ADA Kampung saya yang tak jauh dari pekan Changlun, Kedah walaupun orangnya berbangsa Melayu, tapi kami bertutur bahasa Siam.
Peribahasa ini memberikan falsafah hidup yang cukup mendalam untuk direnungi.
"Nok tit ti lieu. Lok yak khau.
Tha diau leh chao eii. Rang mai thang thi”.
Jika diterjemahkan ke bahasa Melayu, ia berbunyi "Burung tit ti lieu.
Anak lapar nasi. Sabar sekejaplah puteraku. Huma belum ditebang lagi”.
Ia menceritakan tentang banyak prinsip hidup, kesusahan, kesabaran dan kerja kuat yang luar biasa.
Apabila disebutkan ‘chao’, ia merujuk kepada tuan atau putera raja, maksudnya anak yang sangat disayangi.
Ia meminta kesabaran anak yang bukan sedikit, kerana huma belum ditebang pun lagi.
Banyak orang dahulu membuat huma dengan menanam padi bukit yang tak begitu memerlukan air.
Tapi untuk menanam padi huma, hutan perlu dibersihkan. Ia bukan ditebang dengan jentolak atau gergaji moden, tapi dengan kapak dan beliung.
Ia memakan masa berbulan-bulan.
Bayangkan, dengan gajah, harimau dan binatang buas lain yang juga ada di hutan.Setelah ditebang, pohon-pohon perlu dibersihkan dan dibakar.
Ia mungkin menunggu masa sebulan dua lagi.
Setelah itu tanah perlu digembur, baru padi huma boleh ditanam.
Tapi untuk mendapatkan hasil, itu pun perlu menunggu beberapa bulan lagi. Itu belum termasuk tanaman yang mungkin dirosakkan khinzir atau kera.
Ia cerita ketabahan dan usaha gigih yang sangat lama. Sebab itu, sepanjang proses berhuma, banyak orang dahulu membina pondok untuk tinggal di hutan.
Jadi menunggu untuk memakan nasi sehingga padi huma dituai adalah ingatan untuk terus bertahan dan bersabar. Ia kesabaran berbulan-bulan yang mungkin mustahil dalam dunia moden kini.
Kini kisah kesabaran seperti ini hanya sekadar nostalgia.
Anak-anak, malah kita juga sukar diajar untuk bersabar.Kita hidup dalam dunia serba pantas.
Kita ada piza, ayam KFC, burger dan segala macam makanan yang semuanya mengajar kita untuk mendapatkan semuanya dengan segera.
Kita tak perlu lagi berdiri di tepi jalan mengharap nasib ada teksi kosong berhenti.
Teksi akan datang ke depan mata kita. Atau jika kita berasa lapar, kita juga tak perlu risau memilih kedai makan.
Kita hanya perlu tahu menggunakan aplikasi dalam telefon dengan betul sahaja, baik Grab, FoodPanda dan entah berapa banyak lagi khidmat memesan di hujung jari.
Sama ada kerana cara hidup kita yang tak boleh lagi bersabar itu menyebabkan teknologi ini muncul, atau kerana teknologi ini menyebabkan kita kian kurang sabar, ia sama sahaja.Ia fenomena baru di seluruh dunia.
Malah banyak bank telah menutup kaunternya, kerana orang tak perlu beratur lagi.
Semuanya dalam talian.
Disebabkan serba-serbi mudah dan cepat, kita tak boleh lagi menunggu.
Sebahagian kecil anak remaja kita juga mungkin tak begitu berminat untuk sambung belajar.
Mereka boleh mendapatkan wang dengan cepat sebagai pekerja penghantar makanan atau pemandu e-hailing.
Mereka juga boleh mencipta wang dengan hanya bermain TikTok atau YouTube.
Yang lain mungkin berniaga secara dalam talian.
Jadi, realitinya dunia telah berubah.
Hari ini, banyak daripada kita merungut dengan berbagai macam musibah.
Yang ada tanah, mungkin perlu menjualnya untuk mendapat wang.
Yang ada sedikit wang KWSP, teruslah menggesa agar kerajaan boleh benarkan pengeluaran lagi.
Perniagaan hutang along tumbuh bagai cendawan kerana mereka tahu dunia hari ini tiada siapa lagi boleh bersabar.
Yang ada sedikit kuasa, jika perlu makan rasuah pun tak mengapalah. Asal cepat menjadi kaya.
Mungkin ada peribahasa baharu yang patut kita cipta, ‘Anak lapar nasi, tidurlah dulu puteraku, nanti akan datang makanan ke bucu katilmu!
’Sebenarnya kita semua sedang bersabar.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca