ADA pembelajaran boleh dikutip daripada kegagalan ‘teknologi’ melibatkan Silicon Valley Bank (SVB). Sebagai bank kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS), SVB menjadi pembiaya kewangan kepada banyak syarikat teknologi di seluruh dunia.
Teknologi perbankan seharusnya kukuh dan tidak mudah runtuh sehingga membawa kepada kemusnahan.
Sebenarnya, definisi teknologi banyak diberikan nafas baharu selepas dunia dilanda pandemik. Misalnya, teknologi teleperubatan dan telekesihatan digunakan meluas bagi tujuan perkhidmatan penjagaan kesihatan jarak jauh.
Keruntuhan SVB membuktikan kerja penyelidikan gunaan (applied research) kurang dilakukan terhadap tuntutan teknologi penting (essential technology demanded) perbankan.
Penulis mendapati dalam masa singkat, potensi pendekatan inovatif bagi menangani krisis perbankan atau kesihatan harus menjurus kepada kemampuan teknologi berkepakaran, khususnya syarikat gergasi atau sesebuah negara.
Persoalannya, adakah teknologi baharu yang telah atau sedang dibangunkan sesuai dengan kepentingan masyarakat dan kemajuan sejagat?
Pakar pasaran digital dan pengurusan jenama Universiti New York, Profesor Scott Galloway dalam buku terbaharunya bertajuk The Four: The hidden DNA of Amazon, Apple, Facebook and Google telah mengulas keperluan lima sektor dalam perkembangan teknologi dunia.
Beliau turut mencadangkan kaedah Trillion Algorithm atau T-Algorithm yang dibangunkan berasaskan lapan pemboleh ubah untuk mengenal pasti ‘penunggang kuda’ (horseman) atau peneraju teknologi masa depan.
Antara faktor pemboleh ubah itu ialah pembezaan produk, modal berwawasan (visionary capital), capaian global, kebolehsamaan (likeability), integrasi menegak (vertical integration), kecerdasan buatan, pecutan kerjaya (career accelerant) dan geografi.
Ketika ini, Amazon, Apple, Facebook dan Google dikenal pasti empat syarikat berteknologi tinggi yang memenuhi lapan kriteria pemboleh ubah T-Algorithm untuk menjadi peneraju teknologi. Tesla, Alibaba dan Uber juga dikatakan turut menepati kriteria T-Algorithm.
Berdasarkan kajian McKinsey Digital tentang Technology at the Edge: Trends Reshaping the Future mendapati perubahan teknologi semakin pantas.
Industri perlukan era digitalisasi berorientasikan kuasa pengkomputeran, jalur lebar dan kecanggihan analisis untuk membuka pintu peluang inovasi ke arah pembentukan model perniagaan dan pasaran baharu.
Secara harfiah, McKinsey ialah salah satu jenama paling dikenali di dunia. Ia membuat gelombang baharu dalam ruang perundingan teknologi melalui McKinsey Digital (dikenali sebagai Digital McKinsey).
Laporan McKinsey turut mendedahkan empat trend teknologi saling berkait membentuk masa depan iaitu inovasi terkini, budaya pengajaran dan pembelajaran berterusan, teknologi maklumat sebagai perkhidmatan serta sempadan amanah antara satu sama lain diperluaskan.
Penulis percaya tiada sesiapa pun mampu meramal masa depan. Namun, ada lima teknologi diperlukan bagi meramal teknologi masa depan iaitu kecerdasan buatan, teknologi rantaian-blok atau blockchain technology (Bc) yang menjamin rekod transaksi secara selamat.
Internet of Things (IoT) pula menjadi rangkaian peranti, penderia dan objek yang saling bersambung serta berkomunikasi antara satu sama lain untuk mengumpul dan berkongsi data.
Teknologi generasi kelima atau 5G pula menyediakan kelajuan data lebih pantas, kependaman (latency) lebih rendah dan kapasiti lebih tinggi.
Dengan permintaan yang meningkat untuk aplikasi intensif data seperti realiti maya dan kenderaan autonomi, 5G boleh menjadi jawapan terbaik kepada permintaan terkini.
Meskipun pengkomputeran kuantum atau Quantum computing (Qcom) masih di peringkat awal, namun ia berpotensi merevolusikan pengkomputeran dengan menyelesaikan masalah kompleks yang tidak dapat diselesaikan oleh pengkomputeran klasik.
ALLAH SWT sebenarnya telah menyebut perihal itu dalam surah Al-Mujaadilah ayat 58:11 bermaksud: "Hai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepada mu, berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untuk mu.
"Dan apabila dikatakan, berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Secara keseluruhan, Malaysia perlu menguasai teknologi baharu sekiranya mahu menguasai sesuatu bidang pada masa hadapan. Tragedi SVB yang memiliki sejarah mengagumkan dalam masa 40 tahun, mungkin boleh berlaku kepada konglomerat Malaysia sekiranya gagal menguasai teknologi berkepakaran.
Kesimpulannya, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menguasai teknologi terkini sekiranya mahu menjadi negara maju.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca