DALAM konteks politik Malaysia, aktiviti pendanaan dan penaungan politik oleh golongan aristokrat, taikun-taikun perniagaan dan konglomerat kaya di negara ini bukan satu perkara asing.
Mengambil contoh MCA adalah parti yang pada asalnya sebuah pertubuhan sosioekonomi masyarakat Cina yang kemudiannya dibiayai oleh taikun-taikun dan tokoh perniagaan kaum itu yang terkemuka di awal era penubuhannya.
Fenomena kebergantungan sumbangan dana politik dalam UMNO pula hakikatnya sudah bermula pada era Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj apabila beliau dikatakan terlalu bergantung kepada sumbangan kewangan dari MCA bagi mendepani pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952 dan Pilihan Raya Malaya 1964.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam satu artikel turut menceritakan bagaimana UMNO mengendalikan ‘sumbangan politik’ ketika zaman Tun Abdul Razak pada kaca mata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Pada zaman pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pula, UMNO ketika itu dipercayai mendapat sokongan dana bukan sahaja daripada taikun-taikun perniagaan Cina seperti Robert Kuok dan Tan Sri Vincent Tan, bahkan konglomerat terkaya kaum Melayu seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Tajuddin Ramli.
Begitu juga dengan parti-parti baharu yang muncul selepas itu seperti DAP, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini terpalit dalam kes mahkamah melibatkan aktiviti pendanaan politik sendiri.
Justeru, apabila nama konglomerat Melayu terkaya di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary tiba-tiba dikaitkan dengan kes mahkamah dihadapi Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, ramai pihak memberi reaksi berbeza-beza secara semberono.
Bukan perkara luar biasa
Hakikatnya Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari melihat isu pembabitan taikun perniagaan dalam bidang politik negara ini bukan perkara luar biasa, mengambil kira sistem pentadbiran negara mencontohi British.
Jelas bekas pakar perlembagaan itu, dunia dan ruang lingkup tokoh perniagaan seperti Syed Mokhtar, Vincent Tan dan taikun media, T Ananda Krishnan sememangnya tidak terpisah dengan peranan belakang tabir pengurusan politik negara.
"Mencontohi negara British, sistem politik Malaysia hakikatnya banyak dibayangi dengan pengaruh golongan elit, sama ada keluarga berpengaruh, tokoh perniagaan dan keluarga bangsawan yang mempunyai hubungan langsung dengan institusi istana.
"Justeru, untuk mengatakan kelompok ini bersifat kepartian dan menawarkan sumbangan dana politik untuk kepentingan peribadi mereka juga adalah tuduhan rambang.
"Ini kerana mereka ini juga turut memainkan peranan membantu mana-mana kerajaan dan Perdana Menteri dilantik sebelum itu,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
DAP juga terima dana taikun
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak turut meminta semua pihak terbuka dengan penglibatan tokoh perniagaan dalam dunia politik negara.
"Bayangkan kalau kesemua projek mega bernilai berbilion ringgit diserahkan kepada syarikat-syarikat yang tidak memiliki dana besar seperti taikun-taikun perniagaan ini.
"Pastinya ia mengundang masalah sekiranya kerajaan terpaksa menangguhkan pembiayaan projek berkenaan bagi memberi laluan perkara lain lebih mendesak.
"Hakikatnya dalam DAP pun, banyak taikun dan konglomerat perniagaan mendanai parti kami.
"Namun parti memastikan setiap sumbangan dana akhirnya tidak ‘mengikat’ parti dalam memenuhi kehendak peribadi dan kepentingan perniagaan mereka,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu.
Bagi yang memahami konteks hubungan taikun-taikun perniagaan berpengaruh dengan kerajaan sejak zaman kemerdekaan negara, pastinya mereka sedar entiti perniagaan kelompok ini bukan sahaja digunakan demi pelaksanaan projek pembangunan signifikan negara, bahkan berguna untuk kepentingan awam.
Bagaimanapun, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling melihat polemik kes mahkamah dihadapi Muhyiddin baru-baru ini seolah-olah menimbulkan persepsi Syed Mokhtar hanya pro Bersatu, sekali gus mengenepikan sumbangan beliau terhadap enam Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Untuk kefahaman umum, adalah lebih baik tokoh-tokoh politik seperti Anwar, Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri memperjelaskan penglibatan taikun-taikun perniagaan dalam politik kepartian dan pentadbiran kerajaan secara lebih jelas dan telus.
"Saya fikir apabila persepsi negatif dilontarkan terhadap taikun perniagaan berjasa besar seperti Syed Mokhtar, keadaan itu tidak adil buat mereka.
"Ini kerana sumbangan dan pembiayaan mereka kepada negara tidak sekadar berbentuk dana politik, bahkan kepentingan awam,” jelasnya.
Dedah siapa biayai parti
Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Dr Nordin Kardi berpandangan sudah tiba masanya identiti taikun-taikun perniagaan yang membiayai dana politik parti-parti di Malaysia ini didedahkan kepada umum.
"Sejujurnya, saya rasa kes mahkamah Muhyiddin ini sangat bagus dijadikan rujukan bagi hakim menentukan tafsiran bentuk sumbangan dana politik bagaimana yang dilihat mempunyai elemen penyalahgunaan kuasa.
"Hal ini memandangkan majoriti penyumbang dana politik pastinya terdiri daripada taikun dan konglomerat perniagaan elit yang sebahagiannya sudah meraih banyak manfaat perniagaan daripada kerajaan itu sendiri,” ujar Nordin.
Dalam aspek perundangan negara, pemberi rasuah juga boleh disabitkan kesalahan rasuah.
Jadi untuk memastikan keadilan, Nordin melihat kewajaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa taikun perniagaan terlibat di mahkamah bagi menentukan peranan mereka mempunyai elemen rasuah atau tidak.
"Saya juga sokong sekiranya lebih ramai taikun perniagaan dan golongan elit tampil dinamakan dan dibicarakan di mahkamah.
"Ini penting bagi memastikan pelaksanaan undang-undang negara adalah menyeluruh dan tidak bersifat dwistandard,” luahnya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berpandangan sudah tiba masanya Akta Pendanaan Politik dikuatkuasakan dan dijadikan keutamaan dalam proses reformasi undang-undang oleh Kerajaan Perpaduan.
Klik di sini untuk terus membaca