SEJAK beberapa hari lepas, isu berkaitan Projek Artikel 11 Jom Ziarah anjuran sebuah agensi belia dikawal selia Kementerian Belia dan Sukan jadi perbualan ramai kenalan Belalang.
Ada rakan yang menulis panjang memperdebatkan penganjurannya di media sosial. Ada juga lebih selesa berbual secara bersemuka dengan Belalang.
Rata-rata topik utamanya ialah perbuatan mengajak anak-anak muda Islam ke gereja.
Ada yang senada dengan Majlis Agama Islam Selangor kerana perbuatan menarik minat belia terhadap agama lain adalah dilarang.
Ada juga yang memberikan hujah berbeza contohnya pernah belajar di sekolah atau dewannya ada salib tetapi tidak pernah tipis iman mereka. Ada juga yang berkata di luar negara, mereka pernah sahaja melawat gereja, tetapi masih Islam sehingga kini.
Dalam isu ini, Belalang bukanlah orang yang pandai sangat bab hukum hakam. Jadi dari sudut hukum hakam, boleh atau tidak anjur program belia rumah ibadat agama lain, biarlah alim ulama yang buat keputusan. Eloklah kita akur dan patuh dengan peringatan pihak berkuasa.
Apatah lagi, Belalang dimaklumkan penganjuran program lawatan tersebut sudah pun ditukar daripada terbuka kepada semua belia, kepada khusus untuk yang bukan beragama Islam sahaja.
Pun begitu, bagi Belalang, isu-isu atau sentimen berkaitan agama dan kaum ini tidak boleh diambil ringan oleh kerajaan terutamanya nakhoda Putrajaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun Perdana Menteri mendedahkan isu ini dihangatkan oleh orang kehilangan kuasa atau lebih tepat lagi pembangkang, tetapi pada Belalang, kerajaan sendiri tidak wajar memberi bola tanggung kepada pemimpin pembangkang untuk melakukan smash.
Kerajaan Perpaduan wajar mengambil teladan daripada beberapa isu semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tahun 2018.
Kerajaan PH ketika itu terperangkap dengan banyak isu berkaitan kaum dan agama contohnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pada tahun 2018, sesama menteri kabinet pun berbalah isu ICERD, sehinggakan UMNO dan Pas menggunakan sentimen tersebut untuk menggerakkan gerakan penyatuan ummah.
Bagi Belalang, berbanding Tun Dr Mahathir Mohammad pada tahun 2018, Anwar kali ini memang berjaya ‘menjinakkan’ ramai pemimpin generasi baharu DAP daripada terlalu lantang dan terbuka.
Tapi Anwar, nampaknya kena bekerja lebih kuat lagi untuk memastikan tidak ada agensi atau pertubuhan di bawah mana-mana kementerian pula terlajak kata-kata serta perbuatan dalam isu kaum dan agama.
Mungkin isunya nampak kecil, tetapi bak kata orang tua, sarang tebuan janganlah dijolok.
Belalang: Bulan Ramadan dah dekat, elok ajak anak muda Islam imarah masjid
Klik di sini untuk terus membaca