SEJAK dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berikrar untuk menangani isu undang-undang lapuk sekali gus melaksanakan pindaan agar ia relevan dengan keadaan semasa.
Antara yang diberi perhatian termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia bagi memberi keadilan kepada anak tersebut, sejajar komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki dalam isu berkenaan.
Selain itu, Ahli Parlimen Pengerang itu turut menggalas tanggungjawab untuk menyelesaikan isu berkaitan tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.
Menyusuri perjalanan politik bekas Ketua Puteri UMNO itu, kelantangan dan kepimpinannya tidak boleh disangkal malah penyertaannya sebagai calon naib presiden parti menjelang pemilihan akan datang dilihat sebagai turning point kepada ahli wanita untuk melangkah ke persada politik yang lebih mainstream.
Ikuti kupasan lanjut Azalina bersama wartawan Sinar Harian, Diana Azis mengenai perancangan untuk menambah baik undang-undang di negara ini serta pandangannya mengenai survival UMNO dalam mendepani pilihan raya akan datang.
SINAR HARIAN: Setakat ini bagaimana Datuk Seri melihat fungsi Jabatan Undang-Undang dan Reformasi Institusi sepanjang pemerintahan Kerajaan Perpaduan?
AZALINA: Saya melihat yang lebih penting sekarang adalah banyak harapan kepada reformasi dan perubahan. Saya tengok pada sesi Parlimen kali ini, ada beberapa hari yang dikhaskan untuk pindaan undang-undang, tetapi lebih kepada Belanjawan 2023. Antara cabaran pada saya adalah dari segi pindaan kepada undang-undang dalam negara banyak yang lapuk seperti Akta Kontrak 1950.
Banyak perubahan yang perlu kita lakukan dalam penggal ini (lima tahun), tetapi disebabkan oleh beberapa perubahan yang mahu dilakukan dalam institusi negara, ia memerlukan pindaan undang-undang atau pindaan perlembagaan. Ini yang akan memakan masa sebab ia bukan hanya sekadar kerajaan sebut, institusi boleh berubah, tetapi kena ikut pindaan undang-undang.
Ini kerana implikasi terhadap undang- undang tersebut akan menjadi ukuran. Sebagai contoh Akta Kebankrapan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan (individu) yang ada hutang RM50,000 ke bawah untuk dilepaskan. Dia menjadi bankrap melalui perintah mahkamah, jadi nak lepaskan perlu sistem yang sama.
Itu yang menjadi masalah kepada kita pada hari ini kerana proses untuk menggubal undang-undang itu ambil masa. Saya harap pada sesi Parlimen kali ini, saya diberi beberapa hari untuk membuat pindaan terhadap Akta Kebankrapan. Selain tu saya banyak kali menyuarakan tentang cabaran tidak cukup pegawai di Jabatan Insolvensi. Apabila nak lepaskan permohonan, kena bawa fail, adakan perbincangan dan pemiutang memberi pandangan. Sebab itu kita nak letakkan pada sesi (Dewan Rakyat) kali ini, mengunakan sistem dalam talian.
Dalam masalah kebankrapan, kemungkinan dia tiada kemampunan untuk pergi ke Jabatan Insolvensi. Kita nak buat pindaan permohonan melalui dalam talian dan ini perlu pindaan undang-undang terhadap akta sedia ada. Sebab itu apabila orang kata 100 hari (kerajaan baharu) tidak nampak apa-apa perubahan, jawapan saya mudah, beri analogi proses kelahiran bayi yang memerlukan sekurang-kurangnya lapan bulan. Tidak mungkin dalam tempoh 100 hari pelbagai perkara boleh dilaksanakan.
Pada mula saya memegang jawatan, kita telah adakan pelbagai pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemegang taruh kerana untuk membuat undang-undang, bukan hanya pandangan kerajaan. Kena panggil semua pihak terlibat dan ia memakan masa. Undang-undang kita banyak dari United Kingdom dan India, sebab itu perlukan penelitian.
Sejumlah RM12 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program Mahkamah Bergerak di Sabah dan Sarawak. Sejauh mana Datuk Seri melihat keperluan mahkamah berkenaan untuk menyelesaikan urusan sivil?
Mahkamah bergerak sebenarnya dilakukan dalam bas bergerak dan bukan melibatkan mahkamah sahaja, tetapi urusan agensi-agensi lain. Perkhidmatan yang diberikan juga melebihi daripada kes-kes mahkamah, memang capaian di kawasan luar bandar itu sukar. Lokasi mahkamah itu tidak berada di setiap daerah dan kalau nak keluar dari kawasan perumahan, mungkin mengambil masa berjam atau berhari-hari.
Tetapi yang menjadi kegusaran saya adalah mahkamah jenayah, terutama melibatkan jenayah seksual kanak-kanak. Kita ada Akta Jenayah Seksual, akan buat pindaan pada sesi Dewan Rakyat kali ini tetapi kegusaran adalah pengambilan keterangan daripada kanak-kanak.
Kalau kawasan luar bandar berlaku kes, mangsa kalau nak sampai ke mahkamah bukan satu proses yang mudah, kadang-kadang memudaratkan. Apabila yang dibuat tuduhan itu ahli keluarga, seorang yang memberi rezeki, amat sukar. Jadi mengambil faktor ini selain ambil kira ekosistem, diwujudkan mahkamah bergerak. Walaupun ada mahkamah, tidak guna sekiranya sistem sokongan tidak diperbaiki.
Oleh sebab itu bagi saya mahkamah bergerak itu walaupun kita fokus di Sabah dan Sarawak, mungkin boleh juga lihat untuk fokus di kawasan Semenanjung sebab ada tempat agak jauh dari satu daerah ke daerah lain.
Jika masa pandemik Covid-19 dua tahun lalu, ada perbicaraan kes-kes sivil yang dilakukan secara dalam talian. Ia boleh dilaksanakan dan kita akan tengok untuk kes-kes sivil terus dilakukan secara dalam talian. Kalau kes jenayah, tidak boleh sebab cara menjawab turut diambil kira. Mungkin untuk mahkamah tertentu boleh dilaksanakan secara dalam talian.
Difahamkan Akta Pendanaan Politik akan dibincang menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu kelak. Mengapa perlu diwujudkan yang baharu?
Apabila undang-undang dirujuk ke jawatankuasa khas, kita memanggil semua wakil parti untuk menyertai, seperti Akta Lompat Parti sebab kadang-kadang kerajaan mempunyai intepretasi tertentu dalam undang-undang.
Jadi apabila pemakaian politik dalam akta berkenaan, setiap wakil politik dibawa mewakili parti dalam Parlimen dan kita bincang secara menyeluruh kerana ada parti politik melihat isu lompat parti adalah besar, ada parti tidak melihat ia sebagai isu besar. Itu sebabnya apabila lakukan Akta Lompat Parti pindaan perlembagaan, kita dapat pindaan yang mudah sebab ahli Parlimen memahami dan bersetuju.
Dalam Akta Pendanaan Politik, arahan daripada kabinet adalah kita bawa kepada jawatankuasa khas sebab kita mesti tahu pemegang taruh, penerimaannya adalah ahli politik, maknanya yang menerima adalah parti politik sebab ia pendanaan politik.
Kadang-kadang saya baca beberapa komen dan saya tertanya-tanya, kenapa tidak diwujudkan sidang khas untuk melepaskan undang-undang itu pada sesi kerajaan yang lepas (tetapi) selepas itu ia ditolak kepada kerajaan yang sekarang.
Sepatutnya itu yang dilakukan secepat mungkin seperti Akta Lompat Parti dahulu. Pendanaan politik setakat hari ini, isu sumbangan kepada parti politik tiada undang-undang khas. Yang dilihat sebagai undang-undang yang mengikat adalah akta di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
Kalau tengok dari segi parti politik secara menyeluruh, saya tahu dalam pilihan raya, penderma sokong dua-dua parti politik, pembangkang dan kerajaan, namun dia tak nak orang tahu. Ini sebabnya bagi saya, adanya jawatankuasa khas nanti perbincangan itu lebih mudah. Isu ini boleh dibicarakan juga.
Saya juga tidak tahu adakah kita akan adakan satu situasi khas, kalau orang nak derma politik, ada pengecualian cukai sebagai contoh. Kadang-kadang orang derma dia tak nak bayar cukai macam orang bayar zakat. Adakah itu yang akan kita pertikai, berbahas dan berbincang nanti. Itu sebab perbincangan dan perbahasan ini penting, ia bukan satu undang-undang sesuai kepada semua (one law fit all).
Berapa lama agaknya Datuk Seri jangkakan isu Akta Pendanaan Politik ini dapat diselesaikan?
Pada saya, nak buat undang-undang tidak susah asalkan semua pihak dipanggil. Sebab itu saya tertanya-tanya, kenapa ketika pemerintahan sebelum ini tidak buat akta ini, tetapi hari ini mereka kata ini sebenarnya niat untuk menderma. Kalau saya dalam kerajaan yang bercakap tentang hal ini, saya tentukan akta itu diluluskan sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) sebab kemungkinan ada ramai orang yang nak derma kepada saya.
Tetapi setakat ini tiada undang-undang seperti itu dan nak wujudkan yang baharu bukan mudah (kerana) kena rujuk kepada jawatankuasa pemilihan, kemudian nak kena bawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan tetapi persidangan dewan fokus pada perkara-perkara tertentu.
Draf rang undang-undang berkaitan sudah ada cuma masih perlu perbincangan, semasa saya jadi backbencher pada sesi lepas, saya sudah lihat perkara ini, semua orang bercakap tetapi tidak ada pula atas meja. Ketika Akta Lompat Parti, saya buat private members bill (bil ahli persendirian) letak dalam Parlimen, dua kali kena ‘tendang’ tetapi alhamdulillah, kerajaan sudah bersetuju dengan akta itu sebelum PRU15 sebab takut orang lompat.
Adakah kejayaan ini akan dijadikan satu penanda aras Datuk Seri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri?
Sekarang ini macam-macam saya nak tengok, bankrupsi, hukuman mati mandatori. Pada pandangan secara peribadi, mungkin keutamaan ahli Parlimen adalah lebih kepada undang-undang untuk membantu rakyat, contohnya masalah kebankrapan.
Ketika pandemik Covid-19, ramai yang berhutang dan ini yang perlu kita selesaikan. Kalau nak cakap undang-undang untuk orang politik, masa tidak cukup. Kita bersidang kurang dari 100 hari. Tetapi soalan saya, kenapa dahulu tidak buat? Kenapa sekarang baru nak cakap? Pada saya undang-undang itu penting untuk PRU15, saya buat, saya tolak, saya lobi sampai semua orang setuju kita buat undang-undang. Jadi tidak adil untuk marahkan kerajaan pada hari ini kerana kami mewarisi daripada kerajaan terdahulu, jadi kami berbincang.
Malaysia berjaya mengetepikan perintah penahanan terhadap aset dan kepentingan strategik negara yang difailkan waris kesultanan Sulu di Mahkamah Luxembourg. Boleh Datuk Seri kongsikan usaha yang dilakukan kerajaan?
Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan termasuk fokus kepada keutamaan melindungi aset negara daripada ancaman mana-mana pihak luar. Pada hemat saya, mereka sebenarnya nak minta kita bayar untuk selesaikan isu berbangkit. Ini satu strategi mereka jadi kita lawan, sebab itu kerajaan bersetuju untuk wujudkan satu sekretariat khas.
Orang Sabah tahu apa sebenarnya berlaku sebab itu sekretariat ini saya minta kerajaan negeri Sabah untuk terlibat sama agar kalau kita buat rangkaian perjumpaan di luar negara, ke Eropah misalnya, kita boleh bawa wakil kerajaan Sabah untuk mengemukakan cerita sebenar.
Mereka serang Lahad Datu hingga menyebabkan ramai terkorban, mereka pula ada yang ditangkap. Saya tidak akan benarkan mana-mana pihak mengganggu gugat kedaulatan negara dan menggunakan taktik kotor untuk menuntut wang daripada kerajaan Malaysia.
Kerjasama daripada kerajaan negeri Sabah amat baik sekali dan mereka turut menyokong apa yang kerajaan lakukan. Banyak yang telah dibincangkan untuk tindakan selanjutnya.
Bagaimana pula dengan status Pulau Batu Puteh, adakah kerajaan akan menuntut semula pemilikannya dari Singapura?
Kerajaan sedang persiapkan Kertas Putih dan akan bahas pada hujung sesi Parlimen kali ini. Pulau Batu Puteh sesuatu yang unik, apa yang berlaku adalah kerajaan telah melepaskan hak rayuan. Jadi itu yang akan kita bawa dalam perbahasan Kertas Putih.
Sebenarnya saya bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah mengadap Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar). Baginda meluahkan murka kerana sebenarnya isu kedaulatan, apa-apa keputusan kerajaan Pusat perlu merujuk kerajaan negeri.
Sultan mempunyai kuasa atas tanah jajahan dan kalau tengok Akta Laut, tanah jajahan ada beberapa kilometer ke laut. Sebab itu perlukan Kertas Putih untuk dibahaskan, bagaimana kerajaan (terdahulu) melepaskan hak Malaysia dalam tuntutan di Pulau Batu Puteh. Tuanku Sultan telah menitahkan kepada kami untuk mencari penyelesaian dan baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar telah ke Singapura dan bertemu dengan Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong), juga cuba mencari penyelesaian yang terbaik.
Yang kita tidak mahu adalah Singapura melakukan pembangunan di kawasan laut Pulau Batu Puteh tetapi saya difahamkan, Perdana Menteri dah berbincang dengan Singapura untuk stand down niat untuk membangun.
Kita dah hilang (kedaulatan), ini bukan perkara mudah dan sebagai ahli Parlimen dan orang Johor, memang saya marah dengan perkara ini (sedangkan) kita boleh buat rayuan, boleh bincang di mahkamah dan sebagainya. Kita tidak boleh dapatkan kembali (pulau) tetapi kita boleh cuba tengok supaya Singapura menghormati dan tidak membangunkan kawasan itu.
Boleh Datuk Seri kongsikan rancangan kerajaan untuk pindaan undang-undang berkaitan anak yang ibu atau ayah warganegara Malaysia dilahirkan di luar negara?
Pelaksanaan kepada undang-undang tersebut adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan saya hanya melihat kepada pindaan perlembagaan. Yang kita mahu pinda adalah hak kerakyatan kepada anak yang dilahirkan oleh ibunya orang Malaysia. Ini bukannya pindaan untuk menggalakkan wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing.
Anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia walaupun di luar negara ada hak sebagai warganegara (sebagaimana) anak kepada lelaki warga Malaysia tetapi ibunya warga asing. Tidaklah kita membezakan suami dan isteri. Saya hanya tekankan elemen undang-undang pindaan perlembagaan perlu berlaku adil.
Interpretasi kepada ayat itu harus (melibatkan) ibu dan ayah, bukan hanya ayah. Pelaksanaannya adalah tanggungjawab KDN yang menjaga sijil kerakyatan. Saya tidak terlibat dalam kuasa KDN. Saya minta rakyat jangan salah faham.
Kemunculan Datuk Seri sebagai calon tunggal wanita bagi Naib Presiden UMNO menarik perhatian ramai. Kenapa menawarkan diri dalam Top 5 dan bukan sebagai ketua wanita atau MKT?
Kalau UMNO melihat kepada kualiti kepimpinan, mungkin tiada isu gender. Saya menjadi ahli sejak 1989 dan tidak melihat UMNO melebihkan lelaki atau wanita. Berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU16 nanti, cara rakyat memilih pimpinan politik lebih kepada individu dan UMNO mesti menerima individu yang akan mengukur kekuatan satu parti, bukan kepada jantina.
Semasa saya ketua puteri, saya juga tidak setuju kalau puteri diberikan tugas sebagai ‘pom pom girl’ (pasukan sorak) sahaja. Puteri mesti membawa suara wanita Melayu muda dan Wanita UMNO menyumbang kepada isu wanita Melayu. UMNO perlu bersedia kerana tuntutan pengundi, ahli mungkin sudah berbeza dengan pendekatan terdahulu.
Saya tengok ketua bahagian sesi lepas ada wanita juga, naib ketua dan sebagainya. Tiada segmentation jawatan dalam parti di bahagian mesti dipelopori oleh lelaki sahaja. Saya melihat kemasukan (pencalonan) saya memberi mesej kepada wanita bahawa mereka boleh terlibat dalam mainstream politik, mereka boleh dan mampu sebenarnya.
Endgame mereka sebagai wanita Melayu dalam politik UMNO bukan hanya melalui pintu wanita atau puteri, malah boleh main peranan yang lebih tinggi dalam parti. Saya tidak menafikan kejayaan Puteri UMNO lebih banyak apabila lelaki membuka peluang kepada mereka, kemudian wanita menerima puteri sebagai adik untuk golongan muda. Tetapi ada juga ahli puteri yang mahu masuk mainstream politik di bahagian dan negeri.
Ini bermaksud UMNO boleh menerima kepimpinan berdasarkan kepada kualiti. Itu akan menjadi langkah dan noktah kepada UMNO untuk PRU16 dan ia adalah perubahan. Sejak akhir ini, ramai wanita masuk mainstream politik tetapi bukan dalam jawatan (tertinggi) parti.
Saya harap orang mengundi saya atas komitmen, kesetiaan saya kepada parti dan yang lebih penting boleh memberi kekuatan kepada UMNO sebab UMNO menerima cabaran daripada pengundi muda untuk sesi akan
Apakah tawaran yang akan Datuk Seri berikan dalam memulihkan parti?
UMNO tidak boleh rasa selesa bahawa ia parti Melayu yang membawa suara Melayu. Kita sekarang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, nostalgia Melayu Islam sudah tidak boleh jadi ukuran lagi. Sekarang ukuran kita adalah kerelevanan perjuangan kepada tuntutan rakyat dan hari ini rakyat sudah terbuka, tidak seperti 10 tahun lepas.
Generasi muda terutama Melayu mungkin berfikir elemen asabiyah tidak lagi relevan kepada mereka, itu sebab pendekatan UMNO perlu berubah kepada tuntutan baharu ini. Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri yang baru dilantik, nampak bahawa kemungkinan pemilihan sayap-sayap melihat kepada individu yang akan membawa kecemerlangan kepada UMNO.
Saya tidak mahu orang melihat saya sebagai mewakili Johor, kita sudah melebihi isu negeri kerana ia berkaitan dengan survival parti dalam menghadapi PRU16, untuk memimpin negara dan survival kepada landskap orang Melayu terutama golongan muda yang membuat tuntutan berbeza.
Hari ini kita bekerjasama dengan parti yang dahulunya musuh kepada UMNO, bukan sesuatu yang mudah kerana perlukan dialog berterusan, perbincangan dan perbahasan supaya mereka memahami tuntuan yang dibuat parti Melayu yang besar seperti UMNO. Bukan calang-calang parti politik yang boleh ditolak ke tepi dan ke tengah.
Apakah cabaran paling besar dalam Kerajaan Perpaduan melibatkan kerjasama parti yang sekian lama bermusuh?
Cabaran yang paling besar bukan kepada kerjasama tetapi lebih kepada ahli UMNO di peringkat akar umbi, sebab mereka rasa ini satu pemilihan yang akan membawa kekuatan dan keuntungan kepada parti. Setakat ini saya lihat ukurannya pada PRN nanti, yang mana kali pertama UMNO akan bersama DAP yang begitu kuat di Pulau Pinang, PKR di Selangor dan Negeri Sembilan.
Ini adalah kali pertama champion-champion UMNO akan bersama mereka dan akan memberi satu balancing act tentang isu yang dituntut. Sebagai contoh di Pahang dan Perak, mereka bekerjasama dan setakat ini tiada pula timbul isu, banyak penghormatan.
Itu sebabnya mungkin lebih banyak kelebihan apabila kita bekerjasama dengan mereka yang berlainan daripada bekerjasama dengan mereka yang begitu serupa dengan kita. Saya tahu tuntutan pengundi pada PRU16 akan lebih berlainan dan UMNO perlu bersedia ke arah itu, pendekatan dan fokus perlu berubah.
Saya melihat UMNO perlu menjadi parti progresif, parti centre right dan tidak boleh ekstremis. Bukan saya kata UMNO perlu menukar priority tetapi perlu progresif, berani untuk berdiri atas kaki sendiri, berani untuk berubah untuk memenuhi tuntutan rakyat. Mungkin untuk jadi relevan, UMNO perlu sesuaikan dengan kawasan, elemen UMNO Johor berbeza dengan UMNO Kelantan misalnya.
Klik di sini untuk terus membaca