KISAH golongan graduan muda di Malaysia yang masih dihimpit masalah gaji rendah, sekali gus gagal meraih kadar kenaikan pendapatan setimpal, selari dengan nilai pasaran kerja semasa acap kali menjadi isu rungutan rakyat jelata. Akhbar... Klik di sini untuk terus membaca

KISAH golongan graduan muda di Malaysia yang masih dihimpit masalah gaji rendah, sekali gus gagal meraih kadar kenaikan pendapatan setimpal, selari dengan nilai pasaran kerja semasa acap kali menjadi isu rungutan rakyat jelata.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan trend kadar gaji bulanan ditetapkan untuk graduan muda didapati telah mengalami perubahan ketara dan penurunan saban tahun.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, graduan muda telah ditawarkan kadar gaji agak setimpal sekitar 2016 dan 2017 iaitu sebanyak RM1,800. Jumlah tersebut telah dinaikkan kepada RM2,112 pada 2018.

Namun, bermula 2019, ia menunjukkan penurunan kepada RM2,066 dan terus menjunam sehingga RM1,550 pada 2020. Mohd Uzir turut menyatakan secara rawak, keseluruhan graduan tempatan telah menerima kadar gaji bulanan RM3,520 pada 2016 dan jumlah tersebut melonjak kepada RM3,550 pada 2017, sementara pada 2018 (RM3,936) dan 2019 (RM4,300) tetapi berkurang kepada RM3,796 pada 2020.

Golongan graduan muda yang berada dalam lingkungan umur di bawah 24 tahun kini terpaksa menghadapi realiti tawaran kadar gaji rendah iaitu RM1,550 kesan daripada pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Makkal Osai mengesyorkan masalah gaji rendah yang dihadapi anak muda wajar diberi perhatian serius dan patut ditangani segera dengan melaksanakan solusi bijak supaya khazanah intelek serta bakat mereka bermanfaat untuk pembangunan ekonomi negara.

Kedudukan pasaran kerja tempatan dan pakej tawaran gaji kurang setimpal itu dilihat tidak adil buat graduan muda, sekali gus mungkin menghakis semangat dan kepercayaan mereka untuk berkhidmat di negara sendiri.

Sementara itu, laporan juga menyatakan pada 2020, secara puratanya gaji bulanan ditawarkan kepada graduan bekerja telah berkurang kira-kira 13.3 peratus.

Masalah gaji rendah dalam kalangan graduan muda dan penurunan peratusan pendapatan bulanan bagi kumpulan graduan profesional sedikit sebanyak merumitkan kelangsungan dan survival hidup mereka, lebih-lebih lagi ketika harga barangan melonjak tinggi.

Makkal Osai turut membangkitkan ‘takdir’ yang menimpa graduan muda kerana kebanyakan mereka tidak memiliki profesion setaraf dengan kelayakan akademik.

Ironinya, demi menampung kos sara hidup dan tuntutan keluarga, mereka sanggup menerima pekerjaan yang tidak sesuai dengan ijazah dimiliki, malah gajinya jauh lebih rendah.

Menurut Makkal Osai, 70 peratus graduan muda yang melangkah ke alam pekerjaan sejurus selesai pengajian, hanya layak mendapat pekerjaan separa mahir atau kurang mahir.

Justeru, walaupun mereka berstatus graduan universiti mahupun kolej swasta tetapi disebabkan jawatan pekerjaan tidak setaraf dengan kelayakan, jadi gaji yang diperoleh juga agak rendah.

Mengenang nasib yang ‘suram’, golongan graduan tampil meluahkan kerisauan dan rasa tidak puas hati kerana diberikan gaji kurang daripada RM2,000.

Di Malaysia, gaji bagi golongan B40 adalah dalam lingkungan RM2,200 sebaliknya pendapatan bulanan seorang graduan muda pula masih belum mencecah RM2,000. Ia menyebabkan graduan muda diletakkan di bawah kategori golongan B40 sebagai rakyat miskin dan miskin tegar.

Selain itu, graduan muda tempatan juga berdepan cabaran kekurangan peluang pekerjaan dan terpaksa menganggur lebih enam bulan selepas tamat pengajian.

Lebih memburukkan keadaan, sikap kebanyakan majikan yang meletakkan syarat perlu ada pengalaman bekerja menjadi kekangan besar kepada graduan muda untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan gaji setimpal.

Krisis kesihatan disebabkan pandemik Covid-19 yang telah melumpuhkan sektor ekonomi dan menjejaskan kadar gaji graduan muda serta profesional boleh dikatakan menjadi cabaran besar kepada belia di negara ini.

Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu segera mencari jalan penyelesaian demi memastikan nasib golongan berkenaan terbela dan tidak dihimpit kemiskinan pada usia muda.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca