KELMARIN, saya menjamu selera di Tea Amo Cafe, Malakat Mall. Sambil menanti pesanan, saya terdengar perbualan serius empat orang wanita di meja paling hampir dengan saya. Bila salah seorang daripada mereka bercakap, yang lain akan mendengar... Klik di sini untuk terus membaca

KELMARIN, saya menjamu selera di Tea Amo Cafe, Malakat Mall. Sambil menanti pesanan, saya terdengar perbualan serius empat orang wanita di meja paling hampir dengan saya. Bila salah seorang daripada mereka bercakap, yang lain akan mendengar dengan tekun.

Daripada perbualan, saya mengagak mereka ialah orang bisnes kerana sering menyebut istilah-istilah synergy, win-win situation, low hanging fruit dan negotiate.Tiba-tiba wanita yang duduk bertentangan dengan saya berkata: "Ala... semua orang hendak kenyang, menang dan senang.” Kata-katanya disambut hilai tawa serentak tiga lagi rakannya.

Betul. Saya menyampuk kata-kata wanita itu di dalam hati. Cantik bunyi perkataan-perkataan itu kerana kenyang, senang dan menang mempunyai ritma ‘ang,’ ‘ang,’ ‘ang’.

Namun, hati kecil saya berasa perkataan yang biasa-biasa dan simple itu mempunyai erti lebih mendalam. Ia menarik untuk dikupas.

Sama ada seseorang itu memperoleh satu kondisi seperti kenyang, dua kondisi iaitu kenyang dan menang atau ketiga-tiganya, dia akan rasa cukup seronok.

Kenyang adalah kondisi fizikal memuaskan hati seseorang yang lapar. Pada asasnya apabila perut kosong, otak akan memberi isyarat agar kita makan untuk mendapat tenaga. Setelah makan dan perut jadi kenyang, neurotransmitter dopamin daripada otak akan membuatkan seseorang berasa gembira.

Menang pula kondisi mental yang membuatkan seseorang menjadi gembira kerana berjaya memperoleh sesuatu terutama dalam sesebuah perlumbaan. Kemenangan menjadikan seseorang berasa dirinya hebat dan menjadi juara kerana merangkul kejayaan lebih dahulu atau lebih banyak daripada pesaing yang lain.

Senang pula kondisi spiritual yang mengandungi perasaan gembira, puas hati dan bersyukur, malah qanaah. Kesemua itu terangkum menjadi kebahagiaan yang berbeza ukurannya bagi setiap individu tetapi ia melibatkan emosi yang positif.

Hari ini manusia sendiri menjadikan perasaan kenyang, menang dan senang itu kompleks sehinggakan sukar untuk mendapatkannya.

Rasa kenyang setelah makan itu begitu mudah kondisinya tetapi kerana perbuatan makan itu kini bukan semestinya kerana lapar, rasa kenyang tidak semestinya dapat dipenuhi dengan sepinggan hidangan.

Kita makan kerana pelbagai sebab. Misalnya iklan, ramai ingin mencuba sesuatu makanan itu kerana mengidam meskipun dia tidak lapar.

Begitu juga ada yang makan kerana kehendak sosial seperti makan pada majlis kenduri. Andainya seseorang itu diundang untuk lima majlis, dia akan makan lima kali dalam waktu singkat bagi menjaga hati tuan rumah.

Ada yang makan kerana tabiat. Walaupun mengambil sarapan yang lewat, seseorang itu akan makan tengah hari kerana waktu makan telah tiba dan dia mesti turun makan bersama teman-teman sepejabat. Ada juga yang makan untuk menggembirakan hatinya akibat stres.

Keadaan kita hari ini memerlukan kita berlumba-lumba. Kita berlumba mengejar waktu masuk ke pejabat, berlumba mendahului lampu merah trafik, berlumba menaiki tren dan lif, memasuki barisan di bank atau restoran.

Kita juga berlumba menambah posting di media sosial bila melihat teman sudah ada banyak posting di akaun TikTok.

Dahulu kita berlumba dengan orang lain, hari ini kita asyik berlumba dengan diri sehinggakan kita syok sendiri walaupun hanya kerana menang mencatat rekod lebih baik dari semalam.

Bagaimanapun, sememangnya kenyang, menang dan senang adalah tiga kondisi fizikal, mental serta spiritual yang kita cari-cari. Cuma jangan asyik mencari ketiga-tiganya hanya untuk diri sendiri.

Sebaliknya, berusahalah untuk mengenyangkan, memenangkan dan menyenangkan orang lain juga. Dengan berkongsi kekenyangan, kemenangan dan kesenangan, kita akan jadi lebih kenyang, lebih menang serta lebih senang.

Sebabnya, orang lain ada bahagian daripada apa yang kita peroleh. ALLAH telah susun untuk memberi kenyang, menang dan senang orang lain itu melalui kita.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca