PEMILIHAN UMNO kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila seramai 54 muka baharu mencipta kejutan dan menjadi 'pembunuh naga' selepas menewaskan sebahagian besar pemimpin terkemuka dan tokoh veteran yang sebelum ini... Klik di sini untuk terus membaca

PEMILIHAN UMNO kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila seramai 54 muka baharu mencipta kejutan dan menjadi 'pembunuh naga' selepas menewaskan sebahagian besar pemimpin terkemuka dan tokoh veteran yang sebelum ini menyandang jawatan ketua UMNO bahagian sedia ada.

Johor mendahului senarai negeri paling banyak menyaksikan pertukaran kepimpinan ketua UMNO bahagian dengan 10 daripada 26 ketua bahagian adalah muka baharu; diikuti Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan masing-masing menampilkan enam muka baharu.

Kedah, Kelantan dan Pahang pula mengetengahkan lima muka baharu; Melaka dan Terengganu (tiga muka baru), Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (2), Perak (4), Perlis (3) dan Sabah (belum pasti).

Antara pemimpin yang mencipta kejutan termasuklah anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan penyandangnya, Nor Saidi Nanyan.

Untuk rekod, Mohd Nazifuddin turut menawarkan diri merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan kali ini, namun tewas kepada Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah minggu lalu.

Kejutan kedua terbesar pastinya terarah kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berjaya mengetepikan saingan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Persaingan dua tokoh politik UMNO Johor menjadi tumpuan utama kerana dianggap sebagai persaingan sengit antara proksi menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diwakili Ahmad dengan Hasni sebagai proksi mewakili bekas Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) yang kini digantung keahlian, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kejutan besar lain datangnya dari negeri utara iaitu Perlis apabila bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahaya berjaya menewaskan bekas Menteri Besar Perlis dan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian Kangar.

Di Melaka, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, 35, mengetuai kebangkitan pemimpin sayap parti itu menguasai jawatan-jawatan utama di peringkat UMNO bahagian seluruh negara apabila memenangi persaingan jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin.

Beliau mengetepikan tiga calon lain termasuk penyandang, Datuk Hasan Abd Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan dan bekas Bendahari UMNO bahagian, Datuk Mohd Yusof Osman.

Tidak ketinggalan, Exco Kerajaan Negeri itu, Datuk Rais Yasin yang turut mewakili pemimpin muda, berjaya membenamkan cabaran penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara.

Selain Nazifuddin, terdapat beberapa kejutan menarik di Kedah apabila ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar mencipta kejutan menewaskan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu.

MASIH BERBISA

Tidak sekadar kejutan dalam kalangan muka baharu, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah membuktikan pengaruh orang lama masih berbisa apabila kemunculan semula beliau dalam dunia politik disulami kejayaan memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar.

Beliau berjaya menewaskan pemangku jawatan itu, Zambri Mat setelah bekas penyandangnya, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung keahlian parti selama enam tahun susulan tindakan mengkritik Presiden UMNO secara terbuka.

Di Pahang, legasi kepimpinan anak Tun Abdul Razak di bahagian itu sejak 41 tahun lalu akhirnya tamat apabila Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fakhruddin Mohd Arif mengambil alih jawatan itu setelah menewaskan pemangkunya, Datuk Seri Zamri Ramly.

Zamri sebelum ini memangku jawatan berkenaan setelah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang memegangnya sejak tahun 1982, dikekalkan sabitan hukuman penjara serta denda ke atasnya oleh Mahkamah Persekutuan pada bulan Ogos tahun lalu.

Di sebalik pemilihan UMNO dilihat menyaksikan kemenangan besar kem pro-Ahmad Zahid, Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula kalah mengejut kepada pencabarnya, Zaidi Japar dalam saingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Bahagian Batu Pahat.

Mohd Puad bagaimanapun berjaya mengekalkan jawatan ahli MKT yang dimenangi pada pemilihan tahun 2018.

Dalam pada itu, hasrat bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin menyambung legasi kepimpinan ayahnya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak tidak kesampaian apabila tewas di tangan Datuk Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali ‘Azwan Bro’.

Klik di sini untuk terus membaca