PADA hari ini kita sedia maklum kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang menunjukkan penurunan berturut-turut sejak tahun 2020. Tetapi apa agaknya gred atau markah yang Malaysia bakal terima sekiranya di dalam dunia ini ada sebuah suruhanjaya antarabangsa yang diberi tanggungjawab untuk menilai prestasi kerajaan-kerajaan dalam dunia dalam usaha memerangi rasuah dan membudayakan integriti?
Adakah suruhanjaya ini akan percaya dengan janji-janji yang disebut pihak kerajaan atau adakah mereka ingin melihat janji-janji tersebut diterjemahkan menjadi amalan dan dasar jangka panjang negara? Apa agaknya indikator-indikator yang akan mereka ukur untuk menentukan bahawa cakap-cakap ini tidak hanya tinggal cakap sahaja.
Di sebalik apa juga ukuran yang diberikan suruhanjaya ini, saya pasti rakyat Malaysia tidak akan berpuas hati. Kalau suruhanjaya ini memberi kerajaan kita dengan gred B sekalipun, rakyat mungkin akan memberikan C- atau bahkan D dan komen selanjutnya adalah, "kita perlukan iltizam politik yang lebih tinggi!”Iltizam politik yang bagaimana sebenarnya yang diinginkan? Tidak cukupkah dengan tatakelola baik yang dijanjikan oleh Perdana Menteri pada hari ini dengan konsep Malaysia Madani? Tidakkah persoalan lebih penting untuk kita tanya ialah: "Apakah iltizam kita semua sebagai rakyat untuk membudayakan integriti dan menolak rasuah?” dan apa yang telah kita lakukan?
Seperti yang kita ketahui, konsep tentang integriti mempunyai sejarah yang lama dan panjang. Ahli falsafah Perancis zaman medieval, Pierre Abelard menggunakan istilah ‘integratias’ untuk menggambarkan seorang manusia yang mampu mengimbangi keperluan rohani dan jasmaninya.
Dari sudut pandangan ini, manusia dalam keadaan semula jadinya, bertindak balas mengikut tuntutan selera utamanya. Dalam agama Islam kehendak itu dikenali sebagai ‘nafsu’. Maknanya kalau kita bertindak hanya dengan mengikut kehendak ‘nafsu’ maka kita berkemungkinan akan melanggar semua tatakelola dan peraturan yang ada. Orang yang ada integriti harus mampu mengawal nafsunya.
Oleh itu, menurut Abelard, manusia akan sentiasa berada dalam ketamakan, keinginan kepada kepentingan diri, keupayaannya untuk melakukan kekejaman dan kecenderungannya terhadap tingkah laku yang tidak wajar atau menyalahi undang-undang. Tidak ubah seperti seekor haiwan.
Jadi untuk mengharapkan seseorang manusia itu bertindak dengan baik dan berintegriti, kita perlu tentukan agar ‘semangat haiwan’nya digabungkan dengan minda yang terlatih, dan dididik dengan nilai-nilai murni sejagat.
Apa agaknya yang kita perlu lakukan untuk mencapai harapan kita di atas? Yang pertama sudah pasti kita perlu usahakan untuk mendidik rakyat kita dari usia yang paling muda hingga ke dewasa. Pendidikan berterusan sangat penting dalam usaha untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat. Mesej mengenai integriti harus diulang-ulang sebagai peringatan berterusan.
Yang kedua pada hemat saya, kita tidak sepatutnya mengehadkan perbincangan mengenai rasuah dan integriti dengan cara ia dirangka di negara kita pada hari ini. Pada kebiasaannya hari ini dalam banyak hal yang berkaitan, kita berasakan semua masalah boleh diselesaikan hanya dengan mewujudkan undang-undang yang lebih baik atau lebih berkesan. Undang-undang sahaja tidak akan menyelesaikan masalah kita. Apa yang kita perlu bincangkan harus juga melihatnya sebagai sebahagian daripada perbincangan yang lebih mendalam dan luas, terutama tentang jenis budaya yang kita terima pakai sebagai masyarakat. Hanya dengan cara itu barulah kita boleh mula mengesan keutamaan sosial, moral dan etika dengan betul.
Kebanyakan pengkritik merasakan bahawa kita perlu bermula dengan reformasi institusi. Mereka melihat badan eksekutif, Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sistem pilihan raya serta hal-hal berkaitan yang perlu diperbaiki. Kerana pada mereka di sinilah berlakunya penyalahgunaan amanah dan kuasa.Sebarang pembaharuan, menurut mereka mestilah bermula di sini. Kita memerlukan undang-undang ‘baharu’, sistem pilihan raya yang berbeza, sekatan ke atas pelobi dan pembiayaan politik, kita perlu memberi lebih (atau kurang) kuasa kepada cabang eksekutif dan kita perlu mencari jalan untuk menjadikan wakil rakyat yang dilantik lebih responsif dan bertanggungjawab kepada kawasan pilihan raya dan rakyat yang mengundi mereka. Semua ini benar. Kita memerlukan semua ini dilakukan tetapi reformasi institusi ini akan menjadi sia-sia sekiranya manusia yang kita beri tanggungjawab masih bertindak mengikut nafsu mereka.
* Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM