SHAH ALAM - Seorang pakar dalam bidang teknologi mencadangkan empat cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk memecahkan monopoli syarikat Touch 'n Go (TNG). Cadangan tersebut ialah dengan memperkenalkan persaingan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pakar dalam bidang teknologi mencadangkan empat cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk memecahkan monopoli syarikat Touch 'n Go (TNG).

Cadangan tersebut ialah dengan memperkenalkan persaingan, memiliknegarakan jalan bertol, kawal selia bayaran jalan bertol dan menggalakkan mod pengangkutan alternatif.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin, kerajaan boleh memperkenalkan persaingan dengan membenarkan syarikat lain mengendalikan jalan bertol atau membida hak untuk mengendalikan jalan bertol sedia ada.

"Ini akan mewujudkan insentif bagi pengendali untuk menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos bagi menarik pelanggan.

"Pilihan lain ialah kerajaan boleh memiliknegarakan jalan bertol dan mengendalikannya sebagai perkhidmatan awam.

"Cadangan ini akan menghapuskan motif utama syarikat untuk meraih keuntungan namun dari sudut positif ia dapat mengurangkan kos kepada pengguna.

"Walau bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan pengurangan pelaburan dan penyelenggaraan kerana entiti sektor awam mungkin tidak mempunyai keupayaan kewangan yang sama untuk melabur seperti syarikat swasta,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan meneliti kembali monopoli sistem pembayaran TNG di negara ini berikutan wujud permasalahan yang sering dibangkitkan melibatkan sistem berkenaan.

Tambah Muhidin, kerajaan juga boleh mengawal selia bayaran jalan tol untuk memastikan ia adil dan berpatutan.

Ujarnya, ia mungkin melibatkan penetapan had harga atau melaksanakan formula penetapan harga yang mengambil kira faktor seperti inflasi dan kos operasi.

"Seterusnya, kerajaan juga boleh menggalakkan mod pengangkutan alternatif, seperti pengangkutan awam atau berbasikal sebagai satu cara untuk mengurangkan kebergantungan kepada jalan bertol dan monopoli yang mengendalikannya," ujarnya.

Dalam masa sama, Muhidin berpandangan, cadangan untuk meneliti semula monopoli sistem pembayaran tol lebuh raya boleh dilakukan sekiranya monopoli itu didapati menyumbang kepada ketidakcekapan dan kos tinggi sistem tersebut.

Jelasnya, monopoli dalam mana-mana industri boleh membawa kepada harga yang lebih tinggi dan pengurangan inovasi kerana tiada persaingan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Muhidin berkata, apa juga tindakan untuk memecahkan monopoli boleh menimbulkan implikasi seperti kesan kepada ekonomi negara, undang-undang dan politik.

"Sebarang keputusan harus dibuat dengan pertimbangan teliti terhadap semua faktor yang terlibat," katanya.

Menurutnya, walaupun dengan memecahkan monopoli dan memperkenal lebih banyak saingan yang menyebabkan harga lebih rendah serta perkhidmatan terbaik kepada pengguna namun ia boleh menimbulkan implikasi lain.

"Oleh itu, sebarang keputusan untuk meneliti semula monopoli sistem pembayaran tol lebuh raya di Malaysia hendaklah berdasarkan analisis teliti kos dan faedah, dengan mengambil kira kesan kepada pengguna dan ekonomi yang lebih luas,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca