BARU-BARU ini menjadi bualan hangat komuniti politik mengenai kecenderungan parti Melayu-Islam yang menyuarakan hasrat mahu menyertai koalisi Perikatan Nasional (PN).
Antaranya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketuai Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengesahkan pihaknya telah menghantar surat permohonan untuk bersama PN yang dipimpin Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dianggotai Tun Dr Mahathir Mohamad turut dikhabarkan mahu menyertai PN, namun dakwaan itu kemudian dinafikan menerusi satu kenyataan rasmi parti tersebut.
Tidak dapat disangkal, PN telah berjaya membuktikan kecemerlangan politik ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu apabila menyapu bersih kemenangan di Kelantan dan Terengganu.
Malah, gelombang kebangkitan PN juga menyaksikan koalisi dibarisi Bersatu, Pas dan Gerakan itu hampir menakluki sepenuhnya negeri Kedah dengan memenangi 14 kerusi Parlimen kecuali di Sungai Petani.
Namun adakah kecenderungan parti Melayu-Islam yang memilih untuk bersama PN ini boleh disifatkan satu perkembangan sihat untuk politik negara atau cuba mengambil kesempatan di bawah naungan koalisi parti berkenaan?
Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis melihat kecenderungan penjajaran parti Melayu-Islam dengan PN adalah bermotifkan kepentingan politik terutama menjelang persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
"Memandangkan momentum Melayu-Islam masih bergelombang, parti-parti Melayu-Islam kecil dilihat mahu mengambil kesempatan ini untuk membentuk pengaruh dan kekuatan.
"Parti seperti Pejuang menyedari kesukaran untuk mendepani PN dan Pakatan Harapan (PH) secara bersendirian, maka menyertai PN dilihat memberi lebih kelebihan berbanding PH memandangkan mereka adalah parti Melayu-Islam,” kata Mujibu kepada Sinar Premium.
PRU15 lalu menyaksikan sebanyak RM3.77 juta wang pertaruhan hangus melibatkan 377 calon bertanding.
Pejuang menjadi parti tertinggi menyumbang kepada nilai tersebut selepas kesemua 117 calonnya, diketuai Dr Mahathir yang bertanding di Parlimen Langkawi.
Antara pemimpin kanan Pejuang yang turut hilang wang pertaruhan adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun selepas tewas kepada calon PN, Dr Abd Ghani Ahmad, manakala Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Marzuki Yahya gagal merampas kerusi Sungai Petani daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurut Mujibu, tren penjajaran ini turut berlaku disebabkan pola pengundian memberi gambaran bahawa pengundi Melayu cenderung kembali menjadi konservatif-Islamis, selain jangkaan bahawa pengundi muda lebih rasional dan terbuka.
"Pola pengundian tersebut telah membawa kejayaan besar kepada Bersatu-Pas ketika PRU15 tahun lalu dan ia dijangka berterusan pada PRN akan datang.
"Justeru menyertai PN akan mendatangkan keuntungan kepada parti Melayu-Islam kecil ini selepas kalah teruk dalam PRU15 sewaktu bertanding di bawah satu pakatan pilihan raya yang longgar,” jelas beliau.
Sekiranya penjajaran ini benar-benar berlaku, Mujibu menegaskan, ia bakal memperluaskan pola sokongan PN dengan penyertaan parti baharu dan tokoh penting Melayu.
"Penjajaran ini dapat membina kekuatan serta pengaruh dalam menyaingi PH-BN dalam PRN kelak dan menyukarkan PH untuk bersaing di negeri dengan demografi pengundi Melayu yang tinggi seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu,” ujarnya.
Impak negatif
Melihat sudut negatif, terdapat kebarangkalian penjajaran parti Melayu-Islam dengan PN mungkin memecahbelahkan lagi politik orang Melayu serta meningkatkan prejudis dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
"Berkemungkinan penjajaran akan menjauhkan pengundi bukan Melayu daripada PN yang dilihat masih tiada kekuatan untuk menarik sokongan kelompok itu di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, langkah penjajaran turut menyukarkan Kerajaan Perpaduan terutama parti Melayu di dalamnya seperti UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bersaing di kawasan pengundi Melayu.
"Walaupun Pejuang tidak mempunyai kekuatan pengundi dan akar umbi, namun naratif penyatuan Melayu-Islam dan penyertaan mereka sedikit sebanyak akan mengukuhkan kedudukan politik Melayu yang masih gagal disaingi oleh PH dan semakin longgar dikuasai UMNO-BN,” katanya.
Turut senada, Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi yang menyifatkan tren penjajaran parti politik ini sebagai satu proses biasa dalam sistem demokrasi."Penjajaran parti seperti ini berlaku berikutan masing-masing mahu mencari kekuatan politik sama ada di peringkat Pusat atau negeri demi mendapatkan kuasa politik melalui sokongan rakyat dalam pilihan raya.
"Selain itu, tren ini juga berlaku kerana parti-parti politik dalam gabungan sedang merangka strategi dan membina kekuatan untuk bersaing dengan kerajaan PH,” jelasnya.
Beliau berkata, beberapa kelemahan kerajaan PH boleh menjadi pemangkin kepada parti seperti Pejuang untuk bergabung dengan PN bagi mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan politik Melayu.
Jelas Hussain Yusri, selain strategi politik untuk memenuhi keperluan pilihan raya, pakatan parti Melayu-Islam bersama PN dilihat dapat memberi fokus kepada dasar dan perjuangan bersama di samping meraih sokongan rakyat melalui gabungan permuafakatan politik yang besar.
"Walau bagaimanapun, percaturan politik perlu diperhalusi dengan sebaiknya untuk mengelakkan pelbagai konflik yang berlaku dalam kalangan gabungan sendiri terutama dalam soal isu agihan kerusi dan sokongan setempat.
"Perlu diingatkan, kepelbagaian parti secara langsung dapat menyuburkan proses demokrasi, namun dari sudut yang lain ianya menyukarkan rakyat dalam membuat keputusan yang tepat dan meletakkan negara pada landasan yang betul,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca