SHAH ALAM - Orang ramai perlu lebih terbuka dalam isu lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya jika mereka mempunyai kepakaran serta kebolehan memimpin agensi berkenaan. Ketua Kluster Tadbir Urus dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai perlu lebih terbuka dalam isu lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya jika mereka mempunyai kepakaran serta kebolehan memimpin agensi berkenaan.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, sekiranya pelantikan politik itu dibuat berdasarkan kelulusan profesional seseorang, maka tidak sepatutnya timbul sebarang masalah.

"Pertama, kita perlu merujuk kembali kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana beliau menegaskan sekiranya pelantikan itu adalah daripada mereka yang mempunyai kepakaran dan boleh memberi sumbangan, maka ia sesuatu yang dibenarkan.

"Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra, mempunyai latar belakang sebagai seorang akauntan yang dapat membantu dan menambah baik organisasi tersebut dengan kepakarannya.

"Begitu juga dengan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara). Beliau merupakan pensyarah universiti tempatan serta mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi.

"Sudah tentu beliau mempunyai pengetahuan yang sesuai untuk membantu Mara membuat keputusan-keputusan yang lebih profesional,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau mengulas kritikan beberapa pihak yang menyifatkan tindakan lantikan politik tidak selari dengan keputusan Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini menentang pelantikan itu dalam agenda pentadbirannya.

Selain Ahmad Jazlan dan Asyraf Wajdi, bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau (PKR), Bakhtiar Wan Chik turut dilantik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, lantikan politik terhadap mana-mana individu yang ada kepakaran tertentu adalah satu tindakan tepat yang boleh mendatangkan kebaikan terhadap agensi yang diwakili dan juga kepada negara.

"Kita lihat kesan positif pelantikan Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang dahulunya merupakan seorang ahli politik tetapi mempunyai pengalaman profesional sebagai bekas Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia (BNM).

"Oleh itu, individu hebat seperti ini wajar dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sesuai dengan kepakaran beliau dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam,” katanya.

Biarpun budaya pelantikan politik itu terus wujud, Ahmad Martadha yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM melihat, ia sudah berkurangan kerana sensitiviti masyarakat yang semakin tinggi.

"Majoriti individu yang dilantik dahulu ialah orang politik biarpun tiada kepakaran dalam bidang berkaitan.

"Bagi saya, pelantikan politik tidak salah sekiranya mereka benar-benar boleh membantu dan menyumbang semula pada negara,” katanya.

Buktikan prestasiDalam pada itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, definisi pelantikan politik itu perlu dinilai dan diperhalusi dari pelbagai perspektif secara terbuka kerana ia akan memberikan tanggapan yang salah.

"Dalam aspek pelantikan kepada agensi-agensi berkepentingan, menteri berupaya untuk melihat siapa pemimpin berwibawa yang wajar dilantik kepada portfolio tertentu.

"Selepas itu, mereka boleh dinilai berdasarkan petunjuk prestasi supaya masyarakat dapat melihat sumbangan utama yang telah diberikan terhadap agensi-agensi berkaitan selepas 100 hari, enam bulan dan setahun pemerintahan,” katanya.

Noor Nirwandy juga berpandangan, apabila masyarakat terlalu cepat mentakrifkan semuanya pelantikan itu sebagai pelantikan politik, maka keterbatasan untuk meletakkan lantikan lain sebagai bukan politik akan menjadi sukar untuk dijelaskan.

"Kita perlu memberi ruang untuk menterjemahkan lantikan berdasarkan prestasi setelah pelantikan itu berlaku dan ia perlu dikemukakan pada orang ramai supaya mereka dapat membuktikan kewibawaannya dengan apa yang telah disumbangkan kepada masyarakat.

"Sekiranya kita terlalu cepat menilai pelantikan itu adalah pelantikan politik semata-mata, maka, fikiran kita akan terbatas biarpun ada individu yang layak dan mampu memberi kejayaan kepada agensi yang bakal dipimpin,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca