NEGARA kita berbagai kaum, agama, bahasa dan budaya, dan pada teorinya kita meraikan kepelbagaian ini sebagai satu anugerah. Dalam realiti, malangnya ramai antara kita melihat kepentingan masing-masing dalam lensa ‘permainan... Klik di sini untuk terus membaca

NEGARA kita berbagai kaum, agama, bahasa dan budaya, dan pada teorinya kita meraikan kepelbagaian ini sebagai satu anugerah.

Dalam realiti, malangnya ramai antara kita melihat kepentingan masing-masing dalam lensa ‘permainan jumlah-sifar’ (zero sum game) iaitu kita dapat kurang kalau ‘orang lain’ dapat banyak, dan kita hanya dapat banyak jika ‘orang lain’ dapat kurang.

Daripada mentaliti ini, kita tersangkut dalam perangkap ‘mentaliti terkepung’ (under-siege), iaitu senang kalau bukan sentiasa was-was atau gusar bahawa ‘orang lain’ sedang mengatur muslihat untuk melemahkan kita.

Sampailah kadangkala teguran atau pengamatan yang berniat baik boleh dibaca serong semata-mata kerana teguran atau pengamatan itu datang daripada ‘orang lain’.

‘Mentaliti terkepung’ ini sebenarnya yang bahayakan masyarakat kita, bukan perbezaan ataupun kekurangan pergaulan antara rakyat yang berbeza latar belakang.

Kalau mengikut ‘mentaliti terkepung’, maka saya tidak akan mengharapkan Islam dan umat Melayu-Muslim maju di tanah air, kerana saya bukan Muslim.

Malah, pilihan saya untuk menulis dalam Bahasa Melayu mungkin juga mengundang keraguan kalau pandangan saya tidak serasi dengan kerangka pemikiran sesetengah pembaca.

Saya boleh memahami ‘mentaliti terkepung’ ini kerana ia wujud dalam hampir semua komuniti. Ada yang kerana kita bernasib malang dengan pengalaman tidak manis dengan individu-individu yang kebetulan daripada kaum lain. Ada yang kerana sosialisasi songsang yang menanam benih syak wasangka dalam hati kita sebelum kita berkenalan dengan orang lain.

Maka, saya rasa pentingnya untuk menyatakan pandangan saya bahawa Malaysia untung dan saya tumpang keuntungan sebagai rakyat Malaysia sungguhpun bukan Muslim, kalau umat Muslim kuat dan yakin; dan sebaliknya, Malaysia rugi dan saya kongsi kerugian sebagai rakyat Malaysia kalau umat Muslim lemah dan senang gusar.

Pada pandangan saya, kekuatan Muslim bukan sebagai kuasa penjajah dan penakluk yang mendominasi kaum bukan Muslim. Sebaliknya kekuatan Muslim adalah keramahan dan keilmiahan mereka.

Kerana Islam itu ‘rahmat lil alamin’, iaitu rahmat kepada seluruh alam, tidak terhad kepada umat Muslim atau umat manusia sahaja, maka apabila Muslim kuat mengamalkan ramah, sudah tentu semua manusia diberkati.

Keilmiahan Muslim memang terserlah dalam zaman-zaman Empayar Muslim. Bait al-Hikmah (Balai Kebijaksanaan) ialah sebuah perpustakaan dan pusat penterjemahan agung yang ditaja oleh khalifah-khalifah Abbasiyah seperti al-Mansur dan al-Maim dalam abad kelapan dan kesembilan.

Bermula dari zaman Khalifah Harun al-Rashid lagi, Empayar Abbasiyah sudah pun giat menaja penterjemahan daripada karya-karya agung termasuk dalam falsafah daripada bahasa Yunani, Sanskrit, Persia dan Cina. Muslim ketika itu tidak gusar bahawa akidah mereka akan tergugat kerana terdedah dengan idea daripada dunia bukan Muslim.

Umat Muslim yang begitu kuat minat ilmiah ini sudah tentu memberkati seluruh dunia, bukan saja yang Muslim.

Pada 4 Mac yang lepas, seramai 10 orang anak muda bukan Muslim, tujuh orang keturunan Cina dan tiga orang lagi keturunan India, telah mengunjungi Masjid Wilayah di Jalan Duta dan mendampingi rakan-rakan Muslim, di bawah inisiatif rentas-budaya Impact Malaysia dan Projek Artikel 11.

Seramai 10 anak muda bukan Muslim ini tidak hilang akidah mereka dan tiada juga badan-badan Buddis, Hindu dan Kristian yang membantah. Saya harap lawatan sebegini akan mendalami silaturahim antara komuniti.

Indahnya Malaysia apabila kita semua kuat dan yakin dengan agama masing-masing.

Enak sekali masakan kurma

Sesuai ayam, daging dan kambing

Iman lain watan tetap sama

Setiakawan bagai aur dan tebing

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca