ISU peningkatan kemampuan pertahanan negara kerap menjadi tumpuan setiap kali pembentangan bajet saban tahun.
Para penganalisis dan pakar-pakar pertahanan baik yang diperakui pihak berwajib atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun para ‘jeneral sesawang’ akan melontarkan pelbagai buah fikiran mereka.
Baru-baru ini pihak Kementerian Pertahanan telah mengumumkan bahawa negara akan memperolehi sejumlah 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).
Jenis atau varian yang bakal diperolehi pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah FA-50 Block 20 yang dianggap paling berkemampuan dan terkini berbanding varian lain pesawat pejuang tersebut.
Walau belum dimuktamadkan secara sah apakah sistem elektronik serta persenjataan yang bakal digunakan serta dioperasikan oleh pesawat tersebut kelak, beberapa sesawang pertahanan telah memberikan pelbagai andaian dan bayangan yang kadangkala boleh dianggap sebagai agak optimistik.
Kemampuan pesawat FA-50 sememangnya diperakui, walaupun tidak sepertimana sebuah pesawat khusus tempur pelbagai misi.
Dalam kelas sebagai pesawat ringan dwifungsi moden berkeupayaan digunakan dalam latihan serta pertempuran, ia dianggap antara yang terbaik.
Di rantau Asia Tenggara, antara pengguna lain pesawat pejuang FA-50 atau versi awalnya, T-50 ialah Thailand, Filipina dan Indonesia, selain Iraq dan Korea Selatan.
Dalam euforia mendapatkan pesawat baharu dengan empat pesawat pertama dijangka diterima pada akhir tahun 2026, kita sebenarnya perlu bersikap subjektif dan rakyat perlu memahami akan proses perolehan sistem persenjataan di peringkat antarabangsa.
Oleh kerana boleh dikatakan hampir keseluruhan perolehan sistem persenjataan negara bergantung kepada pembelian dari negara luar akibat kegagalan membangunkan industri pertahanan tempatan, tiada istilah perjanjian muktamad walaupun pihak pembeli dan penjual telah menandatangani kontrak!
Justeru itu dalam hal pesawat FA-50, sekalipun kerajaan telah membuat perjanjian dengan firma KAI dari Korea Selatan, ia sebenarnya tidak semudah itu kerana mungkin turut melibatkan pihak atau negara lain.
Perlu diingat bahawa dalam era globalisasi, proses pembuatan dan pengeluaran jarang sekali dimonopoli oleh hanya sebuah negara atas beberapa sebab termasuk kepakaran, kemampuan pengeluaran, kos, malah hubungan diplomatik. Ini terbukti dalam kes Argentina yang turut memesan jet versi sama dari Korea Selatan.
Sebanyak 12 pesawat versi awal FA-50 telah dipesan oleh tentera udara Argentina pada 2017 sebagai usaha memodenkan angkatan udaranya. Walaupun demikian kegawatan ekonomi menyebabkan negara itu terpaksa meminjam AS$56 bilion daripada Bank Dunia pada 2018.
Korea Selatan yang bimbang dengan kemampuan kewangan Argentina telah menolak memberikan kredit berkaitan perolehan tersebut, walaupun Argentina mengurangkan jumlah pesawat daripada 12 kepada lapan. Keadaan ini bertambah parah apabila pandemik Covid-19 melanda dunia dengan Parlimen Argentina terpaksa mengurangkan bajet pertahanannya.
Rundingan antara Argentina dan KAI terus dilaksana, namun keadaan dilihat agak sukar bagi negara Amerika Selatan itu apabila United Kingdom (UK) pula menyuarakan bantahan.UK yang masih mempunyai pertelagahan politik dengan Argentina akibat isu kepulauan Falklands (Melvinas) setelah berakhirnya konflik bersenjata antara kedua negara pada tahun 1982 telah memberi amaran kepada KAI untuk tidak mengeksport pesawat FA-50 kepada Argentina.
Banyak pihak tidak mengetahui bahawa ketika itu enam komponen utama pesawat FA-50 dihasilkan oleh firma dari United Kingdom dan London memberi amaran bahawa jika penjualan diteruskan, mereka akan menyekat eksport komponen tersebut ke Korea.
Akhirnya pada November 2020, Menteri Pertahanan Argentina mengesahkan bahawa KAI telah membatalkan rundingan penjualan akibat ugutan yang dikenakan oleh UK terhadap firma itu.Apa yang berlaku kepada Argentina perlu dijadikan teladan dan difahami oleh semua pihak di negara ini.
Faktor perolehan aset pertahanan tidak hanya bergantung kepada kemampuan kewangan, tetapi juga faktor-faktor lain yang kadangkala berada di luar kawalan kerajaan.
Hutang yang mencecah bertrilion ringgit, kestabilan politik yang kadangkala diragukan, ancaman menjatuhkan kerajaan oleh pemimpin politik senegara, pemulihan ekonomi dan faktor-faktor lain turut mampu merencatkan pembangunan keupayaan TUDM ini.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca