SHAH ALAM - Golongan berkemampuan namun mengabaikan ibu bapa mereka yang sudah tua wajar dikenakan hukuman denda dan aktiviti khidmat masyarakat.
Selain itu, kerajaan juga boleh mewajibkan pemberian wang melalui potongan gaji sebagai bentuk balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, bentuk hukuman tersebut bersifat ‘menang-menang’ dalam usaha memastikan kebajikan golongan warga emas terpelihara.
Katanya, hukuman penjara tidak begitu sesuai kerana ia tidak mendatangkan manfaat kepada warga tua.
"Perlu juga ambil kira, tak semua anak-anak mampu. Jika dikenakan hukuman penjara, kehidupan mereka dan keluarga akan tertekan, begitu juga dengan ibu bapa.
"Jadi hukuman khidmat masyarakat atau denda lebih sesuai. Jika nak buat potongan gaji, anak-anak yang mampu memang wajar.
"Tapi dengan syarat ada pihak membuat penilaian anak tu berkemampuan untuk potong gaji dengan jumlah yang munasabah dan tidak semestinya dengan jumlah sama rata, kerana pendapatan setiap anak berbeza,” katanya.
Jelas beliau, pada masa ini Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang khusus bagi menjaga kebajikan warga emas sebagaimana undang-undang yang melindungi wanita dan kanak-kanak.
Justeru, tambah beliau, langkah kerajaan untuk memperkenalkan akta warga emas adalah tepat namun perlu dibuat dengan menyeluruh bukan hanya melibatkan aspek pemberian wang kepada ibu bapa, tetapi juga daripada segi mental, fizikal dan psikologi.
"Contohnya, di Singapura, ada peruntukan undang-undang yang membolehkan golongan ibu bapa memohon tindakan tribunal untuk anak-anak sara mereka.
"Manakala di India, terdapat akta nafkah kebajikan ibu bapa dan warga tua dan ini lebih menyeluruh,” katanya.
Bagaimanapun katanya, di bawah undang-undang syariah, terdapat beberapa kes keputusan mahkamah yang memerintahkan anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.
"Namun ia terhad kepada keputusan mahkamah dan hanya terpakai untuk orang Islam sahaja,” katanya.
Perluaskan definisi abai ibu bapa
Sementara itu, pengabaian terhadap ibu bapa daripada aspek makan minum, kesihatan, tempat tinggal, serta kasih sayang perlu diambil kira dalam usaha mewujudkan undang-undang yang mempertanggungjawabkan kebajikan ibu bapa di bawah anak-anak.
Pakar undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berpandangan, inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan akta warga emas perlu dilaksanakan dengan terperinci, demi menjaga kebajikan warga emas terutamanya dalam kalangan B40.
Justeru, kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khusus yang memperuntukkan anak-anak perlu menyumbang semula demi kebajikan ibu bapa mereka.
"Pengabaian meliputi banyak perkara. Tak beri makan minum, tak beri kasih sayang (tak hantar ibu bapa ke hospital jika sakit), anak-anak yang abaikan kebajikan tempat tinggal ibu bapa, rumah yang usang tidak dibaiki.
"Ketika anak masih kecil, semua tanggungjawab itu bawah ayah sehingga umur 18 tahun. Apabila ibu bapa sudah tua, kewajipan itu jadi terbalik.
"Bagi saya, ia adalah ruang perundangan yang sangat baik tanpa mengira agama dan bangsa, bahawa wajibkan anak-anak menjaga kebajikan ibu bapa mereka dahulu, termasuk sekiranya perlu membuat potongan gaji secara terus," katanya.
Dalam pada itu, Noor Aziah berkata, kerajaan wajar mewujudkan undang-undang yang mengambil kira warga emas mengikut kategori mempunyai pencen atau tidak.
"Jika ada tujuh orang anak, setiap anak beri RM100 (sebulan) sudah ada RM700. Kalau tak cukup, kerajaan perlu tambah," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca