ISU Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam sesi perbahasan minggu lalu menarik untuk diperhatikan. Gesaan beliau bahawa Kementerian Pendidikan... Klik di sini untuk terus membaca

ISU Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam sesi perbahasan minggu lalu menarik untuk diperhatikan.

Gesaan beliau bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan audit teknikal dan mengambil tindakan terhadap syarikat penyedia (vendor) disebabkan sistem tersebut sering mengalami gangguan teknikal sangat bertepatan.

Malah, dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat Khamis lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menjawab soalan Ahli Parlimen yang sama menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran terma dan syarat yang telah ditetapkan kepada vendor idMe serta MOEIS setelah kedua-duanya dibangunkan dengan kos melebihi RM1 juta.

Kritikan terhadap idMe bukanlah baharu. Ia sudah pun dikritik, malah didesak oleh guru-guru untuk dimansuhkan. Isunya bukanlah mereka menolak inisiatif pendigitalan yang sepatutnya memudahkan tugasan guru.

Sebaliknya, sistem idMe menyusah dan mengganggu tugasan hakiki guru. Mereka berdepan masalah untuk mengisi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) kerana sistem itu tidak efektif, terlalu lembab, perlahan serta memerlukan masa lama untuk menyiapkannya.

Dalam menyiapkannya pula, kebanyakan guru terpaksa bangun berjaga malam sehingga dinihari untuk memasukkan data ke dalam sistem secara digital tetapi tetap tidak dapat.

Lebih menyedihkan apabila menyemak semula maklumat yang diisi, ia menjadi kosong dan apa yang berlaku seolah-olah mereka melakukan kerja sia-sia.

Jika sebelumnya masalah internet tidak stabil menyebabkan sesetengah guru sukar mengisi maklumat tetapi ia semakin ketara sejak idMe diperkenalkan.

Lebih parah, sistem itu menurut mereka benar-benar bermasalah apabila data yang ada sering hilang dan tidak dikemas kini.

Ia sekali gus memperlihatkan bagaimana kepimpinan terdahulu yang mengepalai KPM benar-benar gagal, bukan sahaja melakukan perubahan yang membawa peningkatan kualiti kepada keseluruhan proses penambahbaikan, malah perubahan dibawanya membebankan guru dan mengelirukan semua.

Untuk rekod, sebelum ini KPM mempunyai sistem rekod seperti Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang perlu diisi oleh pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa, selain e-operasi yang dikemas kini pihak sekolah.

Apabila pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3 yang beralih kepada Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) dibuat oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin diwujudkan dan guru perlu mengisinya untuk menaksir pencapaian murid, isu mula timbul.

Ramai ibu bapa tidak memahami bagaimana anak mereka dinilai hingga KPM memperkenalkan UASA dengan sekolah perlu memuat turun salah satu daripada tiga set soalan dibekalkan. Hal itu menjadi isu besar yang mengundang kritikan dan mengelirukan semua pihak.

Antara kritikan adalah perubahan dilakukan bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah yang sepatutnya, malah membebankan guru dengan tugasan baharu di luar kemampuan mereka.

Lebih parah, peningkatan mutu pendidikan yang diharapkan, menimbulkan curiga dan kerisauan dalam kalangan ibu bapa apabila pemansuhan UPSR serta PT3 dilihat mengurangkan motivasi serta persediaan murid di peringkat rendah ke peringkat menengah dan pelajar menengah ke peringkat menengah atas.

Maka, apakah yang sebenarnya berlaku sebelum ini sehinggakan perubahan yang sepatutnya melonjakkan pendidikan negara menjadi sebaliknya?

Jelas keseluruhan kepada proses perubahan itu perlu dilihat secara teliti dengan melakukan siasatan dan audit menyeluruh.

Isu idMe yang berulang kali dipersoalkan terutama oleh kesatuan guru-guru sendiri sudah cukup untuk menjustifikasikannya.

Isunya bagaimana sebuah sistem yang dibangunkan bagi memudahkan guru berakhir dengan menyusahkan mereka sehinggakan menjejaskan keseluruhan ekosistem dalam tugasan perguruan.

Jika diteliti, isunya bukanlah guru tidak tahu menggunakannya atau masalah internet serta server lembab dan sesak.

Justeru, gesaan kepada KPM untuk melakukan siasatan dan audit terhadap vendor tersebut oleh Ahli Parlimen Bayan Baru sememangnya berasas.

Siasatan dan audit itu perlu bagi mengetahui bagaimana vendor yang membekalkan sistem IdMe dipilih oleh menteri, apakah punca masalah sebenar, adakah kemungkinan berlaku ketirisan dan input-input penting untuk penambahbaikan pada masa hadapan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca