[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Lima bank utama dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan siasatan sindiket penipuan pelaburan didalangi oleh warganegara United Kingdom (UK). Menurut sumber, lima bank berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Lima bank utama dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan siasatan sindiket penipuan pelaburan didalangi oleh warganegara United Kingdom (UK).

Menurut sumber, lima bank berkenaan berperanan bagi mewujudkan akaun untuk kegunaan sindiket dalam proses pemindahan wang ke luar negara.

"Setiap pegawai ini dipercayai menerima kira-kira RM1,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka tanpa mengikut prosedur.

"Akaun-akaun ini adalah transit kerana sindiket akan memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun ‘sebenar’. Lebih liciknya, akaun transit itu akan dihapuskan dalam tempoh tiga bulan.

"Selain lima bank ini, tujuh syarikat dummy yang digunakan sindiket turut dalam radar SPRM. Kesemua bank dan syarikat ini berada di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Difahamkan, dalam siasatan SPRM lebih lima hingga 20 pegawai bank dipercayai terlibat termasuklah mereka yang berperanan sebagai penemubual dan lain-lain.

Tambah sumber, kesemua mereka ini antara golongan profesional selain peguam, auditor, setiausaha syarikat, akauntan serta pengarah syarikat yang disyaki bersekongkol dengan sindiket.

"Kita (SPRM) percaya syarikat ini adalah dummy dengan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diwujudkan bagi proses pemindahan wang,” tegasnya.

Tambah sumber, SPRM percaya sindiket ini aktif di pelbagai negara antaranya Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK.

"Siasatan awal percaya sindiket mampu membuat transaksi wang sekitar RM1 juta setiap hari dan RM200 juta dalam tempoh tiga bulan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan dua orang warga UK disyaki dalang sindiket akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada 22 Februari lalu, SPRM membongkar satu sindiket penipuan pelaburan yang didalangi oleh warganegara United Kingdom (UK) dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Pulau Pinang menerusi 24 serbuan termasuk tiga pusat panggilan atau boiler room, syarikat serta kediaman ahli sindiket.

Operasi ini berjaya menahan reman 10 ahli sindiket selain tangkapan beberapa individu yang disiasat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ahli-ahli sindiket ini terdiri daripada warga Australia, UK, Afrika Selatan dan Filipina.

Modus operandi sindiket ini adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon.

Ahli sindiket akan menghubungi mangsa setelah mereka klik pada pautan untuk mendaftar dalam syarikat pelaburan serta memasukkan butiran peribadi.

Penjenayah scammer ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AU$60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak tahun 2019.

Bagaimanapun, ini adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion.

Pada 28 Februari, sumber memaklumkan SPRM juga telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun yang merupakan ahli sindiket dikehendaki berhubung kes penipuan pelaburan.

Individu disyaki berperanan mencipta laman web palsu untuk diberikan kepada mangsa penipuan bagi menyakinkan mangsa untuk melabur di pelaburan yang tidak wujud telah ditahan oleh pasukan khas ketika dia tiba dari Kemboja untuk pergi ke UK.

Susulan itu, pada 3 Mac, SPRM telah menyerbu beberapa premis bank, pengurup wang dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota disyaki bersekongkol dan menjadi orang tengah kepada sindiket penipuan.

Klik di sini untuk terus membaca