GEORGETOWN - Tidak mahu anak menantu terus bergaduh kerana dirinya, menyebabkan seorang warga emas nekad keluar dari rumah untuk hidup seorang diri.
Tanpa arah tuju, bapa kepada tiga anak yang hanya mahu dikenali sebagai Huat, 71, keluar dari rumah anak keduanya di Alor Setar, Kedah sejak 2018 kerana merasakan dirinya sebagai beban kepada anak, menantu dan cucunya.
Huat berkata, setiap hari anaknya bergaduh dengan isteri disebabkan menantunya itu tidak setuju dia tinggal bersama mereka.
Katanya, sejak kematian isterinya tujuh tahun lalu, menantunya yang berpangkat pegawai tinggi di sebuah syarikat swasta itu mencadangkan agar dia diletakkan di rumah orang tua.
Bagaimanapun, anak lelakinya tidak setuju lalu mengambilnya untuk tinggal bersama mereka sekeluarga.
"Saya ada tiga anak, dua perempuan seorang lelaki. Dua anak perempuan dari awal tidak mahu jaga saya dengan alasan mereka tidak cukup masa untuk jaga saya, selain suami masing-masing tidak izinkan. Saya tak kisah cuma terkilan apabila ketiga-tiga anak saya paksa saya jual rumah.
"Mereka bagi alasan, jika jual rumah, saya ada duit poket. Mereka kata lagi, selepas jual rumah, saya boleh tinggal dengan anak lelaki. Saya fikir, betul juga. Saya pun jual tetapi akhirnya, setelah dua tahun tinggal dengan anak lelaki, jadi masalah pula,” katanya ketika ditemui di Stesen Bas Komtar di sini pada Khamis.
Anak jati Kedah itu berkata, paling menyayat hati, anaknya sudah mula memukul cucunya setiap kali bertengkar dengan isterinya.
"Mereka sering bertengkar kerana saya, pertengkaran mereka semuanya berpunca daripada saya. Saya tidak sanggup melihat anak saya pukul cucu kerana tertekan setiap kali bertengkar dengan isterinya.
"Saya kemudiannya nekad untuk keluar rumah, sehelai sepinggang. Bawa baju dua tiga helai, duit pun seingat saya ada RM80 saja. Ikut kaki saja nak pi (pergi) mana. Akhirnya saya naik bas ke Pulau Pinang,” katanya.
Huat berkata, hatinya remuk kerana ketiga-tiga anaknya langsung tidak mencarinya apatah lagi ingin menjaganya.
"Sejak saya keluar dari rumah, saya tak jumpa lagi anak-anak. Saudara-mara pun tak ada, hilang entah ke mana. Selepas isteri meninggal dunia sebab demam dan batuk berpanjangan, saudara-mara pun tidak pernah lagi menjenguk kami sekeluarga.
"Tak apalah, saya bahagia tinggal di sini walaupun hidup atas ihsan orang ramai. Tidur di atas bangku simen pun tak apa, asalkan tak susahkan orang. Ramai kawan-kawan dan mereka pun nasib sama seperti saya, anak-anak tak mahu bela. Apa boleh buat, ini nasib kami,” katanya.
Mengimbas kehidupannya sebelum isterinya meninggal dunia, Huat berkata, dia dan isterinya berniaga char kuetiau untuk menyara ketiga-tiga anak mereka.
"Saya belajar tak pandai, jadi berniaga saja untuk hidup. Dengan duit berniagalah saya dan isteri menyara sekolah anak-anak. Mereka semua pandai belajar, kerja bagus. Mungkin mereka malu ada bapa macam saya.
"Saya tak ada duit, sebab itu menantu dan anak-anak tak suka. Saya tak ada siapa-siapa sekarang, umur pun sudah tua, tunggu Tuhan ‘angkat’. Seronok tinggal di sini, tak ada masalah. Mewah dengan makanan yang diberikan mereka yang baik hati,” katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Huat dengan linangan air mata mengakui, dia amat rindu dengan anak-anak dan cucunya.
"Walaupun mereka semakin jauh daripada saya, mereka tidak pernah saya lupakan. Saya rindu kesemua anak-anak saya tetapi saya sedar, mereka tidak perlukan saya lagi.
"Saya tidak pernah marah malah tidak pernah berdendam dengan mereka. Mungkin ini takdir hidup saya,” katanya.
'Saya tidak mahu tinggal di sini'
"Saya dihantar ke rumah penjagaan ini dua tahun lalu walaupun saya tidak mahu tinggal di sini kerana lebih selesa berada di rumah,” luah seorang pesara dikenali sebagai Pak Mat yang berusia 63 tahun.
Bapa kepada empat anak itu berkata, hidupnya berubah selepas diserang strok pada tahun 2021 dan sejak itu dia tidak mampu untuk berjalan kerana lumpuh di bahagian kaki.
Lebih malang dakwanya, isterinya turut menghilangkan diri kerana tidak mahu menjaganya manakala anak-anak mengambil keputusan menghantarnya ke sebuah rumah penjagaan swasta di sini.
"Masa saya banyak dihabiskan di atas katil. Isteri saya tidak dapat menerima keadaan ini lalu meninggalkan saya, manakala anak-anak pula menghantar saya ke rumah penjagaan ini.
"Walaupun anak-anak ada datang melawat tetapi saya lebih selesa tinggal di rumah kerana di sini saya kesunyian,” kata penyokong tegar pasukan bola sepak Manchester United itu kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menyingkap kisahnya di rumah penjagaan itu, Pak Mat yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, tahun ini merupakan tahun kedua dia akan menyambut ketibaan Ramadan keseorangan.
"Tahun lalu Ramadan di sini (rumah perlindungan) tidak ada masalah kerana mereka ada menyediakan juadah berbuka tetapi keadaannya tidak sama jika bersama dengan keluarga sendiri,” ujarnya.
Mengakui, kehidupannya di rumah penjagaan itu tidak begitu menyulitkan memandangkan sikap kakitangan rumah perlindungan yang begitu ramah dan prihatin terhadap setiap penghuni.
"Cuma, kalau sunyi saya akan teringatkan keluarga dan saya agak kecewa kerana dihantar ke sini. Kalau boleh saya mahu tinggal di rumah sendiri,” katanya yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur.
Klik di sini untuk terus membaca