PROJEK Road To Tokyo 2020 dan Road To Rio 2016 sebelum itu gagal menghasilkan pingat emas pertama Sukan Olimpik negara. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk kedua-dua projek itu. Ahli sukan kita yang diberi peluang untuk menyertai sukan... Klik di sini untuk terus membaca

PROJEK Road To Tokyo 2020 dan Road To Rio 2016 sebelum itu gagal menghasilkan pingat emas pertama Sukan Olimpik negara. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk kedua-dua projek itu. Ahli sukan kita yang diberi peluang untuk menyertai sukan terbesar dunia itu sekadar mampu meraih pingat perak dan gangsa setakat ini.

Oleh kerana impian mendapatkan kilauan emas Sukan Olimpik masih kekal membara dan terdapat seorang dua ahli sukan yang berpotensi untuk membawa pulang pingat emas tersebut, maka Road To Gold Paris 2024 pula diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo minggu lalu.

Tidak pasti sama ada impian untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris tahun hadapan itu boleh menjadi kenyataan atau tidak, maka untuk jangka panjang Road To Gold bagi Sukan Olimpik di Los Angeles (LA) pada tahun 2028 turut dilancarkan. Tentunya berjuta-juta ringgit lagi akan dibelanjakan untuk memenuhi impian tersebut.

Harap-harap Road to Gold Paris dan LA itu berhasil untuk negara menuai pingat emas Olimpik pertamanya. Tetapi jika kedua-dua program gagal membuahkan pingat emas yang diingini, elok program sukan ke olimpik selepas itu dijenamakan sebagai Road to No Where.

Peminat sukan tidak akan kecewa jika olahragawan ke temasya sukan terbesar dunia pulang dengan tangan kosong atau sekadar mengatakan mereka telah menimba pengalaman berguna.

Atau barangkali dalam keghairahan memburu pingat emas Olimpik yang sampai sekarang masih tidak kesampaian, ada sesuatu yang mungkin boleh dipelajari oleh ahli-ahli sukan negara daripada kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh yang baharu sahaja menggapai gelaran Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi atau Oscar anjuran The Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) Amerika Syarikat.

Michelle Yeoh telah membuktikan tanpa adanya program khusus seperti Road to Academy Award, beliau berupaya mengungguli sebuah anugerah yang dalam dunia seni dan perfileman cukup berprestij sekali.

Pencapaian beliau menerima Oscar sebagai pelakon terbaik bolehlah disetarakan sebagai seorang ahli sukan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik.

Apa yang lebih membanggakan dan mungkin ada yang berkata mengagumkan adalah dalam upaya memenangi Oscar itu, kerajaan tidak membelanjakan satu sen pun wang pembayar cukai.

Michelle Yeoh merangkul gelaran tersebut dengan usahanya sendiri. Pencapaian itu adalah kejayaan peribadi beliau setelah berkecimpung selama 30 tahun dalam bidang lakonan. Ia langsung tiada kena mengena dengan dokongan wang negara.

Dengan kata lain, tersirat di sebalik kejayaan Michelle Yeoh adalah sebagai insan seni, beliau bijak mengembangkan bakat lakonannya di peringkat global, barangkali selepas menyedari bahawa industri hiburan Malaysia tidak akan membawa seorang pelakon ke mana-mana.

Sejak mula lagi apabila beliau memilih bidang lakonan sebagai kerjayanya, beliau telah menanam azam bukan sekadar menjadi jaguh kampung tetapi jaguh global.

Justeru apa yang telah beliau lakukan? Beliau memilih kolam lakonan lebih besar dan mencabar di luar negara yang boleh membawa beliau untuk memenuhi impian dan cita-citanya.

Secara lebih spesifik, beliau memilih Hong Kong dan Hollywood. Beliau berbuat demikian demikian kerana beliau tahu filem-filem yang dihasilkan di negara ini, dalam konteks industri perfileman dunia, atas banyak sebab, masih belum sampai ke tahap yang boleh menyaingi produk-produk yang dihasilkan oleh Hollywood atau malah Hong Kong atau Bollywood.

Lalu untuk mencipta pengiktirafan global dalam bidang perfileman, pilihan yang ada adalah untuk beliau dan mungkin juga para pelakon lain mencuba nasib di luar negara. Bukan dengan dokongan negara, tetapi menerusi usaha sendiri.

Dengan kata lain, hanya daya juang yang kental, keazaman yang kuat, komitmen, disiplin dan keghairahan yang tinggi dalam mengasah dan mengembangkan bakat seni lakonnya telah membolehkan Michelle Yeoh untuk tiba ke puncak kerjayanya sebagai pelakon pada usia 60 tahun.

Pencapaian melalui usaha sendiri itu adalah luar biasa dan hebat. Sukar atau mustahil untuk mana-mana pelakon Malaysia menandinginya.

Justeru, para ahli sukan yang ingin menggapai pingat emas di Sukan Olimpik khususnya dan para pelakon dalam pelbagai bidang industri kreatif negara yang ingin mencipta nama besar di pentas lakonan dunia, patut terangsang dengan pencapaian Oscar Michelle Yeoh.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca