GANDINGAN kestabilan politik Kerajaan Perpaduan lebih kurang 100 hari yang lalu, dengan prospek suram kebanyakan pasaran telah menarik semula perhatian komuniti perniagaan dan pelabur asing terhadap Malaysia. Ia jelas terbukti terutama... Klik di sini untuk terus membaca

GANDINGAN kestabilan politik Kerajaan Perpaduan lebih kurang 100 hari yang lalu, dengan prospek suram kebanyakan pasaran telah menarik semula perhatian komuniti perniagaan dan pelabur asing terhadap Malaysia.

Ia jelas terbukti terutama semasa lawatan saya ke luar negara untuk mempromosikan Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Disember 2022.

Dari Jakarta ke Davos, Abu Dhabi ke Milan dan Singapura ke Seoul bagi misi perdagangan serta pelaburan, kami disambut dengan penuh minat oleh pelabur semasa dan pelabur berpotensi.

Sejak bertahun-tahun lagi, ramai pelabur antarabangsa amat berharap Malaysia kembali menjadi antara ekonomi berprestasi tinggi di ASEAN, bukan sekadar negara pertengahan yang terus merosot berbanding negara lain di ASEAN.

Syukur, prestasi ekonomi Malaysia yang cemerlang dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.7 peratus untuk 2022 – kadar tertinggi di ASEAN tahun lalu – diganding kadar pengangguran 3.6 peratus pada Disember 2022 dan inflasi 3.2 peratus (walaupun berdepan tekanan inflasi global), menunjukkan prospek Malaysia perlu dipandang serius. Angka-angka itu membuktikan keberkesanan dasar tindakan dan bantuan yang dilaksanakan semasa pandemik.

Walaupun sesetengah komuniti perniagaan antarabangsa pernah memanfaatkan ekosistem pembuatan kos rendah, mereka juga faham ia tidak mampan dalam jangka masa panjang.

Lagipun, dengan inflasi global dan gangguan rantaian bekalan yang telah meningkatkan kos, Malaysia perlu bekerja keras menawarkan faktor-faktor positif bagi operasi pelabur di Malaysia.

Cabaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi-agensi kami adalah untuk melaksanakan reformasi dasar agar Malaysia kekal relevan.

Sejak menyertai MITI, saya sentiasa menegaskan bahawa kita mesti merombak pendekatan strategik untuk menyelaraskan dasar-dasar perdagangan, perindustrian dan pelaburan jika mahu mencipta pertumbuhan masa depan serta meletakkan ekonomi kita pada landasan lebih mampan.

Selain rekod perdagangan kita ( sangat penting kerana Malaysia ialah negara perdagangan), yang turut dipertaruhkan ialah masa depan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pekerjaan berpendapatan tinggi untuk kebanyakan rakyat Malaysia serta kesejahteraan hidup keluarga mereka.

Untuk itu, keutamaan kami adalah:

1. Meningkatkan pertumbuhan perdagangan dan memastikan persekitaran perdagangan global yang mampan serta inklusif. Dalam merangka Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), maklum balas semua segmen masyarakat – kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan individu – akan diambil kira semasa menjalankan analisa kos-faedah.

Ia akan memastikan keputusan lebih cekap dapat diambil dan manfaat FTA adalah sejajar matlamat sosioekonomi Malaysia seperti menyokong PKS, mengurangkan jurang luar bandar serta memupuk pemerkasaan gender. Pendek kata, rakyat kekal menjadi keutamaan dalam rundingan FTA baharu.

2. Amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pendigitalan adalah kunci bagi memastikan industri terutama PKS bersedia menghadapi cabaran masa depan. Jika kita abaikan ESG, akses pasaran bagi pengeksport dan perniagaan kita akan terjejas.

Untuk mengelak kemungkinan itu, MITI sedang menyediakan Rangka Kerja Kebangsaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) bagi sektor pembuatan menerapkan nilai-nilai ESG. Ia terdiri daripada empat komponen iaitu piawaian, sokongan kewangan dan insentif, pembinaan kapasiti dan mekanisme pasaran termasuk perdagangan serta penetapan harga karbon.

Bercakap mengenai pendigitalan, saya pernah ditemu bual oleh RTM dan dalam temu bual sama, mereka turut mengundang pengasas Claire Organics, Louise Chu, seorang penerima geran kerajaan yang berjaya mendigitalkan serta mengembangkan perniagaannya semasa pandemik.

Terdapat banyak PKS seperti beliau yang mesti disokong secara digital untuk berkembang dan turut serta dalam ekonomi hijau kerana PKS menyumbang 37.4 peratus kepada KDNK kita dan menggaji 47.8 peratus pekerja di Malaysia.

Pengembangan ekonomi masa depan kita juga bergantung kepada keupayaan PKS mengguna pakai dan menyesuaikan diri dengan teknologi hijau.

3. Kita mesti menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mencipta pekerjaan dan menggalakkan pelaburan semula.

Ekonomi global berubah dengan pantas dan persaingan pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ASEAN amat sengit, jadi kita mesti mewujudkan persekitaran sangat kondusif terutama bagi industri tumpuan dalam Dasar Pelaburan Baharu (NIP) iaitu elektrik dan elektronik (E&E) bernilai lebih tinggi, peranti perubatan, farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan bahan kimia serta sektor-sektor seperti kereta elektrik (EV), pusat data dan sekuriti makanan. Malaysia juga perlu ditingkatkan dalam rantaian nilai sektor pembuatan dan perkhidmatan agar kita dapat beralih kepada model ekonomi maju yang lebih berasaskan teknologi dengan kompleksiti ekonomi lebih tinggi.

4. MITI mesti memastikan Malaysia kembali meraih kedudukan sebagai destinasi pelaburan pilihan di Asia Tenggara. Sejak Disember 2022, kami berusaha gigih mempromosi Malaysia sebagai negara stabil, pro-perniagaan, pro-pelaburan dan pro-perdagangan tetapi kita tahu janji-janji itu mesti ditepati dengan pembaharuan dasar yang baik serta kemudahan menjalankan perniagaan.

Ia termasuk cadangan mewujudkan pusat sehenti melalui platform e-Gov MITI, menambah baik proses pensijilan halal, mewujudkan ekosistem industri dan perkhidmatan berdaya saing, memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran untuk sektor-sektor utama serta program peningkatan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri.

Tetapkan KPI

Saya juga telah berulang kali menekankan keperluan menetapkan KPI yang sesuai dan memantau keberhasilan projek-projek utama.

Contohnya, apabila bercakap tentang FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI), kita mesti memantau dengan teliti, antara lainnya bilangan pekerjaan dicipta, hasil cukai yang dijana, tahap pematuhan ESG dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat sekitar.

Bagi menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, kita mesti mengenal pasti dan menyelesaikan isu dihadapi pelabur, daripada keputusan untuk melabur sehinggalah pengoperasian kemudahan mereka.

Secara peribadi, susah untuk saya terima tempoh waktu 24 bulan dari tarikh keputusan untuk melabur kepada bermulanya operasi perniagaan. Kita boleh dan mesti berusaha lebih baik jika ingin terus menarik serta mengekalkan pelabur berkualiti tinggi.

Logiknya mudah, pelaburan mewujudkan aktiviti ekonomi yang mewujudkan perniagaan untuk PKS dan pekerjaan kepada rakyat.

Sebagai contoh, pelaburan diluluskan RM264.6 bilion untuk 2022 dijangka mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu, pekerjaan yang membayar gaji bermaruah untuk rakyat kita.

Dengan pasukan MITI dan agensi-agensinya yang amat berkebolehan serta strategi tepat dan pelaksanaan dipantau rapi, saya yakin Malaysia mampu mencapai sasarannya dalam memupuk industri, mengembangkan perdagangan dan menarik pelaburan.

Beberapa usaha awal kami telah membuahkan hasil melalui komitmen syarikat multinasional utama seperti Tesla, Intel Corp, Amazon Web Services, syarikat induk Shopee - Sea Ltd, Kumpulan Yondr, INSEACT, Samsung Engineering, SKC, Lotte Fine Chemicals, Hyundai, COWAY, Lotte Energy Materials dan POSCO Holdings dalam beberapa bulan lepas.

Komitmen daripada syarikat-syarikat multinasional utama ini mengesahkan kepercayaan mereka terhadap potensi besar Malaysia. Bagi MITI, ia permulaan baharu, jadi tunggu dan lihat perkembangan seterusnya!

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Klik di sini untuk terus membaca