NEW YORK - Kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) yang disifatkan sebagai kegagalan terbesar sektor itu sejak krisis kewangan global pada 2008 telah mencetuskan kebimbangan kepada komuniti antarabangsa jika ia memberi impak kepada seluruh sistem perbankan.
Beberapa penganalisis berpendapat langkah segera diambil pengawal selia Amerika Syarikat (AS) berupaya mengekang isu tersebut, namun pasaran tetap cemas dengan situasi yang mungkin berubah pada masa akan datang.
Terdapat pihak yang khuatir jika keadaan tersebut akan menyebabkan krisis kewangan global kira-kira 15 tahun lalu yang berpunca daripada kebankrapan firma perkhidmatan kewangan, Lehman Brothers kembali berulang.
Pengarah Kajian Ekonomi di IESEG School of Management di Paris, Eric Dor berpendapat, kemelut tersebut mungkin hanya memberi kesan kepada bank kecil yang memenuhi sektor teknologi.
"Kita tidak berada di situasi yang sama kerana ia lebih terhad dengan jenis bank dan klien daripada sektor tertentu. Kita sepatutnya lebih tenang dengan langkah yang telah diambil Washington.
"Negara Eropah tidak begitu cemas kerana kami tidak mempunyai banyak syarikat pemula teknologi seperti di AS,” jelasnya.
SVB yang diasaskan pada 1980-an mendakwa hampir separuh daripada syarikat pemula teknologi dan sains hayat AS membuat pinjaman daripada mereka untuk pelbagai perkhidmatan.
Sementara itu, Lionel Melka di kumpulan pelabur Swann berkata, SVB kekal sebagai ‘kes khas’.
"Kebankrapan secara tiba-tiba itu mengakibatkan kekacauan, namun situasi akan tetap tenang,” ujarnya.
Pada akhir minggu lalu, Jabatan Perbendaharaan dan Rizab Persekutuan serta Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) turut mengumumkan siri langkah kecemasan untuk meyakinkan individu dan perniagaan berhubung kestabilan sistem perbankan AS serta jaminan deposit di SVB adalah selamat dan boleh diakses pelanggan pada bila-bila masa.
"Bank berada dalam kedudukan lebih kukuh dari segi pembiayaan berbanding sebelum krisis kewangan pada 2008,” menurut firma pengurusan aset terbesar DWS di Jerman.
Kenaikan kadar faedah jadi punca
Pada Isnin, Presiden Joe Biden cuba meredakan kebimbangan orang ramai dengan menyatakan rakyat Amerika perlu yakin bahawa sistem perbankan mereka adalah selamat walaupun dua bank tempatan bankrap dalam tempoh selang beberapa hari.
Walaupun berdepan ketidaktentuan, Wall Street dilaporkan meningkat, namun bank yang lebih kecil sedang ‘bergelut’.
Sebagai contoh, saham First Republic Bank jatuh sekitar 60 peratus, manakala pasaran saham Eropah berwarna merah selain pasaran saham Asia juga merosot.
Ketika ini, beberapa penganalisis mendakwa langkah menaikkan kadar faedah yang diumumkan pemerintah bagi membendung inflasi yang tinggi dalam tempoh beberapa dekad sebagai punca krisis perbankan di AS.
Langkah tersebut dikatakan membantu beberapa peminjam mencatatkan keuntungan yang sihat pada 2022.
Tetapi, kadar yang lebih tinggi telah menurunkan nilai bon yang dibeli oleh bank apabila mereka memperoleh pulangan lebih rendah.
SVB dilaporkan bankrap setelah ia mengalami kerugian berjumlah AS$1.8 bilion (RM8.07 bilion) dalam penjualan sekuriti bernilai AS$21 bilion (RM94 bilion).
Situasi itu telah menakutkan pelabur dan klien mereka hingga mencetuskan pesanan pengeluaran deposit secara serentak dianggarkan berjumlah AS$42 bilion (RM188 bilion).
Ia kemudiannya terpaksa diambil alih FDIC setelah kehabisan wang tunai untuk memenuhi permintaan tersebut.
Pelabur bimbang bank lain juga akan berdepan situasi sama jika ia perlu mengumpulkan dana untuk menampung penurunan deposit.
Situasi itu mungkin memaksa AS menghentikan kempen menaikkan kadar faedah ketika mesyuarat dasar pada minggu depan.
Neik Shearing di Capital Economics memberitahu, terdapat dua perkara yang perlu diperhatikan untuk tempoh beberapa hari akan datang.
"Pertama adalah tindakan pihak berkuasa sama ada ia berjaya mengekalkan atau memulihkan keyakinan pendeposit dan pelabur dalam sistem perbankan AS.
"Isu kedua sama ada terdapat institusi lain yang mempunyai kelemahan sama seperti SVB atau Signature Bank yang ‘bersembunyi’ di AS atau ekonomi lain,” katanya lagi. - AFP
Peraturan SVB disiasat
Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Isnin melancarkan semakan terhadap penyeliaan dan peraturan Silicon Valley Bank (SVB), susulan kejatuhan bank ke-16 terbesar di negara itu.
Siasatan itu akan diketuai oleh Naib Pengerusi Fed, Michael Barr dan laporannya bakal dikeluarkan pada 1 Mei ini.
"Situasi mengejut yang melanda SVB menuntut semakan menyeluruh, telus dan pantas oleh kami,” kata Pengerusi Fed, Jerome Powell dalam satu kenyataan.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk menjalankan semakan yang teliti termasuk cara Fed menyelia dan mengawal firma tersebut.
Kehabisan wang tunai menyebabkan bank bersaiz sederhana itu tidak lagi dapat bertahan dengan sendirinya dan terpaksa diambil alih oleh pengawal selia AS.
Susulan pengambilalihan tersebut, hampir AS$175 bilion (RM784 bilion) deposit pelanggan kini dikawal oleh FDIC, malah ia turut menubuhkan bank baharu, National Bank of Santa Clara yang kini memegang kesemua aset SVB.
Klik di sini untuk terus membaca