SECARA amnya, konsep liberalisme boleh dijelaskan sebagai satu falsafah yang menekankan hak dan kebebasan individu dalam sesebuah masyarakat.
Namun, tiada satu definisi tetap untuk menghuraikan falsafah tersebut. Ia hanya boleh ditafsirkan mengikut konteks. Konteks yang berlainan akan menghasilkan tafsiran falsafah liberalisme berbeza.
Begitu juga dengan falsafah yang bercanggah dengan liberalisme iaitu konservatisme, yang secara amnya merujuk kepada konsep menekankan tradisi dan peraturan-peraturan lama.
Saya mendapati banyak salah tanggapan terhadap falsafah liberalisme dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pemerhatian saya di media sosial, mahupun daripada kenyataan-kenyataan sesetengah ahli politik.
Mereka mentafsir liberalisme sebagai ciri-ciri tingkah laku kumpulan orang tertentu. Contohnya, mereka yang menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah liberal, sementara mereka yang alim dalam agama sebagai konservatif.
Sememangnya, tidak salah sepenuhnya sudut pandangan mereka perihal contoh-contoh tersebut. Bagaimanapun, pandangan sebegitu hanya terhad dalam konteks yang sempit iaitu konteks ‘tafsiran agama dalam kehidupan’.
Dalam konteks ekonomi masyarakat Barat, contohnya United Kingdom (UK)menganggap ‘kebebasan pasaran’ atau kapitalisme sebagai konservatif, manakala ekonomi mengutarakan sosialisme seperti peningkatan cukai terhadap mereka yang kaya bagi membantu golongan miskin adalah liberalisme atau campur tangan kerajaan dalam membantu hak golongan pekerja, juga liberalisme.
Terhad kepada konteks ekonomi masyarakat Barat, konservatif ialah konsep di mana kerajaan tidak mengganggu kebebasan pasaran (free market), manakala penyokong liberalisme pula menyeru campur tangan kerajaan untuk mempertahankan hak semua rakyat daripada ‘dibuli’ oleh golongan kapitalis.
Dalam konteks ekonomi dan sosial pula, polisi-polisi sosialisme kerajaan Malaysia adalah jauh liberal dari negara-negara komunis seperti Korea Utara yang tidak mengendahkan hak kebebasan rakyatnya, berbanding negara yang mengutamakan kapitalisme dan kebebasan pasaran seperti UK serta Amerika Syarikat.
Saya lihat kebanyakan rakyat Malaysia menyokong polisi-polisi liberalisme seperti bantuan tunai kepada rakyat, membela peniagaan-peniagaan tempatan daripada pesaing antarabangsa (protectionism), bantuan pinjaman kepada SME dan sebagainya.
Dalam konteks perkembangan sejarah, sejak merdeka rakyat Malaysia bukan sahaja menyokong polisi liberalisme, malah menuntut daripada pemerintah-pemerintah.
Hak untuk memilih kerajaan melalui proses demokrasi Barat, hak pelajar perempuan untuk belajar di sekolah, kebebasan bersuara, hak mengadakan demonstrasi, kesemuanya adalah ciri-ciri falsafah liberalisme dalam konteks perkembangan sejarah.
Falsafah liberalisme telah disalah anggap oleh sesetengah pihak untuk menyifatkan ciri-ciri golongan yang melakukan sesuatu bercanggah dengan pemahaman agama mereka secara subjektif. ‘Pemahaman agama’ juga boleh terbahagi kepada konservatif atau liberal.
Misalnya, ramai anak muda pelbagai kaum menyaksikan konsert kumpulan Blackpink dari Korea Selatan di Kuala Lumpur. Mereka terus dianggap liberal kerana bercanggah, contohnya pemahaman agama Kristian yang melarang mengidolakan seseorang manusia yang lain.
Dengan tanggapan sedemikian, perkataan liberalisme menjadi konotasi yang buruk secara amnya. Hakikatnya, mereka yang cuba mengasingkan diri daripada liberalisme, juga menuntut 'liberalisme' dalam konteks lain.
Contohnya, mereka menyalurkan pandangan mereka terhadap liberalisme melalui media sosial iaitu salah satu ciri liberalisme yang mempertahankan hak kebebasan bersuara. Ia adalah bercanggah.
Liberalisme bukannya satu perkataan am. Ia berbeza berlandaskan konteks yang berlainan.
* Tai Zee How, juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca