UMNO merupakan parti siasah yang sentiasa mendapat tumpuan dalam apa jua keadaan. UMNO seolah-olah seperti magnet yang boleh menarik sesiapa sahaja untuk mengikuti perkembangan parti berkenaan termasuk pemilihannya.
Apa maksud pemilihan kali ini kepada ahli UMNO, orang UMNO, musuh politik UMNO, pesaing UMNO dan masyarakat Malaysia amnya? Apabila diputuskan tidak ada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti, ada sebilangan yang mengkritik tanpa menyedari ini bukan baharu. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1996, 2001, 2013 dan 2017 tidak dipertandingkan.
Pemilihan jawatan Presiden kali terakhir adalah tahun 2018, tewasnya Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam pemilihan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden pula adalah tahun 1993 di mana kemudiannya Tun Ghafar Baba menarik diri memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikannya.
Dalam lipatan sejarah sedemikian rupa, pemilihan jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menjadi signifikan, sebagaimana pemilihan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. Keputusannya bercampur-campur.
Yang menang tidak menang semuanya, yang kalah tidak kalah semuanya. Calon yang menang tahu ada bahagian yang mahukan pesaingnya, yang kalah juga tahu mereka tewas kerana kemenangan tidak menyebelahi. Mesej yang jelas diberikan di mana ada calon yang dianggap tidak seiringan dengan senarai mainstream turut menang.
Keputusan ini sewajarnya membawa kepada pembaharuan dalam pasukan baharu yang merangkumi yang lama dan muka baharu, bersedia ‘menggali keyakinan dan merai perbezaan’ untuk memastikan tidak sampai sehingga ‘kerekahan dalaman yang boleh menguatkan persaingan luar parti’.
Kesemuanya bertanggungjawab mengekalkan sokongan dan cuba menarik sokongan luar parti. Ada bekas Ketua Pemuda UMNO yang digantung keahlian dan ada yang dipecat, sebagaimana usaha bekas Ketua Wanita UMNO bertanding juga gagal menang.
Parti perlu segera merapatkan saf, memperkasa dan melakukan pengkaderan berterusan berbekalkan kehadiran ramai yang menawar diri untuk bertanding dalam pemilihan parti.
Demokrasi barangkali tidak sempurna kerana pemilihan rasional perundangan mengehadkan jawatan yang boleh disandang, namun sumbangan kepada perjuangan parti tidak semestinya melalui pangkat dan kedudukan. Pelbagai pelantar baharu perlu dicipta untuk merekayasa dan meningkatkan daya upaya parti.
Rejuvenasi budaya politik UMNO penting, memberi harapan ke atas kemahuan, keperluan dan mengikat mindset ‘orang UMNO’ ke atas prinsip, perjuangan dan masa depan parti.
Yang di luar juga perlu sedar parti inilah yang meletakkan mereka di kedudukan hari ini walau ada beberapa sudah menyertai parti lawan. Ini masanya untuk mencari detik ‘perpaduan dalam bingkai kepelbagaian kehendak dan keinginan’; yang di dalam juga perlu elak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ atau ‘sokong bawa rebah’.
Pada tahun 2004, parti UMNO menang 109 kerusi daripada 198 yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Sepanjang 18 tahun, sokongannya tergelincir sehingga tinggal 26 daripada 30 kerusi BN kini.
Kepimpinan baharu perlu secara jujur kenal pasti mengapa ini berlaku apatah lagi Pas dan Bersatu sudah mendahuluinya dalam meraih sokongan orang Melayu. Jika dulu persaingan hanyalah antara UMNO dan Pas, kini ada Amanah, Bersatu, Pejuang, Putra dan Berjasa sebagaimana blok seperti Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Formula pembentukan kerajaan juga sudah berubah. Dahulu UMNO mendominasi, hari ini ia melengkapi pembentukan ‘kerajaan perpaduan’ dan bersedia untuk ‘bekerjasama dengan musuh tradisi baik PKR mahupun DAP’.
Dalam dinamika politik sebegini, cabaran kesemua sayap dan barisan kepimpinan tertinggi parti adalah mencari ramuan yang konstruktif tanpa menjejaskan imej parti dengan penjenamaan yang diubah-suai dengan alam politik hari ini. Politik tidak bersifat tetap. Pemilihan UMNO kali ini adalah selepas PRU15.
Pembedahan terperinci gelagat tingkah laku politik kepartian dengan informasi benar perlu dirungkai. Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh mencetus kelainan jika uji kaji betul dilakukan demi masa depan parti.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian,Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca