PROJEK infrastruktur mega Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang tertangguh bertahun akhirnya mendapat kepastian daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada ketika beliau ditemuramah pada awal Disember 2022.... Klik di sini untuk terus membaca

PROJEK infrastruktur mega Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang tertangguh bertahun akhirnya mendapat kepastian daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada ketika beliau ditemuramah pada awal Disember 2022.

Perkara ini seterusnya mendapat kata putus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila pengumuman dibuat pada usul pembentangan Belanjawan 2023. Namun, kos pelaksanaan projek ini tetap menjadi tumpuan jika diteliti pada hujah Perdana Menteri dalam ucapan beliau.

Projek MRT3 dianggarkan kos perlaksanaan melibatkan RM68 bilion pada tahun 2018 dan kemudiannya proses rundingan serta kajian semula tentang reka bentuk dan laluan yang mengurangkan kos kepada RM50 bilion pada tahun lalu.

Kerajaan Perpaduan kini meletakkan sasaran untuk mencapai penjimatan tambahan dengan kos perlaksanaan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion dan ia dimulakan dengan proses perolehan serta pembaharuan tata kelola pada tahun ini.

Saya menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan Projek MRT3 bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan circle line ini mampu melengkapi kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada iaitu MRT1 serta MRT2, dan juga beberapa sistem rel iaitu LRT, monorel dan komuter.

Walaupun keputusan telah dimuktamadkan tetapi kerajaan seharusnya terus memantau perlaksanaan projek ini secara teliti khususnya mengambil kira kawalan perbelanjaan yang akan memberikan kesan kepada jaminan pinjaman kerajaan nanti.

Umumnya, kita sedar bahawa DanaInfra Nasional Bhd (DanaInfra) dan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) adalah sebagai entiti pembiayaan dan pengendali operasi MRT3.

Kebimbangan saya adalah tentang kedudukan kewangan dan keupayaan pembayaran hutang kedua-dua syarikat yang kemudian akan memberikan kesan kepada kewangan negara bagi menanggung hutang-hutang yang terkumpul.

Saya memang faham kepentingan wujudnya syarikat milik kerajaan bagi membangunkan prasarana negara terutamanya dalam aspek pembangunan kemudahan pengangkutan awam negara. Akan tetapi, kerajaan seharusnya mengambil langkah-langkah yang lebih berwaspada dalam pemantauan dan cara perbelanjaannya.

Harus kita sedar bahawa sehingga tahun 2022, jumlah komitmen jaminan kerajaan yang terkumpul kepada DanaInfra dan Prasarana adalah masing-masing RM82.68 bilion dan RM42.369 bilion yang telah merangkumi 49.3% daripada jumlah jaminan kerajaan RM317.617 bilion (7% daripada KDNK).

Mengambil kira hutang dan liabiliti kerajaan semasa sebanyak RM1.5 trilion maka langkah-langkah perlaksanaan projek mega semestinya dipantau dengan penuh cermat dan teliti.

Dengan perlaksanaan projek MRT3, sudah tentu kos perlaksanaan projek bakal memberikan kesan kepada kedudukan kewangan kepada DanaInfra, apatah lagi dengan permulaan MRT Laluan Putrajaya yang dijangkakan angka penumpang harian yang rendah akan membawa kesan juga kepada kos pengoperasian Prasarana.

Sebenarnya, Laporan Ketua Audit Negara 2018 pernah mengesyorkan kerajaan perlu menetapkan had siling jaminan bagi pinjaman yang dibuat oleh badan berkanun dan syarikat. Langkah ini bagi mengelakkan komitmen kerajaan semakin bertambah apabila syarikat gagal memenuhi obligasi hutang.

Kawalan perlu diperketatkan dan kurangkan kebergantungan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman baharu bagi menampung bayaran balik hutang syarikat-syarikat milik kerajaan adalah penting.

Harus kita sedar bahawa walaupun lengkapnya perlaksanaan projek mega, tetapi soal penumpang harian, dan bas pengantara bagi menyelesaikan masalah sistem batuan pertama dan akhir tetap memerlukan perbelanjaan perolehan dan pengoperasian.

Sesungguhnya, kelangsungan projek mega ini mampu membawa kebaikan dalam pemulihan ekonomi negara khususnya sektor pembinaan juga kepada penumpang pengangkutan awam.

Namun, kerajaan harus memikul tanggungjawab yang besar supaya syarikat-syarikat yang mendapat jaminan pinjaman terus memenuhi obligasi hutang yang tidak akan membebankan fiskal kerajaan.

* Tan Kar Hing ialah Ahli Parlimen Gopeng, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

Klik di sini untuk terus membaca