ANKARA - Kira-kira sebulan selepas siri gempa kuat menggegar Turkiye, negara itu sekali lagi dilanda bencana alam yang telah meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa dan sejumlah mangsa dihanyutkan arus deras.
Hujan lebat mencetuskan banjir kilat yang melanda zon gempa telah menambahkan lagi kesengsaraan mangsa yang kebanyakannya kini berlindung di khemah sementara.
Benarlah bak kata pepatah, nasib mangsa gempa di Ankara ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Ketika ini sebahagian besar penduduk yang terjejas masih dihantui perasaan trauma walaupun sudah lebih sebulan tragedi menggemparkan itu berlaku dan mengorbankan lebih 50,000 orang termasuk hampir 6,000 di Syria.
"Sebarang bunyi kuat sudah cukup menggerunkan dan terus buat saya jadi gementar. Segala-galanya mengingatkan saya kepada kejadian gempa itu termasuk bunyi pesawat,” ujar Abdullah Senel.
Di Kahramanmaras, bandar berhampiran pusat gempa, keadaan kini seperti padang jarak padang tekukur.
"Ia seperti berlaku semalam. Saya tinggal di tingkat 11 ketika bangunan kediaman kami bergoncang dengan kuat secara tiba-tiba.
"Saya masih boleh mendengar suara jeritan jiran-jiran kami yang meminta tolong. Sukar untuk lupakan detik cemas itu,” kata Adem Serin.
Pada masa ini, usaha pembersihan sisa runtuhan sedang giat dijalankan.
"Kira-kira 200 hingga 250 tan timbunan konkrit dibersihkan dan diangkut ke tapak pelupusan setiap hari. Kami juga akan memastikan ia tidak menghasilkan debu tebal yang boleh menjejaskan penduduk,” jelas Eren Genc di Direktorat Perhutanan di wilayah Sivas.
Difahamkan, hampir dua juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di bawah khemah, kontena, rumah tamu, asrama dan masjid.
Ada yang terpaksa kembali semula ke rumah mereka yang separa musnah kerana kekurangan khemah tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa.
Di barat laut Syria, lebih 10,000 bangunan musnah atau separa musnah akibat gempa tersebut.
Kemudahan kesihatan di kawasan yang dikawal kumpulan pemberontak dilaporkan terjejas teruk, malah ribuan mangsa terpaksa bersesak di pusat penempatan sementara dengan akses bekalan air bersih yang terhad.
Situasi itu menyebabkan golongan tersebut berisiko tinggi dijangkiti penyakit.
"Penularan wabak amat berpotensi di kawasan zon gempa tersebut,” menurut jurucakap Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Tambahnya lagi, golongan kanak-kanak paling terdedah dengan penyakit bawaan air seperti kolera dan cirit-birit air akut yang boleh menjadi ‘malapetaka besar’.
Awal bulan lalu, Program Pembangunan PBB (UNDP) menganggarkan kos kemusnahan gempa di Ankara lebih AS$100 bilion (RM448 bilion).
Klik di sini untuk terus membaca