SELEPAS selesai pemilihan sayap UMNO pada Sabtu lalu, parti keramat Melayu itu bakal menyaksikan kemuncak pemilihan pemimpin yang bakal merebut jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini.
Tumpuan tentunya terarah kepada siapa yang bakal menduduki jawatan Naib Presiden setelah UMNO memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Lapan pemimpin yang memperlihatkan muka baharu dan lama telah disahkan akan merebut jawatan itu setelah tempoh mengemukakan pencalonan berakhir pada 26 Februari lalu.
Sama ada akan berlaku kejutan pemimpin baharu yang diangkat atau dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkemungkinan kekal, menjadi perkara yang dinantikan.
Enam lagi calon sah bagi jawatan Naib Presiden yang bakal menjadi pencabar kedua-dua mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut bertanding, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.
Susulan kontroversi dua jawatan utama UMNO tidak dipertandingkan, pemilihan bagi jawatan Naib Presiden yang bakal ditentukan oleh 191 bahagian UMNO seluruh negara ini boleh dianggap sebagai ‘harapan baharu’ untuk melihat perubahan dalam parti berkenaan.
UMNO disebut begitu dahagakan sentuhan daripada kepimpinan baharu dalam usaha mengalih semula perhatian rakyat untuk menjadikan parti itu sebagai pilihan ketika pilihan raya umum (PRU).
Bagaimanapun, tidak kira siapa yang bakal menduduki jawatan ketiga tertinggi parti itu, adakah akan ada perubahan drastik yang menjamin masa depan UMNO? Perkara tersebut perlu dibuktikan oleh barisan pemimpin yang dipilih nanti.
Sementara itu, seramai 95 calon bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga tidak kurang menjadi tumpuan.
Beberapa nama besar yang terdiri daripada mereka yang bertaraf menteri dan timbalan menteri telah mencalonkan diri pada pemilihan kali ini.
Antaranya, Menteri Luar merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah turut bertanding.
Namun, paling menarik perhatian adalah penampilan semula pemimpin lama UMNO sebagai calon MKT iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.
Barisan kepimpinan MKT yang bakal dipilih juga memainkan peranan penting sebagai ‘suara’ UMNO.
Bakat kelantangan suara berbeza yang dimiliki setiap calon wajar menjadi kayu pengukur dalam menilai siapa yang layak untuk berada dalam kapal nakhoda Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.
Adakah akan wujud elemen kejutan pada keputusan pemilihan nanti? Segalanya akan terjawab nanti.
Klik di sini untuk terus membaca