SHAH ALAM - Biarpun pemilihan jawatan tertinggi UMNO terutamanya Naib Presiden hanya akan berlangsung pada Sabtu ini, namun penganalisis politik meramalkan tiga pemimpin berpotensi besar menjadi pilihan utama perwakilan iaitu Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun pemilihan jawatan tertinggi UMNO terutamanya Naib Presiden hanya akan berlangsung pada Sabtu ini, namun penganalisis politik meramalkan tiga pemimpin berpotensi besar menjadi pilihan utama perwakilan iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, peluang Azalina untuk menang salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO cerah kerana satu-satunya wanita bertanding jawatan berkenaan.

Chin Huat menegaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana satu-satunya pemimpin wanita paling berkaliber, selepas persaraan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Azalina juga adalah antara menteri paling aktif dalam kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerjasamanya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga membawa kepada pindaan Perlembagaan bagi membolehkan anak wanita rakyat Malaysia yang lahir di luar negara memperoleh kewarganegaraan.

"Kesungguhan Azalina melawan kerabat Sulu dalam mempertahankan kedaulatan dan aset Malaysia, beliau mempunyai rekod kerja yang dapat memikat hati kedua-dua pengundi wanita dan pengundi nasionalis serta memulihkan imej UMNO sebagai parti berkompeten mentadbir negara,” katanya kepada Sinar Premium.

Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden parti itu.

Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Mohamed Khaled dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain Azalina dan Johari, empat lagi calon adalah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden parti itu. - Foto Bernama

Dalam pada itu, Chin Huat juga tidak menafikan saingan hebat bakal diberikan calon lain seperti Mohamed Khaled, Johari dan Hasni bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO sekali gus membawa naratif baharu dalam parti itu.

PengaruhFelo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir pula berpandangan, selain Azalina, peluang Mohamed Khaled untuk menang adalah cerah kerana beliau bukan sekadar penyandang, malah dilihat sebagai orang kanan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jeniri juga meramalkan satu lagi jawatan Naib Presiden UMNO bakal diisi oleh Johari kerana Ahli Parlimen Titiwangsa itu mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan orang UMNO, biarpun dianggap bukan pemimpin daripada kem Presiden UMNO.

Turut senada, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali melihat Azalina, Mohamed Khaled dan Johari bakal bersaing hebat bagi mengisi tiga jawatan Naib Presiden kerana mereka mempunyai pengaruh sendiri dan boleh membantu Presiden UMNO memulihkan semula imej parti berkenaan selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Mazlan berkata, peluang Wan Rosdy dan Hasni menang adalah sukar kerana pengaruh mereka di peringkat nasional jauh kebelakangan berbanding Mohamed Khaled, Azalina dan Johari.

"Apabila dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, maka semua perwakilan akan memberi fokus sepenuhnya kepada pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi.

"Jadi perwakilan melihat pemilihan jawatan Naib Presiden penting bukan sekadar memenuhi kuota sahaja atau menghargai jasa seseorang pemimpin.

"Orang UMNO melihat calon Naib Presiden secara serius kerana mereka adalah pengganti Presiden apabila Ahmad Zahid berundur nanti,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca