APAKAH pengulit sastera Melayu maklumi perkembangan semasa tanah air? Terbitan novel terbaharu di pasaran, lambakan novel berunsur lucah, penganugerahan hadiah sastera peringkat negeri, diskusi karya Sasterawan Negara dan leluasa adaptasi, apakah diketahui pengkaji sastera? Adakah pencinta sastera khususnya golongan anak muda mengetahui aktiviti yang berlangsung untuk pertumbuhan diri?
Lantaran kesedaran masyarakat tentang nilai-nilai muluk perlu dipergiat memandangkan kebobrokan begitu ketara. Antara kemulukan dan kebobrokan, ia sesungguhnya wajar dipeduli demi kemaslahatan negara.
Misalnya kehadiran novel yang menggunakan bahasa slanga, gaya bahasa vulgar (kesat), tema yang menghakis jati diri dan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sangat membimbangkan. Sementelahan wujudnya filem dan drama yang bertentangan dengan akidah dan keagungan Islam.
Kemunculan filem Mentega Terbang yang memperagakan pluralisme agama amat mendukacitakan. Kefahaman pengarah, penulis skrip hatta kepada pelakon Melayu yang rata-ratanya beragama Islam sangat mengecewakan.
Mengapa filem sebegini rupa tergamak dihasilkan? Apa yang mahu ditayangkan untuk tontonan masyarakat Malaysia khususnya anak muda? Kecelaruan dan kekeliruan karakter tentang agama walhal lokasinya berlaku di tanah air.
Filem itu bukan bikinan bukan Islam apatah lagi dihasilkan karyawan seni di Barat. Justeru, amat menjengkelkan apabila orang Melayu dan warga Malaysia sendiri seolah-olah tidak faham tentang sensitiviti dalam soal keagamaan.
Mengapa tidak sahaja meneroka novel-novel bermutu pemenang hadiah sastera tanah air seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan anugerah atau sayembara peringkat negeri yang diiktiraf barisan juri untuk diadaptasi menjadi sebuah filem dan drama?
Malaysia mempunyai deretan pemenang hadiah sastera yang berupaya mengasuh pemikiran pembaca dengan nilai kebaikan, kebenaran dan keindahan berteraskan habl min ALLAH (hubungan manusia dengan ALLAH) dan habl min al-Nas (hubungan manusia dengan manusia), yang akhirnya membentuk keunggulan dan kemuliaan keperibadian.
Nilai insan
Malahan ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mengkehendaki warga Malaysia bukan sahaja bijak di atas kertas bahkan cerdas dan cergas di gelanggang kehidupan.
Hal ini bermakna tanah air wajar melahirkan warganya yang bukan semata-mata memiliki pencapaian jujukan gred ‘A’ dalam keputusan peperiksaan, namun wajib mempunyai nilai insan dan ihsan dalam pergaulan. Adab sebagai manusia terpuji seharusnya dijadikan keutamaan galur pengkisahan.
Untuk itu hasil karya Malim Ghozali PK contohnya sangat sesuai untuk diadaptasi menjadi filem dan drama lantaran sarat nilai-nilai luhur untuk perutusan masyarakat.
Novel Redang, Daun dan Gunung Cha antara yang sesuai dijadikan bahan tontonan masyarakat Malaysia jika karya-karya ini diadaptasi sama ada menjadi filem atau drama.
Garapannya yang berupaya mendidik anak muda supaya menghargai alam Tuhan selain menghayati seni warisan Melayu amat bermakna dalam membangunkan sebuah negara bangsa yang cintakan tanah air.
Malahan dari sudut lain, karya Malim Ghozali PK ini juga menyerlahkan sastera pelancongan lantaran dapat mempromosi tanah air menerusi lukisan latar dan dialek dalam kreativiti pengkaryaan.
Begitu juga dengan hasil karya Arena Wati seperti novel Sudara, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak sangat sesuai sekiranya diadaptasi menjadi filem dan drama sebagai tontonan rakyat Malaysia dalam membugar semangat untuk memahami dan menaakuli sejarah Nusantara.
Selain itu, hasil karya Sri Rahayu Mohd Yusop seperti novelnya yang banyak mengungguli HSKU, iaitu Impuls/Roh, Bimasakti Menari, Warisnya Kalbu, Qalam Kalbu, Bukan Legasi Lalang, Rimba Jiwa, Kasih Nan Agung, Odisi Tanah Kencana dan Merdekakan Cinta Ratna amat bagus untuk dihidangkan kepada golongan remaja sebagai tontonan apabila dijadikan drama dan filem.
Nilai-nilai luhur jelas terpancar dalam novel-novel tersebut sekali gus dapat menyuguh khalayak dengan kecintaan terhadap kesyumulan Islam dan warisan budaya bangsa. Watak unggul yang dinukil pengarang dalam kesemua novelnya dapat membentuk sahsiah golongan remaja untuk bersiap siaga menelusuri cabaran kehidupan.
Maka dalam konteks adaptasi, elemen-elemen muluk begini sangat sesuai sekiranya novel Sri Rahayu diangkat ke layar skrin.
Menyaring
Begitu juga dengan karya Nazri Hussein atau nama penanya Husna Nazri yang prolifik dalam pengkaryaan. Dengan berlatar belakang sebagai pendidik, pengarang telah menghasilkan deretan novel seperti Istana Menghadap Laut, S.P.I.D.E.R (Teori Sang Labah-Labah), Pewaris Samudera, Kudup Hijau Tropika, Rona-rona Pasrah, Si Penenun Cinta, Nyanyian Musim Rusuh dan Rindu Syonan To antara judul yang wajar diberikan perhatian oleh penggiat seni tanah air.
Penulis skrip dan pengarah sama ada filem atau drama perlu bergandingan tangan untuk menyaring dan memilih bahan yang berkualiti untuk diangkat sebagai tontonan golongan anak muda. Tanah air kelihatan kekurangan sama ada filem atau drama yang bermutu untuk tontonan umum.
Secara perbandingan, filem dan drama di Indonesia jauh meninggalkan Malaysia lantaran kekreatifannya memancing penonton dengan potret dan cerminan keelokan bangsa dan peradabannya.
Sebagai contoh, filem Keluarga Cemara 1 dan 2 berupaya menyemarakkan jiwa penonton agar menghargai ikatan kekeluargaan dengan rasa bertanggungjawab dan tenteram.
Filem ini walaupun hanya berkisah seputar keluarga namun sarat dengan nilai-nilai kemuliaan yang tidak sesekali melanggar batasan agama dan kepercayaan.
Tidak ada isu sensitif yang membuatkan penonton celaru dan terkeliru.
Malahan, dengan lokasi yang indah di sebuah perkampungan menyerlahkan promosi ranahnya yang kaya dengan kehijauan dan warisan budaya nusantara. Nilai kasih-sayang dan ikatan persahabatan yang menjadi tonggak dalam filem ini merupakan isu sejagat dan kekal segar walau dunia diamuk dengan sains dan teknologi.
Antara novel Melayu, adaptasi dan isu semasa, mudah-mudahan warga tanah air dapat belajar sesuatu demi keunggulan peradaban nusa dan bangsa.
Apakah yang bakal ditinggalkan untuk generasi mendatang jika masyarakat hanya dimomokkan dengan isu bobrok yang tidak membawa makna dalam lingkaran kemanusiaan.
Ungkapan Hassan al-Bashri ini harus dijadikan renungan: "Wahai anak Adam, juallah duniamu untuk akhiratmu, nescaya kamu untung di keduanya. Dan janganlah kamu jual akhiratmu untuk duniamu kerana kamu akan rugi di keduanya. Singgah di dunia ini sebentar, sedang tinggal di akhirat sana sangatlah panjang.”
* Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial, UPM dan pemenang Anugerah Akademik Negara Kategori Seni dan Kreativiti pada tahun 2019.
Klik di sini untuk terus membaca