SIAPA sangka cubaan kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuahkan hasil apabila Salamiah Mohd Nor, 58, menang bergaya di Parlimen Temerloh menewaskan calon Barisan Nasional yang juga bekas Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsuddin, Hasbie Muda (Pakatan Harapan) dan Aminuddin Yahya (Gerakan Tanah Air).
Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, ROSILAWATI ROSEDI bersama Ketua Muslimat Pas Pahang itu yang mesra dengan panggilan Cikgu.
SINAR AHAD: Setelah beberapa bulan bergelar Ahli Parlimen Temerloh, apakah cabaran utama yang perlu ditangani oleh YB khususnya di Parlimen Temerloh?
SALAMIAH: Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah terfikir menjadi ahli Parlimen. Kini ia menjadi tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin demi rakyat.
Cabaran pertama sebagai orang baru memang banyak. Pertamanya, masih ramai yang tidak tahu fungsi dan tugas ahli Parlimen.
Mereka anggap jalan rosak, paip pecah, pokok tumbang semua tugas ahli Parlimen. Ini semua cabaran yang saya perlu hadapi dengan sabar. Semua aduan yang diterima termasuk rayuan, kesempitan hidup rakyat, keperluan kerusi roda, katil dan sebagainya, saya akan usahakan untuk disampaikan ke pihak-pihak berkaitan atau saluran sewajarnya.
Bagaimanapun, kami sebagai ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) berdepan banyak masalah. Kami berusaha bertemu ketua-ketua jabatan untuk berkongsi pandangan, tapi dimaklumkan sebarang pertemuan dengan mereka tidak dilayan.
Kami tidak pernah dipanggil dalam mesyuarat utama seperti dalam majlis tindakan daerah, perbandaran dan sebagainya. Jadi ini agak mencabar dan mengecewakan. Sudah tentu menyedihkan kerana hanya akan merugikan rakyat.
Kami berusaha untuk membantu rakyat. Apa yang berlaku seolah-olah kami mewakili parti sedangkan kami mewakili rakyat, seolah-olah dipinggirkan. Insya-ALLAH saya tetap akan salurkan ke saluran-saluran sepatutnya.
SINAR AHAD: Temerloh banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan antaranya digelar Bandar Titik Tengah Semenanjung dan Bandar Ikan Patin. Apakah usaha yang akan YB bawa untuk memastikan Temerloh menerima lebih banyak pembangunan?
SALAMIAH: Kelebihan yang ada pada Temerloh memang perlu dimanfaatkan. Saya sudah menyuarakan segala kelebihan kepada kerajaan Persekutuan khususnya menteri terlibat.
Seperti ikan patin, saya sudah bahas usul di Parlimen supaya Temerloh dijadikan pengeluar utama untuk bekalan ikan air tawar bagi memenuhi keperluan domestik dan luar negara. Saya juga menyuarakan masalah berkaitan benih ikan yang kurang dan palet makanan yang semakin mahal kerana memang mengganggu industri ini.
Saya berharap industri ikan patin berkembang bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat tapi dapat juga menambahkan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda.
Seterusnya, di Temerloh, adanya Titik Tengah Semenanjung. Setakat ini promosi bagi perkara ini begitu sedikit dan masih ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui di mana lokasi tersebut. Saya juga telah bahaskan perkara ini supaya Menteri Pelancongan mengambil perhatian mengenai kelebihan yang ada di Temerloh.
Selain itu, banyak kelebihan di Temerloh yang perlu dimanfaatkan antaranya Rumah Rakit di Sungai Pahang yang kini mendapat perhatian khususnya kaki pancing. Jadi perkara ini kita lihat aspek-aspek kelebihan yang ada ini sedikit sebanyak dapat mempercepatkan perkembangan di Temerloh.
SINAR AHAD: Bagaimana YB melihat isu seperti masalah jalan raya yang rosak, banjir yang berlaku saban tahun dan masalah bekalan air yang masih berlaku hingga kini?
SALAMIAH: Melihat isu-isu yang sinonim dengan Temerloh antaranya masalah banjir tapi setakat ini saya masih belum melihat satu pun projek tebatan banjir melibatkan Temerloh biarpun sudah berpuluh tahun masalah sama berlaku.
Banyak lokasi terjejas antaranya di Kem Batu 3, Kampung Batu Kapor dan lain-lain. Kita mengharapkan supaya ada tindakan yang dilaksanakan khususnya untuk membantu lokasi-lokasi yang terjejas setiap tahun. Seperti di Kem Batu 3, banyak kerosakan peralatan ketenteraan bila banjir berlaku.
SINAR AHAD: Isu pengeluaran caruman KWSP, bagaimana pandangan YB dalam membantu pencarum yang dilihat terdesak untuk meneruskan kehidupan?
SALAMIAH: Dalam sidang Parlimen, perkara ini mendapat perhatian ramai Yang Berhormat meminta supaya pengeluaran diberikan kepada pencarum. Saya lihat bukan semua tapi hendaklah secara bersasar contohnya sudah bekerja lebih 25 tahun ke atas atau memiliki jumlah simpanan yang banyak. Jika kerajaan membenarkan pengeluaran, sudah tentu akan membantu merancakkan ekonomi.
Dalam situasi negara kita berdepan inflasi, kita tahu rakyat kurang membeli kerana baru lepas menghadapi pandemik Covid-19. Ramai yang terjejas. Peniaga pun baru memulakan perniagaan mereka.
Dengan memberikan peluang pengeluaran caruman KWSP secara bersasar, sebenarnya ia adalah satu tindakan yang berasas untuk merancakkan ekonomi.
SINAR AHAD: Masalah kos hidup yang meningkat terus membelenggu rakyat. Jadi apakah usaha yang perlu dilakukan dalam membantu terutamanya golongan B40 yang semakin tertekan?
SALAMIAH: Masalah kos hidup yang semakin mahal kini memang menjejaskan rakyat. Dulu sawi seikat RM2, sekarang sekilogram sampai RM9. Jadi bagaimana dengan golongan B40 untuk mereka berdepan kos sara hidup yang tinggi. Sebab itu, kita mahukan supaya kerajaan memikirkan harga fleksibel untuk bantu rakyat.
Negara ini diberikan kelebihan tanah subur. Saya harap kerajaan ambil tindakan segera manfaatkan tanah terbiar yang belum diteroka untuk ditanam tanaman makanan tanpa bergantung sepenuhnya dari makanan yang diimport dari negara luar.
Sedangkan kita boleh usahakan tanaman yang sesuai. Di Temerloh, saya lihat contohnya di Padang Kerbau, banyak paya yang boleh ditebus guna untuk dimanfaatkan.
SINAR AHAD: Apakah perancangan YB selepas ini dalam berdepan pelbagai kekangan antaranya peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen akan dikurangkan?
SALAMIAH: Kita baharu sahaja melepasi Belanjawan 2023, tapi tidak mendengar peruntukan yang akan diberikan khususnya kepada ahli Parlimen daripada parti pembangkang. Kita bergerak dalam keadaan tanpa modal, tapi buat masa ini saya sendiri, langsung tiada peruntukan yang turun.
Tapi buat masa ini saya turun juga antaranya kerana ada terima bantuan daripada rakan-rakan prihatin untuk membantu nasib rakyat memerlukan.
Jadi saya berharap rakyat di luar sana, dapat memahami situasi yang dihadapi kami sebagai ahli Parlimen PN. Kami tiada peruntukan daripada kerajaan Pusat dan wang yang ada sangat terbatas untuk memberikan bantuan.
PROFIL
Nama: Salamiah Mohd Nor
Asal: Selangor
Status: Berkahwin dan mempunyai tujuh anak
Kelulusan: Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Pentadbiran
Jawatan: Naib Ketua Muslimat Pas Malaysia
Ketua Muslimat Pas Pahang
Naib Ketua Muslimat Kawasan Temerloh
Klik di sini untuk terus membaca