SHAH ALAM - Kualiti pelajar elit dan kuota pengambilan pelajar kurang mampu tidak boleh dikompromi jika cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk golongan berada mahu dilaksanakan. Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kualiti pelajar elit dan kuota pengambilan pelajar kurang mampu tidak boleh dikompromi jika cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk golongan berada mahu dilaksanakan.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, idea MRSM berbayar itu bagus namun kerajaan perlu menetapkan pelajar yang mempunyai kelayakan akademik dan kokurikulum ditetapkan sahaja layak diterima masuk.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kualiti pelajar MRSM adalah selari dengan matlamat asal penubuhannya yang bertujuan melahirkan golongan profesional dalam bidang sains dan teknologi di negara ini.

"Dari segi kualiti kita tak boleh bertolak ansur kerana matlamat MRSM lebih besar. Kalau pelajar yang tak layak masuk (tetapi masuk kerana mampu bayar), ia akan jadi masalah kepada tenaga pengajar di situ,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau mengulas saranan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu Mara dan Mara Corporation Sdn Bhd memperhalusi cadangan untuk menubuhkan MRSM berbayar bagi golongan berada.

Asyraf Wajdi


Asyraf Wajdi berkata, ini kerana terdapat permintaan oleh ibu bapa daripada golongan berkenaan untuk menghantar anak mereka menyambung pelajaran ke institusi tersebut.

Menurutnya, mereka bahkan sanggup menanggung kos yang tinggi untuk masuk ke MRSM walaupun mampu menghantar anak ke sekolah elit swasta antarabangsa.

"Ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi,” katanya dalam catatan di Facebooknya Isnin lalu.

Cadangan MRSM berbayar pernah disuarakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun 2016, yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, namun mencetuskan pelbagai reaksi balas.

Namun, cadangan tersebut masih belum diperhalusi sama ada menerusi pembinaan MRSM baharu atau menggunakan fasiliti sedia ada.

Mengulas lanjut, Alimuddin berpendapat, MRSM berbayar mampu memberi manfaat dan nilai tambah kepada kedua-dua pelajar elit dan kurang mampu hasil pendapatan yang dijana institusi berkenaan kelak.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad mencadangkan, sekurang-kurangnya 60 peratus jumlah pengambilan pelajar adalah daripada golongan kurang mampu, selebihnya barulah pelajar golongan elit.

Beliau berkata, MRSM yang mahu ditubuhkan nanti perlu mempunyai dua saluran iaitu berbayar untuk golongan berada dan bersubsidi untuk kumpulan pelajar kurang mampu.

"Inilah masanya untuk mengembangkan lagi bilangan MRSM. Sekarang kita ada 55 MRSM, kalau dilihat pada kapasiti yang mampu diterima oleh MRSM sekitar 7,169 orang sedangkan lebih 90,000 yang memohon tahun ini. Hanya sekitar lapan peratus yang berjaya ditempatkan.

"Jadi pada masa depan, ibu bapa T20 boleh memohon melalui saluran berbayar, manakala 60 peratus tempat diberikan kepada anak-anak yang miskin,” katanya.

Tambah beliau, model sama juga boleh diguna pakai untuk sekolah berasrama penuh (SBP), seterusnya dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

"Dalam konteks masyarakat Madani, mana-mana keluarga yang mampu dan ingin mendapatkan pendidikan berkualiti, mereka boleh membayar mengikut harga yang adil. Bagi yang tak mampu, kerajaan boleh bantu seperti sekarang,” ujarnya.


Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
Bilangan MRSM: 55 buah

Jenis: Pendidikan menengah

MRSM pertama: MRSM Seremban (1972)

Objektif asal: Melahirkan bumiputera yang pakar dalam bidang sains dan teknologi.

Kemasukan: 90% bumiputera, 10% bukan bumiputera

Jumlah pelajar: 194,000 (sejak 1972)

Aliran

1. MRSM Premier (29 buah)

Menggabungkan sukatan pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), dan kursus pembangunan sahsiah.

Lokasi: MRSM Muar, Mersing, Batu Pahat, Terendak, Serting, Muadzam Shah, Tun Ghazali Shafie (Kuala Lipis), Gerik, Lenggong, Pasir Salak, Felda Trolak, Pengkalan Hulu, Sultan Azlan Shah (Kuala Kangsar), Kuala Terengganu, Kuala Berang, Besut, Pasir Tumboh, Jeli, Kuala Krai, Kulim, Pendang, Merbok, Baling, Transkrian, Beseri, Arau, Betong, Mukah, dan Kota Kinabalu.

2. MRSM Bitara (3)

Mengadaptasi model program khas pendidikan iaitu School Enrichment Model (SEM). Terkenal melahirkan pelajar cemerlang melalui peperiksaan dan kokurikulum.

Lokasi: MRSM Taiping, Pengkalan Chepa, dan Tun Ghafar Baba (Jasin).

3. MRSM Ulul Albab (7)

Integrasi pendidikan sains tulen dan aliran agama termasuk tahfiz al-Quran.

Lokasi: MRSM Kota Putra, Gemencheh, Sungai Besar, Bera, Bagan Datuk, Kepala Batas, dan Semporna.

4. MRSM IGCSE (12)

Program dwisijil yang menggabungkan kurikulum kebangsaan dan kurikulum Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE).

Lokasi: MRSM Johor Bahru, Alor Gajah, Kuala Klawang, Kuantan, Tun Abdul Razak (Pekan), Kuala Kubu Bharu, Parit, Tumpat, Langkawi, Kubang Pasu, Kuching, dan Tun Mustapha (Tawau).

5. MRSM IB MYP (3)

Menawarkan Program Pertengahan Tahun (MYP) yang disediakan Pendidikan Baccalaureate Antarabangsa (IB) dalam usaha menggalakkan pelajar menjadi kreatif, kritikal dan berpemikiran reflektif.

Lokasi: MRSM Tun Dr Ismail (Pontian), Balik Pulau, dan Tun Mohammad Fuad Stephens (Sandakan).

6. MRSM Teknikal (1)

Aliran teknikal sepenuhnya tanpa dicampuradukkan dengan aliran sains tulen atau aliran lain.

Lokasi: MRSM Bentong

7. PERSOALAN MRSM BERBAYAR?

Cadangan 1: Pelajar T20 40%, kurang mampu 60%.

Cadangan 2: Bina MRSM berbayar baharu khusus untuk golongan elit.

Klik di sini untuk terus membaca