DALAM suasana muram di mana banyak tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilanda kemelut kewangan akibat pengurusan yang tidak cekap dan kurang amanah, Petronas terus cemerlang.
Pasti ada orang akan meremehkan hal ini dengan berkata, Petronas berjaya kerana ia sebuah monopoli dan kerjanya hanya menggali minyak dan gas dari perut bumi.
Betul, tapi kita kena ingat banyak syarikat minyak dan gas milik negara yang berstatus monopoli bukan saja mengalami masalah malah ada yang muflis atau diselamatkan.
Petronas adalah bukti bahawa tradisi amanah dan cemerlang boleh disemai dan disuburkan dalam dunia korporat tempatan, khususnya dalam kalangan GLIC dan GLC.
Baru-baru ini, Petronas melaporkan yang ia mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, sebanyak RM101.6 bilion.
Sebagai perbandingan, syarikat terbesar mengikut modal pasaran yang diniagakan di Bursa Malaysia iaitu Malayan Banking Bhd membuat keuntungan bersih sebanyak RM8.3 bilion. Dalam tempoh kajian, syarikat minyak dan gas nasional itu turut mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM375.3 bilion.
Mengikut Institut Tabung Kedaulatan (Sovereign Fund Institute), Petronas adalah syarikat minyak nasional yang ketiga terbesar di dunia dengan harta (aset) sebanyak AS$144.2 bilion (RM648.9 bilion).
Nombor satu adalah syarikat minyak Arab Saudi, Aramco dengan harta sebanyak AS$576.7 bilion (RM2,595.15 bilion) dan Petroleo Brasileiro (Brazil) AS$229.2 bilion (RM1,031.4 bilion). Kejayaan Petronas menjadi begitu besar adalah luar biasa kerana berbanding Arab Saudi, Brazil dan negara-negara Teluk, rizab minyak dan gas kita tidak besar. Kita menduduki tempat ke-28 dalam dunia.
Kejayaan Petronas bermula dengan pandangan jauh perdana-perdana menteri sebelum ini, bermula dengan Almarhum Tun Abdul Razak yang mengasaskan Dasar Petroleum Negara dan menubuhkan Petronas pada tahun 1974.
Abdul Razak meninggal dunia sebelum dapat melihat Dasar Petronas Negara dilaksanakan dan Petronas melaksanakan tugas pertamanya iaitu merundingkan pengambilan alih kawalan industri minyak negara melalui Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) dengan syarikat-syarikat minyak multinasional seperti Royal Dutch Shell, Exxon dan Conoco.
Saya bernasib baik kerana apabila rundingan itu dimulakan pada penghujung tahun 1976, saya ditugaskan oleh akhbar saya masa itu, Business Times, untuk membuat liputan.
Melalui tugas itulah saya mengenali dengan lebih rapat Tunku Razaleigh Hamzah yang diberikan keyakinan oleh Abdul Razak untuk mempengerusikan Petronas dan watak-watak hebat lain seperti Datuk Junus Sudin dan Almarhum Datuk Rastam Abdul Hadi.
Kepintaran, komitmen dan kewibawaan mereka berjaya memujuk dan menundukkan gergasi industri minyak dunia supaya menyerah balik penguasaan mereka ke atas sumber semula jadi itu kepada kerajaan Malaysia.
Semua syarikat multinasional yang terbabit bersetuju menandatangani PSA dan kontrak pengeluaran dengan Petronas, kecuali Conoco.
Saya masih ingat saat-saat genting rundingan itu apabila timbul desas-desus mengatakan syarikat-syarikat multinasional itu tidak dapat menerima syarat-syarat Petronas kerana sikap tidak bertolak ansur pengurusan Petronas. Ini menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tun Hussein Onn, membuat kenyataan mengatakan beliau mahu rundingan diselesaikan dengan jayanya.
Pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, bidang perniagaan Petronas mendapat anjakan besar apabila ia digalakkan melabur di luar negara. Melalui diplomasi dan bimbingan beliau, Petronas mengembangkan sayapnya ke merata pelosok dunia mencari dan mengeluarkan minyak dan gas.
Melihat ke belakang, kita boleh kata, Petronas mungkin tidak berkembang dan menjadi sebesar sekarang kalau tidak kerana pelaburan di luar negara.
Kesimpulannya, dengan pengurusan yang profesional dan berintegriti serta kurang campur tangan politik, Petronas membuktikan yang syarikat milik kerajaan boleh maju, cemerlang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Syabas Petronas.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca