SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Saya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan bahawa proses permohonan pertukaran alamat pengundi perlu disertakan bersama dengan dokumen-dokumen tertentu sebagai syarat bukti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Saya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan bahawa proses permohonan pertukaran alamat pengundi perlu disertakan bersama dengan dokumen-dokumen tertentu sebagai syarat bukti pengesahan bagi mengelak melakukan sebarang penipuan.

Wan Ahmad berkata, alamat tempat mengundi baharu juga mesti mengikut alamat yang tertera dalam kad pengenalan.

Ujar beliau, mereka yang tidak dapat kemukakan dokumen tersebut sebagai bukti perlu ditolak kerana berkemungkinan ada penipuan untuk tujuan politik.

"Syarat yang pertama sekali, dia (pengundi) kena menunjukkan bukti pengesahan dokumen alamat tempat baharu yang didudukinya itu, jadi pengesahan itu hanya boleh berpandukan kepada kad pengenalan.

"Katakan dia daripada Terengganu nak bertukar masuk ke Selangor, alamat baharu di Selangor itu perlu tertera di kad pengenalan.

"Proses (pertukaran) ini tidak mudah sebab saya anggap kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menerima permohonan warganegara yang tukar alamat ini dia kena bawa bukti lain seperti surat bil air, bil elektrik atas nama dia sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berhubung gerakan menukar tempat mengundi melibatkan pengundi dari negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) ke negeri di bawah Pakatan Harapan (PH)/BN bagi membolehkan PN merampas negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ujar Wan Ahmad, oleh kerana terdapat dakwaan pihak yang cuba memindah tempat mengundi, pihak JPN mesti teliti dan awasi agar pertukaran alamat dalam kad pengenalan tidak diterima tanpa dokumen-dokumen bukti seperti sijil milik rumah, bil eletrik, bil air atau sebagainya.

Menurutnya, JPN dan semua agensi kerajaan perlu berhati-hati dan memperketatkan proses pertukaran alamat terutamanya melibatkan pemindahan negeri-negeri yang akan melaksanakan PRN tidak lama lagi.

"Jadi saya nak tekankan yang data pemilih akan disahkan oleh SPR setiap suku tahun dan apabila pengutipan nama-nama dibuat sehingga 31 Mac, ia akan diproses SPR dan disemak oleh JPN sama ada nama yang didaftar itu meninggal dunia atau sebagainya.

"Pengesahan itu akan berlaku pada bulan April, supaya bantahan atau siasatan itu kita beri dalam masa tempoh satu bulan.

"Jika PRN akan berlaku pada Jun atau Julai maka, data pemilik yang berakhir pada suku tahun pertama itu mungkin akan disahkan oleh SPR,” ujarnya.

Pemimpin PH syor SPR tangguh kelulusan tukar tempat mengundi Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya menangguhkan dahulu kelulusan menukar tempat mengundi bagi mengelak sebarang polemik susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, penangguhan itu perlu dibuat sehingga semua PRN di negeri terlibat selesai.

Justeru katanya, SPR perlu membuat semakan secara teliti melibatkan permohonan mereka yang ingin berpindah dari negeri yang telah selesai mengadakan pilihan raya ke negeri yang bakal mengundi nanti.

"Sebagai contoh, dia tinggal di Pahang dan memohon untuk bertukar bahagian pilihan raya ke Terengganu yang mana kita sedia maklum Pahang telah selesai mengundi.

"Walaupun ia sekadar contoh, tetapi ada kemungkinan dan perkara inilah yang kita harapkan pihak SPR teliti kerana dibimbangi berlakunya usaha untuk eksploitasi keputusan pengundian pada PRN akan datang.

"Jadi, kita harap pihak SPR tidak benarkan sebarang permohonan untuk berpindah tempat mengundi sehingga selesai PRN di keenam-enam negeri itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular di media sosial mengenai dakwaan terdapat gerakan menukar tempat mengundi melibatkan pengundi dari negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) ke negeri di bawah Pakatan Harapan (PH)-BN bagi membolehkan gabungan itu merampas negeri dikuasai kerajaan pada PRN nanti.

Tambah Mahfuz lagi, SPR juga perlu memastikan dakwaan dibuat itu diteliti sepenuhnya bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan baik dan adil.

"Kita juga desak supaya SPR buat siasatan terhadap dakwaan ini dengan meneliti senarai permohonan yang telah dikemukakan oleh individu untuk bertukar tempat mengundi.

"Ia penting untuk mengelak daripada berlakunya satu perancangan yang tidak demokratik,” katanya.

Berdasarkan data SPR setakat 17 Januari lalu, seramai 13,759 orang pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya, manakala 2,029 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Sementara itu, pandangan sama turut disuarakan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Bagaimanapun ujarnya, SPR sememangnya mempunyai syarat dan undang-undang sebelum meluluskan segala permohonan pemindahan alamat pengundi.

Justeru katanya, SPR pastinya menetapkan syarat supaya pemohon yang ingin menukar alamat mengundi perlu menyediakan bukti-bukti tertentu.

Klik di sini untuk terus membaca