusan untuk meninggalkan PN dalam masa terdekat.

Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, beliau tidak menolak asas bahawa Bersatu berpotensi besar diharamkan RoS sekiranya Muhyiddin disabitkan bersalah di mahkamah kelak.

"Kalau Bersatu benar-benar diharamkan, potensi Pas untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) juga sangat tinggi kerana parti berkenaan dipercayai berpaut kepada Bersatu atas faktor Bersatu memiliki sumber kewangan kukuh.

"Lagipun, tindakan meninggalkan koalisi politik bukan perkara baharu dibuat Pas memandangkan parti berkenaan pernah meninggalkan koalisi Pakatan Rakyat (PR) dan permuafakatan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

"Namun buat sementara waktu ini, Pas mungkin akan kekal bersama PN dan Bersatu kerana faktor Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilihat kurang selesa bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak zaman bersama PR dan Barisan Alternatif (BA) lagi,” katanya.

Mohd Azizuddin turut mendakwa faktor Abdul Hadi selaku presiden parti juga menyebabkan ramai pemimpin Pas terpaksa akur dengan kerjasama koalisi PN, walaupun sebilangan mereka hakikatnya kurang selesa bersama Bersatu.

"Kalau Abdul Hadi sudah tidak menjadi presiden, mungkin dasar Pas akan berubah kerana tidak semua pemimpin parti itu selesa dengan kerjasama dengan PN sekarang.

"Satu lagi faktor yang mungkin membawa perpecahan PN adalah sekiranya keputusan PRN enam negeri menyaksikan koalisi itu kalah teruk terutama di negeri-negeri dikuasai mereka sendiri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berkeyakinan kerajaan pimpinan Anwar akan menggunakan kes pendakwaan terhadap Muhyiddin bagi melemahkan PN khususnya Bersatu menjelang PRN enam negeri kelak.

Berbeza dengan Mohd Azizuddin, Mohammad Tawfik sebaliknya melihat kemungkinan Pas akan keluar daripada PN pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hampir mustahil.

"Jenama gabungan PN dan kerjasama dengan Bersatu sudah terbukti berkesan pada PRU15.

"Kita boleh lihat sokongan Pas terhadap Muhyiddin adalah sangat kuat biarpun PN kalah PRU15. Bagi saya corak kerjasama Pas bersama Bersatu dalam PN adalah amat berbeza dengan kerjasama politik Pas dalam BA, PR mahupun MN sebelum ini.

"Isu Pas mahu keluar daripada PN pula hanyalah spekulasi politik sengaja direka musuh politik susulan tiada wakil parti berkenaan hadir dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, baru-baru ini,” ujarnya.Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula melihat masa hadapan dan hala tuju Bersatu dalam mengekalkan Pas dalam PN amat bergantung kepada keputusan perbicaraan kes mahkamah dihadapi Muhyiddin.

"Bersatu dan PN tidak mampu hidup tanpa Pas kerana hanya parti itu yang mempunyai kekuatan jentera untuk mendepani mana-mana pilihan raya.

"Pas dijangka terus setia bersama Bersatu dan PN kerana parti itu tidak mempunyai pilihan lebih baik. Namun sekiranya Bersatu diharamkan RoS, Pas perlu mempertimbangkan kedudukan politik mereka sama ada suka atau tidak.

"Namun saya yakin RoS tidak mempunyai asas kukuh untuk mengharamkan penubuhan Bersatu sekali pun Muhyiddin dan sebilangan pemimpin Bersatu disabitkan bersalah di mahkamah. Ini kerana kerajaan masih belum menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik,” tegas Mohd Izani.

Klik di sini untuk terus membaca