SHAH ALAM - Tular di media sosial mengenai dakwaan terdapat gerakan menukar tempat mengundi penyokong-penyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai strategi parti itu untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dakwaan tersebut didedahkan bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Saipolyazan M Yusop menerusi Twitter beliau.
Saipolyazan mendakwa gerakan tersebut bertindak menukarkan tempat mengundi pemilih yang sudah mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, November lalu supaya dapat merampas negeri lain terutama Selangor.
"Jika undang-undang membenarkan, hanya wartakan pengundi yang telah disahkan sebelum PRU15 untuk PRN ini,” tulisnya dalam Twitter pada Rabu.
Mengulas mengenai dakwaan tersebut, penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berkata, gerakan menukar tempat undi penyokong sebagai strategi bagi memenangi pilihan raya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Malah, jelas beliau, ia merupakan taktikal terancang bagi mana-mana parti politik untuk merampas kawasan yang diinginkan.
"Ia pernah berlaku sebelum ini, bukan sahaja antara bahagian pilihan raya, tetapi juga antara negeri.
"Pernah didakwa berlaku di negeri Terengganu antara tahun 1999 dan 2004 iaitu selepas PRU tahun 1999.
"Selepas itu keadaan yang sama pernah didakwa berlaku, tetapi sukar untuk dibuktikan sebagai satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Manimaran bagaimanapun berkata, isu tersebut perlu disiasat dan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan ia merupakan satu dakwaan yang mempunyai keabsahan.
"Kita kena tengok dahulu kedudukan jumlah pengundi dalam daftar pemilih terkini dan akan datang dalam sebulan dua ini.
"Keadaan itu tidak dapat ditolak dan diketepikan begitu sahaja memandangkan pertama kali dalam sejarah ada enam negeri tidak membubarkan DUN supaya pilihan raya negeri serentak dengan PRU15 pada November lalu.
"Jadi, ada ruang untuk memindahkan pemilih atau mendorong penyokong satu-satu parti berpindah ke negeri yang menjadi sasaran untuk dikuasai dalam pilihan raya umum negeri akan datang,” ujarnya.
Tambah Manimaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu campur tangan terhadap sistem pendaftaran pengundi yang membolehkan mereka menukar alamat mengundi sesuka hati.
"Di bawah undang-undang semasa, seseorang pengundi berdaftar boleh berpindah atau menukar alamat mengundi mengikuti alamat MyKad mereka, atau mengikut kemahuan mereka dengan menukar alamat dalam MyKad.
"Dalam politik, pada saya akan ada parti atau pihak berkepentingan akan menggunakan kelemahan undang-undang untuk kepentingan politik mereka.
"Mungkin SPR kena kaji perkara ini, yang sering kali menjadi isu dan polemik,” kata beliau.
Dakwaan Saipolyazan jadi perbincangan hangat di Twitter Sementara itu, dakwaan bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, Saipolyazan M Yusop bahawa wujud gerakan menukar tempat mengundi penyokong parti sebagai strategi untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mengundang pelbagai reaksi orang ramai, khususnya warganet.
Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Ekal berkata, sekiranya benar dakwaan tersebut, ia bermakna akan ada pemilih yang mengundi dua kali bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Sudah mengundi di Pahang, mahu mengundi lagi di Selangor,” katanya.
Bagaimanapun, pengguna Twitter menamakan dirinya sebagai A berkata, untuk membuat pertukaran tempat mengundi biasanya mengambil masa enam bulan.
"Ada waktu untuk pengundi di kawasan itu membuat bantahan,” katanya.
Bagi Alif Zakk pula, dia berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menggunakan daftar pemilih Oktober 2022.
"Bukan data selepas PRU15. Nanti ada yang mengundi sebanyak dua kali,” tulis pemilik Twitter bernama MR pula.
Pendapat itu dipersetujui seorang pengguna Twitter bernama Ar-Ruzzi.
"Ini saya setuju. Walaupun saya pernah advokasi pengundi-pengundi Pakatan Harapan (PH) untuk berpindah ke kawasan lain, cadangan itu untuk penggal akan datang.
"Tidak adil seseorang itu dapat undi di dua negeri dalam satu penggal,” tulisnya.
Klik di sini untuk terus membaca