SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) telah memberikan bantuan sebesar hampir RM2 bilion kepada jemaah haji Malaysia dalam tempoh sembilan kali musim haji sejak tahun 2013.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan TH pada Isnin, jumlah bantuan pada tahun 2013 adalah sebanyak RM93 juta dan terus meningkat tahun demi tahun masing-masing RM106 juta pada 2014, RM135 juta (2015), RM160 juta (2016), RM298 juta (2017), RM313 juta (2018), RM298 juta (2019), RM186 juta (2022) dan RM400 juta (2023).
Penghantaran jemaah haji Malaysia pada tahun 2020 dan 2021 ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.
Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, keputusan mengenakan bayaran penuh kos menunaikan haji bagi kumpulan jemaah muassasah T20 dilihat sebagai satu langkah tepat.
Beliau berkata, konsep bayaran haji secara bersasar pada tahun ini adalah bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa.
"Perlu diingat, kewajipan haji hanyalah kepada umat Islam yang mampu membayar kosnya.
Disebabkan kita sudah lama mengamalkan konsep TH menampung kos para jemaah, jadi bayaran haji yang dikenakan tidak menggambarkan kos sebenar.
Nik Mohd Hasyudeen bagaimanapun berharap agar polisi bayaran mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu dapat diselaraskan melalui konsep istitha'ah atau kemampuan pada tahun hadapan.
Beliau berkata, ini disebabkan kadar kos menunaikan haji semakin meningkat saban tahun.
Bakal jemaah haji lega dengan bayaran dikenakan
Sementara itu, bakal jemaah haji yang pertama kali menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini berpuas hati dengan pengumuman Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung bayaran bersasar ditetapkan.
Menurut mereka, langkah berkenaan menunjukkan kesungguhan TH membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) ketika kos menunaikan haji semakin meningkat.
Affizy Shaari, 32, yang merupakan pembantu pensyarah berkata, kos yang dikenakan kepada B40 dan M40 adalah berpatutan.
"Saya setuju dengan mekanisme bayaran ini kerana kerajaan masih menanggung sebahagian kos untuk golongan B40 dan M40.
"Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab pelbagai pihak agar jemaah tidak terbeban dengan isu kewangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Nurul Athirah Jaffar, 38, yang merupakan seorang guru berkata, langkah TH itu adalah memberangsangkan kerana semua peringkat mendapat manfaat yang sewajarnya.
"Bantuan ini nampak lebih baik kerana saya sendiri mengharapkan kerajaan dan TH mencari solusi terbaik berikutan kos semakin tinggi.
Melihat bayaran yang dikenakan, saya berasa lega,” ujarnya.
Bagi Umi Kalsom Ahmad, 55, kadar bayaran yang dikenakan TH adalah adil mengikut keperluan semua golongan sekali gus tidak membebankan mereka yang kurang berkemampuan.
"Bantuan yang diberikan jemaah haji dapat meringankan beban mereka terutama golongan B40 dan M40 untuk melaksanakan ibadah tersebut tanpa gusar dengan isu kewangan,” katanya yang merupakan seorang pensyarah.
Klik di sini untuk terus membaca