KAEDAH pengukuran kecenderungan integriti individu seperti ujian poligraf dan ujian psikometrik mempunyai keupayaan untuk memperkasa integriti warga kerja, seterusnya integriti organisasi masing-masing. Meletakkan individu mempunyai tahap... Klik di sini untuk terus membaca

KAEDAH pengukuran kecenderungan integriti individu seperti ujian poligraf dan ujian psikometrik mempunyai keupayaan untuk memperkasa integriti warga kerja, seterusnya integriti organisasi masing-masing.

Meletakkan individu mempunyai tahap integriti tinggi bagi jawatan dan bahagian berisiko dalam organisasi memerlukan satu kaedah empirikal yang boleh membuktikan keupayaan individu itu berlaku jujur serta amanah menjalankan tugas.

Ia sekali gus dapat membantu mengelak isu integriti seperti isu menerima suapan berlaku.

Baru-baru ini terdapat beberapa cadangan untuk mewajibkan ujian poligraf sebagai usaha meningkatkan kualiti proses tapisan pengambilan kakitangan terutama bagi jawatan kritikal agensi awam.

Ujian poligraf sememangnya salah satu perkhidmatan tambahan yang ada di pasaran bagi tujuan tersebut.

Integriti seseorang individu tidak boleh diukur sekadar dengan mata kasar. Mungkin ada menganggap integriti manusia ada turun naiknya.

Namun, dalam konteks penggunaan kaedah atau alat digunakan bagi mendapatkan maklumat mengenai kecenderungan seseorang individu yang diperoleh secara empirikal, ia dapat membantu pihak pe-ngurusan membuat pilihan terbaik secara kos efektif dari segi pengurusan sumber manusia.

Walaupun calon yang telah melepasi ujian poligraf bagi sesuatu jawatan masih mempunyai risiko melakukan pelanggaran integriti, namun ujian poligraf adalah kaedah boleh dipertimbangkan untuk memantapkan sistem pengurusan dalam proses tapisan kakitangan.

Sementara itu, warga kerja yang telah terjerumus ke dalam pelanggaran etika dan integriti masih boleh dirawat menggunakan intervensi bersesuaian.

Institut Integriti Malaysia (IIM) telah sekian lama memulakan langkah mendidik masyarakat mengenai integriti dan etika termasuk melalui penawaran instrumen Penilaian Integriti Individu (IIP). Ia sejajar dengan fungsi utama IIM iaitu pendidikan, advokasi dan latihan.

Instrumen itu menggunakan kaedah psikometrik dalam mengukur kecenderungan individu yang dapat digunakan untuk pelbagai tujuan bagi memantapkan tadbir urus dan integriti sesebuah organisasi.

IIP salah satu instrumen usaha wajar yang boleh digunakan organisasi komersial sebagai sebahagian tata cara, dengan pematuhan kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Apabila ia dilaksanakan bersama langkah-langkah lain, ia boleh membantu mengurangkan risiko tingkah laku tidak beretika dan menggalakkan budaya integriti, seterusnya dapat mengurangkan risiko rasuah.

Jadi, IIP boleh digunakan dalam pengurusan sumber manusia terutama dalam proses pengambilan dan kenaikan pangkat. Ia juga boleh mengukur kejujuran, nilai etika dan perwatakan keseluruhan seseorang, menjadikannya alat sangat berharga bagi organisasi yang ingin mengenal pasti calon sesuai dengan nilai dan standard mereka.

Penggunaan IIP dalam proses pengambilan pekerja juga boleh membantu organisasi mengenal pasti pekerja berkemungkinan atau ada kecenderungan terlibat dalam tingkah laku tidak beretika atau menyalahi undang-undang.

Maklumat itu boleh membantu organisasi mengelak kerugian disebabkan pekerja tidak beretika. Seperti kata pepatah Inggeris, prevention is better than cure.

Dalam proses kenaikan pangkat, organisasi boleh menggunakan IIP bagi menilai standard etika dan nilai pekerja yang sedang dipertimbangkan untuk peranan kepimpinan.

Input diperoleh melalui ujian poligraf pula adalah empirikal.

Soalan yang dibangunkan pada proses awal akan ditanya kepada individu.

Penghasilan corak graf bergantung pada tindak balas individu itu sama ada bercakap benar atau berbohong.

Ujian poligraf dilihat dapat menjadi pelengkap kepada kaedah psikometrik dalam menentukan tahap integriti dan kebolehpercayaan seseorang individu.

Namun, sebelum inisiatif itu dapat direalisasikan sepenuhnya, beberapa perkara seperti isu perlanggaran privasi perlu diteliti kerana ia melibatkan kaedah penggunaan peranti pengesan pembohongan.

Selain itu, kriteria pemilihan individu yang akan menjalani kursus untuk menjadi pakar pemeriksa poligraf bertauliah perlu diperhalusi bagi memastikan ketelusan penjanaan laporan analisis dalam menentukan kecenderungan integriti individu yang telah menjalani ujian poligraf.

Walau apa pun kaedah yang dipilih, usaha proaktif bagi meningkatkan kawalan dalaman organisasi untuk menangani penipuan, rasuah dan pelanggaran integriti yang lain perlu dipertingkatkan.

Jelas sekali, kaedah bersesuaian mengikut keperluan dan kemampuan organisasi menyumbang kepada usaha memperkukuhkan integriti warga bagi setiap organisasi.

*Wan Suraya Wan Mohd Radzi ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM)

Klik di sini untuk terus membaca