SHAH ALAM - Langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memberikan Bantuan Kewangan Haji (Hafis) hanya kepada jemaah muassasah B40 dan M40 yang pertama kali mengerjakan haji pada tahun ini dijangka mengukuhkan kewangan syarikat berkenaan.
Pakar Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia sekali gus membuka ruang kepada TH untuk memberikan dividen lebih tinggi kepada penyimpan berbanding tahun sebelum ini.
"Langkah ini pasti akan mengurangkan bebanan TH seterusnya mengukuhkan kewangannya.
"Ia dijangka memberikan kesan positif terhadap keuntungan TH secara keseluruhannya dan berpotensi memberikan pembayaran dividen yang baik untuk tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Aimi Zulhazmi berkata, pembayaran untuk T20 yang diumumkan TH adalah gambaran sebenar kos mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
Sehubungan itu, katanya, langkah kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan haji secara bersasar adalah proaktif serta mengutamakan golongan B40 supaya mereka masih berpeluang untuk mengerjakan ibadah berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, jemaah T20 mungkin akan menaik taraf pilihan mereka kepada pakej haji plus yang lebih selesa.
"Mereka masih dapat menikmati perkhidmatan TH bertaraf lima bintang yang sudah dikenali di seluruh dunia Islam sebagai yang terbaik dari segi kecekapan anggota-anggota bertugas, sokongan perkhidmatan dan kesihatan,” katanya.
31,600 terima surat tawaran haji mulai esok
Sementara itu, seramai 31,600 jemaah yang bakal menunaikan haji tahun ini akan menerima surat tawaran bermula esok.Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.
"Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji dengan giliran tunai haji pada tahun 2020 berumur 65 tahun ke atas, diikuti mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023.
"Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.
"Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac ini dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Tambah beliau, sebanyak 50 peratus bakal jemaah adalah dalam kategori B40, manakala 48 peratus M40 dan 2 peratus T20.
"Menerusi surat tawaran, kita perkenalkan pilihan bayaran sama ada bayar pada kadar yang ditetapkan mengikut kategori kumpulan atau bakal jemaah boleh membayar lebih mengikut kemampuan mereka.
"Ini kerana pada tahun lalu ramai jemaah golongan B40 yang membuat bayaran lebih atau penuh."Tindakan ini sedikit sebanyak membantu TH dan mengurangkan jumlah Bantuan Kewangan Haji (Hafis) yang kita tanggung,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca