BARU-BARU ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumur dan Shah Alam atas tuduhan menerima sumbangan wang daripada pihak tertentu yang dimasukkan terus ke akaun parti. Tidak ada pertuduhan tentang... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumur dan Shah Alam atas tuduhan menerima sumbangan wang daripada pihak tertentu yang dimasukkan terus ke akaun parti.

Tidak ada pertuduhan tentang wang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Persoalannya, adakah seorang presiden parti wajar dipersalahkan apabila partinya menerima sumbangan politik daripada penyumbang yang menyalurkan sumbangan tersebut terus ke akaun parti?

Kita belum mempunyai undang-undang pendanaan politik. Dalam hal ini, saya terlibat dalam proses menggubal Akta Pendanaan Politik iaitu melalui All Party Parliamentary Group Malaysia tentang Pendanaan Politik (APPGM-PP) sejak Parlimen ke-14.

Sekretariatnya ialah Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Majlis Peguam menyediakan drafnya. Siri libat urus dengan pelbagai pemegang taruh dianjurkan.

Penyelidikan dilakukan termasuk melihat pengalaman Jerman, United Kingdom, Jepun dan Australia.

Akta Pendanaan Politik ialah salah satu inisiatif dalam agenda reformasi sistem dan institusi politik iaitu untuk membangun politik baharu termasuk demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum serta moderat.

APPGM-PP telah menyiapkan draf Akta Pendanaan Politik dengan objektif, antaranya untuk:

1. Menyediakan peraturan pendanaan kepada parti-parti politik oleh awam dan swasta.

2. Pengurusan dana untuk membiayai aktiviti parti-parti politik.

3. Larangan sesetengah jenis sumbangan diberi kepada parti politik.

4. Keperluan dan peraturan pendedahan yang penuh serta telus dengan semua sumbangan yang diterima parti-parti politik.

Semua parti hendaklah memberi prioriti maksimum terhadap soal pendanaan yang adil dan saksama berasaskan piawaian antarabangsa dengan tujuan memperkasa demokrasi Malaysia serta keterbukaan, ketelusan, akauntabiliti dan pendedahan kepada awam.

Dengan wujudnya Akta Pendanaan Politik, sesebuah parti politik boleh mendapatkan sumbangan daripada tiga kumpulan utama iaitu anggota-anggotanya, individu-individu atau kumpulan individu, swasta dan awam.

Tetapi ada swasta yang dilarang, contohnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sementara setiap sumbangan yang melebihi jumlah tertentu hendaklah didedahkan dengan kaedah tertentu.

Ini bermakna, menerima dana bagi pihak parti politik, yang dana itu dimasukkan terus ke akaun parti iaitu bukannya akaun peribadi adalah dibenarkan. Inilah yang dilakukan Muhyiddin.

Akta Pendanaan Politik juga menggariskan aktiviti-aktiviti yang digalakkan untuk dana tersebut diguna oleh parti politik, contohnya penyelidikan bidang polisi pembangunan dan meningkatkan partisipasi wanita dalam politik.

Ia juga menggariskan aktiviti-aktiviti dana itu tidak boleh digunakan, contohnya, perniagaan oleh parti politik.

Di samping itu, saya turut mencadangkan Akta Pendanaan Politik yang lebih komprehensif iaitu melibatkan dana untuk:

1. Parti politik – secara umum (untuk pengurusan) dan berdasarkan jumlah undi diperolehnya dalam pilihan raya.

2. Ahli Parlimen – untuk pengurusan di Parlimen dan kawasan, kakitangan, penyelidik, perhubungan awam serta media.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca